Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2010/2011

Teks Ucapan Menteri

YANG BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN

SEMPENA

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA 2010/2011

DI BERJAYA TIMES SQUARE HOTEL, KUALA LUMPUR

KHAMIS, 9 DISEMBER 2010, JAM 11.30 PAGI

 

YANG BERHORMAT DATO’ TAN LIAN HOE

TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN;

YANG BERBAHAGIA DATO’ DAUD BIN TAHIR

TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN;

KETUA-KETUA BAHAGIAN, PENGARAH-PENGARAH NEGERI DAN KETUA-KETUA AGENSI;

DATUK-DATUK, TUAN-TUAN, PUAN-PUAN,

PENERIMA ANUGERAH YANG DIRAIKAN SEKALIAN;

RAKAN-RAKAN MEDIA YANG DIHORMATI;

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA.

2. TERLEBIH DAHULU, INGIN SAYA MEMANJATKAN KESYUKURAN KEHADRAT ALLAH S.W.T KERANA DENGAN IZIN DAN LIMPAH KURNIANYA MAKA DAPAT KITA BERSAMA-SAMA BERKUMPUL PADA HARI INI UNTUK MERAIKAN PENERIMA-PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA 2010/2011.

PERKEMBANGAN DUNIA PERDAGANGAN

HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN,

3. DUNIA PERDAGANGAN TELAH BANYAK MENGALAMI PERUBAHAN SEMENJAK DARI BERMULANYA ERA PERADABAN DUNIA. DAHULU, PERDAGANGAN DILAKSANAKAN SECARA SISTEM BARTER, SASARAN PELANGGAN YANG LEBIH KECIL DAN HANYA BARANGAN KEPERLUAN SEPERTI IKAN, REMPAH RATUS, TEKSTIL DAN BARANGAN EKSKLUSIF SAHAJA YANG DIPERDAGANGKAN. INI MENYEBABKAN URUSAN JUAL BELI PADA MASA TERSEBUT ADALAH LEBIH MUDAH DAN TIDAK BEGITU KOMPLEKS.

4. KEMAJUAN TEKNOLOGI, GLOBALISASI DAN LIBERALISASI PASARAN TELAH MENCORAK BAGAIMANA SEKTOR SWASTA BEROPERASI AGAR LEBIH EFISYEN DAN BERDAYA SAING SAMA ADA DI PERINGKAT DOMESTIK MAHUPUN ANTARABANGSA. SEKTOR PERDAGANGAN KINI BERADA DI ERA ‘DUNIA TANPA SEMPADAN’ (BORDERLESS WORLD) DI MANA BARANGAN DAN PERKHIDMATAN DARI SERATA DUNIA DIPERDAGANGKAN DI MERATA TEMPAT.

5. APABILA INI BERLAKU, SEMUA PIHAK BERLUMBA-LUMBA UNTUK MEMPERBAIKI ATAU MEMPERKEMASKAN OPERASI PERNIAGAAN AGAR LEBIH EFISYEN DAN JUGA MEMASTIKAN PARA PENGGUNA DIBERIKAN PERKHIDMATAN YANG TERBAIK AGAR PENGGUNA MERASAKAN PILIHAN MEREKA ADALAH YANG TEPAT. INI TERMASUKLAH DENGAN PEWUJUDAN KOD ETIKA PERNIAGAAN.

PENGENALAN ETIKA PERNIAGAAN

PARA HADIRIN SEKALIAN,

6. ETIKA MERUPAKAN satu cabang falsafah yang berkaitan dengan tingkah laku manusia yang boleh dianggap secara moralnya betul atau salah, baik atau jahat, wajar atau sebaliknya.

7. Etika perniagaan, jika diperhalusi pula, mempunyai nilai-nilai murni, falsafah dan mengambarkan budaya masyarakat sesebuah negara. Etika perniagaan bukan merupakan satu perkara yang baru. Ianya perlu dijadikan amalan dan budaya perniagaan di Malaysia kerana selaku masyarakat Timur yang bersopan santun, kita seharusnya turut bersopan santun dan jujur dalam segala perlakuan kita termasuklah perniagaan. Ia seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak mengamalkannya kerana ia merupakan elemen yang penting untuk membentuk satu organisasi yang mempunyai keperibadian tinggi dan keutuhan dalam pengurusan sesebuah perniagaan.

