Produk Cekap Tenaga Bantu Kurang Kenaikan Kos Sara Hidup

Produk Cekap Tenaga Bantu Kurang Kenaikan Kos Sara Hidup

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Perubahan dalam gaya hidup dapat membantu pengguna mengimbangi kenaikan kos sara hidup harian yang naik mendadak sejak kebelakangan ini.

Lebih-lebih lagi dengan kenaikan tinggi harga bahan api yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, perubahan ini lebih mudah dilaksanakan dengan bantuan teknologi.

"Kebanyakan daripada kita tidak dapat berubah kerana kita selesa dengan tabiat harian. Meskipun begitu, sudah sampai masanya untuk kita memulakan langkah bagi mengubah kepada sesuatu yang lebih baik.

"Ini akan memberikan impak jangka masa panjang dalam menangani kos harian serta perubahan kepada cara hidup lestari," demikian menurut Piarapakaran Subramaniam, Pengurus Bahagian Alam Sekitar, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA).

JIMAT TENAGA

Beliau memberitahu Bernama, satu daripada perubahan gaya hidup yang amat perlu diamalkan sekarang ialah penjimatan tenaga.

"Apabila kita mengurangkan bil bahan api atau elektrik, kita sebenarnya telah memainkan peranan untuk membantu memelihara bumi.

"Dalam satu abad ini banyak berlaku pencairan ais di kutub, peningkatan suhu purata bumi yang mendadak dan kenaikan aras laut," jelas Piarapakaran.

Kebanyakan rumah dan pejabat, tambahnya masih menggunakan tenaga daripada stesen janakuasa berasaskan karbon (seperti diesel dan gas asli) yang melepaskan banyak gas karbon dioksida (gas rumah hijau).

PRODUK CEKAP TENAGA

Menurut Piarapakaran, antara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat pengguna negara ini ialah pembelian produk "cekap tenaga" yang bukan sahaja mesra alam bahkan tahan lama.

"Kecekapan tenaga dicapai apabila produk dengan kapasiti kerja yang sama menggunakan tenaga yang rendah untuk operasi. Ini adalah satu langkah yang kecil tetapi besar maknanya untuk perubahan kepada cara hidup kita," tambahnya.

Beliau berkata ada pengguna yang mempunyai persepsi yang salah mengenai penggunaan produk kecil.

Jelasnya, produk kecil seperti lampu floresen bukan sahaja jimat tenaga malah mengurangkan pelepasan karbon.

"Ada di antara barangan ini yang bukan sahaja cekap tenaga tetapi juga mempunyai jangka hayat operasi yang lebih lama berbanding produk biasa.

"Ini membantu mengurangkan permintaan bahan mentah bagi sektor pembuatan," ujarnya lagi.

KELEBIHAN PRODUK CEKAP TENAGA

Untuk menguatkan lagi hujahnya mengenai kelebihan produk cekap tenaga, Piarapakaran memberi contoh produk penyaman udara.

Perbandingan dibuat antara penyaman udara dengan 1 kuasa kuda yang menggunakan 1,200 watts tenaga elektrik untuk operasi dengan penyaman udara 1 kuasa kuda yang 20 peratus cekap tenaga menggunakan 960 watts tenaga elektrik untuk operasi.

Kiraan bil tahunan untuk penyaman udara seperti berikut (1,000W = 1kW):-

Biasa = 1.2kW x 365 hari x 7 jam x RM0.25 (kadar per kWj) = RM766.50

Cekap tenaga = 0.96kW x 365 hari x 7 jam x RM0.25 (kadar per kWj) = RM613.20

"Pengiraan ringkas ini menunjukkan setiap tahun kita dapat menjimatkan sebanyak RM153.30 dalam bil elektrik kita. Jika ditambah dengan populasi Malaysia yang menggunakan penyaman udara, penjimatannya sudah tentu tinggi," kata Piarapakaran.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pengguna supaya memeriksa label dan janji produk cekap tenaga yang disebarkan melalui iklan atau ejen memandangkan terdapat produk yang tidak berfungsi seperti yang dijanjikan.

KURANG PROMOSI

Menurut Piarapakaran, Suruhanjaya Tenaga di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) telah memperkenalkan label Cekap Tenaga pada 2005.

Bagaimanapun, katanya, label tersebut kurang dipromosikan di kalangan pengguna.

"Mengikut kajian Bahagian Alam Sekitar FOMCA yang menemuramah 1,000 responden, hanya sekitar 5 peratus sahaja yang pernah melihat label ini," tambah beliau.

Beliau lalu membuat perbandingan dengan Amerika Syarikat di mana Agensi Perlindungan Alam Sekitar (US Environmental Agency/US EPA)telah memperkenalkan program pelabelan sukarela yang dipanggil 'Energy Star' pada 1992.

Program tersebut, jelasnya, adalah untuk mengenalpasti dan mempromosi barangan cekap tenaga bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Beliau menambah perlaksanaan label barangan cekap tenaga pula diwajibkan untuk kebanyakan peralatan termasuk kereta di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Di Malaysia, kata Piarapakaran, sebahagian besar pengguna tidak berminat dengan produk berkenaan kerana harganya agak mahal sedikit berbanding produk biasa.

"Pengguna kita lebih cenderung kepada produk yang harganya murah tetapi produk yang begini tidak tentunya menguntungkan kita dalam jangka masa panjang," jelasnya.

Piarapakaran memberitahu, setakat ini label cekap tenaga hanya digunakan untuk peti sejuk dan motor keupayaan tinggi, sebagai contoh untuk sistem pendingin bangunan..

"Terdapat keperluan supaya label ini digunakan untuk semua barangan elektrik di rumah dan pejabat. Dalam masa yang sama pihak yang berkenaan juga perlu memperkenalkan satu skim atau sistem untuk memudahkan pengguna mengenalpasti label ini," ujarnya lagi.

Menurut beliau, produk-produk label cekap tenaga juga perlu dipamerkan untuk menjadi rujukan kepada industri tempatan.

"Usaha ini dapat membantu pengguna memilih produk yang lebih cekap tenaga dan mesra alam," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya pihak berkuasa menggunakan Pertubuhan Bukan Kerajaan sebagai saluran untuk mendidik pengguna bagaimana membeli produk cekap tenaga serta memberi pengiktirafan sewajarnya untuk produk berkenaan.

TIP KURANG PENGGUNAAN TENAGA

Piarapakaran berkata pengguna patut mengetahui cara-cara mengurangkan penggunaan tenaga dan penjimatan penggunaan tenaga di rumah serta pejabat.

"Padam peralatan elektrik jika tidak digunakan. Jangan biarkan ia dalam keadaan 'sedia' atau 'standby' kerana ia tetap menggunakan elektrik. Gunakan cahaya matahari untuk mencerahkan ruang pejabat pada siang hari.

"Ingat, menjimatkan penggunaan tenaga elektrik juga menjimatkan penggunaan sumber asli kerana input tenaga terbesar bagi Malaysia adalah bahan api fosil. Setiap watts dijimat, menyelamatkan masa depan," katanya.

BERNAMA