Kenapa Rakyat Malaysia Perlu Bayar Lebih Untuk Bahan Bakar

Kenapa Rakyat Malaysia Perlu Bayar Lebih Untuk Bahan Bakar

Laporan Khas Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kira-kira pukul 7 malam Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan untuk menghadiri satu majlis taklimat yang diatur sebelumnya bagi semua anggota Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini.

Setengah jam kemudian, beliau tiba di sana dan terus memberi penjelasan kepada mereka tentang keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar sebanyak 41 peratus, seperti yang beliau umumkan tiga jam sebelum itu di pejabatnya di Putrajaya.

"Melalui cara beliau bercakap, cara beliau menyatakan sebab-sebabnya dan cara beliau memberi penjelasan tentang isu itu, Perdana Menteri kelihatan memahami apa yang beliau lakukan. Semuanya (penjelasan itu) diberi tanpa berpandukan teks dan beliau memberi menjelasan tentang perkara itu secara panjang lebar.

"Abdullah memberi penerangan tentang isu itu secara jelas dan padat. Ringkasnya, setelah sesi itu berakhir, kesimpulan saya ialah beliau tahu apa yang beliau perkatakan," kata Senator Datuk Gooi Hoe Hin, yang menghadiri taklimat tertutup itu.

Bagi kerajaan, langkah mengurangkan subsidi bahan bakar merupakan cara terbaik untuk memastikan wang yang diperoleh daripada pembayar cukai, digunakan secara lebih produktif seperti menambah baik kemudahan pendidikan, kesihatan dan prasarana demi faedah rakyat sendiri, daripada membiarkan sebahagian besarnya dibelanjakan secara tidak berhemat oleh pemilik kenderaan.

Kerajaan membuat keputusan untuk menangani isu itu secara berterus terang bagi mengelak rakyat menjadi semakin marah berikutan kenaikan harga bahan bakar.

Sejajar dengan itu, kerajaan juga akan mengumumkan beberapa langkah konkrit minggu ini bagi meringankan beban yang dipikul pengguna.

Gooi menerima hakikat bahawa kerajaan tidak lagi mampu untuk terus memberi subsidi terhadap bahan bakar apabila harga minyak mentah mencecah hampir AS$140 setong.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sepatutnya mengurangkan subsidi itu secara beransur-ansur, berdasarkan harga di pasaran antarabangsa.

"Memberi subsidi umpama memberi candu. Apabila rakyat sudah menjadi penagihnya, amat sukar untuk menariknya kembali kerana mereka akan mula mempersoalkan kenapa ia perlu dikurangkan," katanya.

Mulai sekarang, Malaysia perlu menghentikan pemberian subsidi bahan bakar dan bukan menunggu hingga tibanya keadaan di mana kerajaan tidak lagi mampu meneruskannya, kata beliau.

Malaysia, yang merupakan negara pengeluar minyak, memperkenalkan subsidi bahan bakar pada 1982 bagi mengurangkan kesan buruk yang ditanggung oleh pemilik kenderaan akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Kini, pemberian subsidi ini melibatkan hampir sepertiga daripada jumlah bajet negara.

Pandangan Gooi itu itu dikongsi oleh banyak pakar ekonomi dan penganalisis politik, yang percaya bahawa Malaysia terpaksa menerima saja pengajaran yang menyakitkan itu ketika kerajaan perlu membuat "keputusan yang berisiko tinggi daripada segi politik" dalam menangani isu berkenaan.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Datuk P.H.S. Lim berkata sebelum ini, kerajaan tidak menaikkan harga bahan bakar kerana ingin menjadi popular.

Beliau berpendapat kerajaan sepatutnya hanya memberi subsidi bagi bahan makanan dan pengangkutan awam, bukan terhadap bahan bakar kegunaan kenderaan persendirian kerana langkah itu mengakibatkan wujudnya ketidakcekapan dalam sistem ekonomi.