8. Transformasi ekonomi negara yang pesat sering meninggalkan kesan sosial kepada sesebuah negara. Arus pemodenan yang berlaku begitu pantas menyebabkan sistem nilai-nilai dan amalan murni masyarakat Malaysia pada hari ini semakin merosot. Kita semua perlu sedar bahawa kemajuan yang dikecapi oleh sesebuah negara itu tidak hanya diasaskan pada kemajuan bidang ekonomi dan teknologi sahaja malah harus DISEIMBANGKAN dengan pembangunan budaya, sosial, intelek dan kerohanian – itu yang dinamakan etika. Penghakisan sistem nilai dan amalan murni ini jika dibiarkan berlarutan, lambat laun akan turut menggugat pencapaian dan pertumbuhan ekonomi negara

ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA

9. JUSTERU, BAGI MENGHARGAI INISIATIF SEKTOR SWASTA YANG MENGAMBIL BERAT TENTANG ETIKA PERNIAGAAN DAN MUTU PERKHIDMATAN YANG MEMUASKAN KEPADA PENGGUNA, KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN DENGAN KERJASAMA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA, INSTITUT PERNIAGAAN BERETIKA DAN INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA MEMPERKENALKAN ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA. ANUGERAH INI MERUPAKAN PROGRAM DWITAHUNAN YANG TELAH DILAKSANAKAN SEJAK TAHUN 2005 LAGI. IANYA BERTUJUAN UNTUK MENGENALPASTI, MENILAI DAN MENGIKTIRAF SYARIKAT-SYARIKAT YANG MEMPUNYAI KOD ETIKA PERNIAGAAN BAGI SETIAP KRITERIA PERNIAGAAN SEPERTI PEKERJA, PENGGUNA, ALAM SEKITAR DAN LAIN-LAIN LAGI.

10. UNTUK MAKLUMAN HADIRIN SEKALIAN, TERDAPAT EMPAT KATEGORI YANG TELAH DIPERTANDINGKAN DALAM ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA IAITU SYARIKAT BESAR, SYARIKAT SEDERHANA, SYARIKAT KECIL DAN SYARIKAT MIKRO. PANEL PENILAI YANG DILANTIK TELAH MEMBUAT PENILAIAN TERHADAP 32 KRITERIA PENILAIAN PENTING YANG PATUT TERKANDUNG DALAM SESUATU KOD ETIKA. OLEH YANG DEMIKIAN, PENERIMA ANUGERAH INI MERUPAKAN SYARIKAT-SYARIKAT YANG CEMERLANG DALAM PENYEDIAAN KOD ETIKA PERNIAGAAN. SAYA MENGHARAPKAN AGAR APA YANG TERKANDUNG DI DALAM KOD ETIKA PERNIAGAAN TERSEBUT TIDAK HANYA DIBUKUKAN AKAN TETAPI TURUT DIAMALKAN DI SETIAP PERINGKAT DI SESEBUAH ORGANISASI TERSEBUT.

11. BAGI ANUGERAH PADA TAHUN INI, SEBANYAK LIMA PULUH ENAM (56) PENYERTAAN TELAH DITERIMA BAGI KESEMUA EMPAT KATEGORI TERSEBUT BERBANDING TIGA PULUH EMPAT (34) YANG DITERIMA PADA TAHUN 2008. INI MEMBUKTIKAN BAHAWA SEMAKIN BANYAK SYARIKAT YANG MEMPUNYAI KOD ETIKA PERNIAGAAN MEREKA. SAYA BERHARAP JUMLAH PENYERTAAN BAGI ANUGERAH INI SEMAKIN BERTAMBAH DI MASA AKAN DATANG SUPAYA MAJORITI SEKTOR SWASTA DI NEGARA INI MEMPUNYAI KOD ETIKA PERNIAGAAN MASING-MASING.

12. SAYA BERASA AMAT BERBESAR HATI HARI INI DAN INGIN MERAKAMKAN UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA KESEMUA PENERIMA YANG BERJAYA MERANGKUL ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA 2010/2011. MALAHAN APA YANG BOLEH DIBANGGAKAN IALAH DIANTARA PENERIMA-PENERIMA UTAMA AKPB 2010/2011 INI SEBENTAR LAGI, TERDAPAT JUGA SYARIKAT-SYARIKAT MILIK WARGA TEMPATAN. INI JELAS MENUNJUKKAN BAHAWA SYARIKAT-SYARIKAT TEMPATAN JUGA TELAH MULAI SEDAR AKAN KEPENTINGAN MEMPUNYAI KOD ETIKA TERHADAP KEMAJUAN SYARIKAT MEREKA.

13. Kementerian percaya bahawa organisasi yang beretika dalam menjalankan perniagaan adalah lebih berjaya daripada mereka yang tidak mengamalkannya. Pekerja yang bekerja dalam suasana organisasi yang baik dan harmoni akan melahirkan lebih ramai pekerja yang cemerlang dan efisien. Secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti dan akhirnya MENJADIKAN SESEBUAH organisasi ITU berjaya.

14. Adalah diharapkan agar anugerah ini akan menjadi satu landasan untuk meningkatkan imej sektor korporat dan syarikat swasta yang telah melaksanakan program-program pembangunan etika dalam organisasi masing-masing. Pada masa yang sama anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha syarikat dan perniagaan yang mengutamakan nilai-nilai murni dalam amalan perniagaan mereka, dan dengan penyertaan lebih banyak syarikat menggambarkan suasana persekitaran perniagaan yang sihat berlaku di negara ini. Ini akan menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi perniagaan yang dinamik dan berupaya menarik pelaburan asing ke arah menjana pertumbuhan ekonomi negara.