Kerajaan juga, kata beliau, sepatutnya memperkenalkan setem makanan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah untuk membeli bahan makanan.

"Baru-baru ini, saya ditanya, apabila kerajaan memberi diesel pada harga lebih murah kepada nelayan, adakah pengguna mendapat ikan pada harga lebih murah," katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng pula berkata jumlah subsidi bahan bakar telah meningkat dengan mendadak sejak 1982 dan apabila Abdullah mengambil alih teraju pentadbiran negara ini pada 2004, keadaan sudah mencapai tahap yang tidak lagi mengizinkan kerajaan untuk terus menghulurkan subsidi berikutan harga minyak yang melonjak.

Kata beliau pentadbiran Abdullah berpendapat bahawa penjimatan wang pembayar cukai hasil daripada pengurangan pemberian subsidi, perlu disalurkan ke jalan lebih baik seperti menambah baik sistem pengangkutan awam untuk memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

"Sejak 2004, kerajaan sudahpun bercadang memotongnya, tapi saya tak tahu kenapa ia tidak berbuat demikian. Kerajaan tahu, suatu hari nanti, tindakan itu perlu juga diambil. Kalau tindakan ini terus ditangguhkan dan tiba-tiba keputusan terpaksa dibuat untuk membuat pemotongan besar, sudah tentu rakyat menjadi amat marah," kata Khoo.

Beliau berharap penjimatan sebanyak RM13.5 bilion daripada subsidi bahan bakar akan digunakan secara bijak dan produktif.

Tindakan kerajaan menghentikan pemberian subsidi bahan bakar juga disokong badan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Berdasarkan data IEA, subsidi bahan bakar di China, India dan Asia Barat saja melibatkan AS$50 bilion tahun lepas.

Jumlah ini akan menjadi lebih besar pada 2008 jika harga minyak terus meningkat, kata Pengarah Eksekutif IEA Nobuo Tanaka.

Malah, beliau berkata "bukanlah suatu andaian yang tidak masuk akal" kos melindungi pengguna daripada harga pasaran di ekonomi sedang muncul ini akan meningkat kepada AS$100 bilion tahun ini.

Tanaka berkata subsidi memberi ruang kepada pengguna untuk terus menggunakan minyak secara tidak berhemat dan melonjakkan harga minyak dunia, hinggakan dalam banyak keadaan, ia menjadi beban ekonomi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan, yang lama kelamaan, memaksa kerajaan perlu mengubah dasarnya bagi membiarkan kuasa pasaran mengawal permintaan.

Hakikat bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan Petronas meraih keuntungan sejak sekian lama, sering mendorong kebanyakan rakyat Malaysia untuk bertanya kenapakah subsidi minyak tidak boleh terus diberi kepada mereka.

Ahli politik pembangkang mendakwa penjelasan kerajaan bahawa harga runcit petrol RM2.70 sekarang masih rendah berbanding di negara lain di rantau ini, tidak boleh diterima kerana ia sepatutnya dibandingkan dengan harga di negara pengeluar minyak mentah lain.

Bagi menguatkan hujah mereka, ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan satu senarai perbandingan: Emiriyah Arab Bersatu (RM1.19 seliter), Mesir (RM1.03 seliter), Kuwait (RM0.67 seliter), Arab Saudi (RM0.38 seliter), Nigeria (RM0.32 seliter) dan Venezuela (RM0.16 seliter).

Mengulas perkara ini, Ketua Ahli Ekonomi RAM Consultancy Services Dr Yeah Kean Leng berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pengeluar minyak lain dan malah, sesetengah negara membangun, memberi subsidi yang besar jumlahnya bagi harga bahan bakar.

"Tapi, apa yang menjadi persoalan ialah saiz subsidi yang mereka berikan kerana kebanyakannya hanya berjumlah kira-kira 2.0 hingga 4.0 peratus daripada KDNK mereka, kecuali sesetengah negara pengeluar minyak seperti Brunei, memberi hingga 5.0 peratus daripada kadar KDNKnya.

"Malaysia memberi kira-kira 6.0 hingga 7.0 peratus daripada jumlah KDNKnya berdasarkan harga AS$135, iaitu suatu jumlah yang terlalu besar dan kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk mengurangkannya," kata beliau.

Yeah berkata kenaikan mendadak harga bahan bakar baru-baru ini tidak dapat dielakkan setelah kerajaan membiarkan jurang antara harga pasaran dan harga yang disubsidi menjadi terlalu lebar dan pelarasan tidak dibuat sepanjang tahun ini apabila harga minyak mentah melonjak daripada AS$50 kepada lebih AS$100 setong.

"Sebab itulah kuantum yang perlu dipelaraskan begitu besar supaya ia mencapai tahap yang mampu ditanggung," katanya.

Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata Petronas tidak boleh terus memberi subsidi terhadap harga bahan bakar memandangkan keuntungan kasarnya sudahpun dimasukkan ke dalam tabung kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti.

"Separuh lagi perlu digunakan bagi dilaburkan semula ke dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan medan minyak di dalam dan di luar Malaysia.

Jika semua keuntungannya digunakan bagi menanggung subsidi bahan api untuk kegunaan domestik, suatu hari nanti, kita mungkin akan mencapai tahap menjadi pengimport sepenuhnya," kata beliau.

Lagipun, kata beliau, Petronas hanya menguasai 30 peratus daripada pasaran runcit tempatan dan ini bererti subsidi selebihnya akan jatuh ke tangan syarikat minyak asing.

Ketika membentangkan penilaian beliau tentang keadaan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican secara berterus terang berkata Petronas akan gulung tikar dalam tempoh 10 tahun lagi jika semua keuntungan yang diperolehnya diserahkan kepada kerajaan bagi membiayai subsidi bahan bakar.

Banyak syarikat minyak telah berkubur atau menghadapi masalah kewangan kerana keuntungan mereka habis diambil bagi tujuan seperti itu, katanya.

Untuk rekod, Petronas membayar RM52.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, royalti dan dividen pada tahun kewangan lepas dan jumlah ini merupakan 32 peratus daripada hasil yang dijana oleh kerajaan pusat.

Sejak ditubuhkan pada 1974 hingga tahun lepas, Petronas membayar kepada kerajaan sejumlah RM335.7 bilion daripada keuntungannya yang berjumlah RM570 bilion. Bagi menolak mitos kononnya syarikat minyak meraih keuntungan besar setiap kali harga minyak mentah meningkat, Hassan berkata Exxon Mobil meraih pendapatan kira-kira AS$40 bilion (RM130.31 bilion) tahun lepas, pertambahan hanya sebanyak AS$1 bilion (RM3.26 bilion) daripada jumlah yang diraihnya pada 2006, ketika harga minyak mentah melonjak tinggi.

"Jumlah itu adalah yang tertinggi di dunia, yang diperoleh oleh syarikat minyak paling cekap dan paling terkenal di dunia. Margin keuntungan sudah berkurangan," katanya sambil menambah bahawa dalam bidang kerja mencari gali dan mengeluarkan minyak, kini, Petronas "terpaksa mengikis hingga ke lantai tongnya".

Berdasarkan semua hujah itu, ramai yang mungkin bertanya siapakah sebenarnya yang meraih keuntungan daripada kenaikan harga minyak mentah yang begitu ketara sekarang.

Jawapan bagi pertanyaan ini mungkin dapat dicari jika seseorang itu merenungi pandangan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Datuk Idris Jala, yang pernah berkhidmat sebagai eksekutif kanan Shell, bahawa dalam keadaan tidak berlaku kekurangan bekalan minyak sekarang, harga sebenar minyak mentah ialah kira-kira AS$40 sahaja.

Pak Lah menemui jawapannya apabila beliau menuding jari kepada peniaga pasaran hadapan minyak.

BERNAMA>