15. NAMUN BEGITU, SAYA PERCAYA SEKIRANYA TERDAPAT KELEMAHAN DALAM PENYEDIAAN KOD ETIKA PERNIAGAAN SYARIKAT, MASIH TERDAPAT RUANG UNTUK MEMPERBAIKI SEBARANG KELEMAHAN TERSEBUT. PIHAK INSTITUT PERNIAGAAN BERETIKA MALAYSIA DAN KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN SEDIA UNTUK BEKERJASAMA DENGAN PIHAK TUAN/PUAN BAGI MEMASTIKAN KOD ETIKA PERNIAGAAN TERSEBUT BOLEH DIAMALKAN DAN LENGKAP DARI ASPEK LIPUTANNYA.

PERANCANGAN KERAJAAN BAGI MENINGKATKAN SEKTOR PERDAGANGAN

HADIRIN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN,

16. YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI TELAH MENGUMUMKAN BEBERAPA ENTRY POINT PROJECTS (EPP) YANG AKAN DILAKSANAKAN DI BAWAH PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP) YANG BERTUJUAN UNTUK MEMACU EKONOMI NEGARA DAN MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI. KESEMUA PROJEK-PROJEK TERSEBUT DISASARKAN KEPADA SEKTOR PERDAGANGAN KERANA ENJIN KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA ADALAH SEKTOR SWASTA. KERAJAAN HANYA BERTINDAK SEBAGAI PEMUDAH CARA BAGI SEKTOR SWASTA MENCAPAI OBJEKTIF MEREKA.

17. AKAN TETAPI, PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN SEKTOR SWASTA TERSEBUT PERLU DISELARIKAN DENGAN AMALAN PERNIAGAAN YANG BERETIKA DAN BERTANGGUNGJAWAB. ALANGKAH RUGINYA SEKIRANYA KITA MEMPUNYAI SISTEM SOKONGAN PERNIAGAAN YANG BERTARAF DUNIA DAN PIHAK KERAJAAN YANG TANPA HENTI MEMBERIKAN BANTUAN UNTUK PIHAK PENIAGA BERKEMBANG MAJU, HANYA UNTUK MELIHAT PIHAK PENGGUNA TIDAK MEMPUNYAI KEYAKINAN TERHADAP PARA PENIAGA AKIBAT AMALAN YANG TIDAK BERETIKA DALAM PERNIAGAAN.

PARA HADIRIN SEKALIAN,

18. OLEH YANG DEMIKIAN, IA MERUPAKAN SATU CABARAN KEPADA SEKTOR PERDAGANGAN UNTUK MEMANTAPKAN OPERASI MEREKA SERTA MEMPERTINGKATKAN EFISIENSI PERNIAGAAN MEREKA BAGI MENGHADAPI ARUS GLOBALISASI. INI DITAMBAH LAGI DENGAN SYARIKAT-SYARIKAT MULTINASIONAL YANG SENANTIASA MEMPERKEMASKAN SISTEM DAN OPERASI MEREKA SELARAS DENGAN KEPERLUAN DAN KEADAAN MASA KINI.

19. SELAIN DARI ITU, SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TURUT MENGAMBIL LANGKAH UNTUK MEMPERMUDAHKAN URUSAN BERKAITAN PENDAFTARAN SYARIKAT. BAGI TUJUAN ITU, MY-COID TELAH DILANCARKAN OLEH YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI MALAYSIA PADA 11 Februari 2010. Inisiatif ini memperkenalkan nombor pemerbadanan syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sumber rujukan tunggal yang digunakan oleh agensi-agensi perintis seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp. Malaysia).

20. Penggunaan MyCoID sebagai nombor rujukan tunggal ini merupakan langkah strategik kerajaan bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian awam yang berasaskan kepada konsep mudah, cepat dan berkesan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat.

PERNIAGAAN DAN ALAM SEKITAR

21. KEMENTERIAN JUGA TELAH MELANCARKAN KEMPEN PENGURANGAN PENGGUNAAN BEG PLASTIK YANG BERTUJUAN UNTUK MEMELIHARA ALAM SEKITAR DARI SEBARANG PENCEMARAN YANG BOLEH MENGGUGAT KELANGSUNGAN HIDUP MAKHLUK-MAKHLUK DI MUKA BUMI INI. PERKARA INI JUGA TURUT TERKANDUNG DI DALAM KOD ETIKA PERNIAGAAN. SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI INGIN MENYERU AGAR SEKTOR SWASTA MENGURANGKAN PENGGUNAAN PLASTIK DALAM PEMBUNGKUSAN BARANGAN SERTA KETIKA TRANSAKSI JUAL BELI AGAR MATLAMAT KITA UNTUK HIDUP DALAM PERSEKITARAN YANG BERSIH DAN SELESA TERCAPAI.

PENUTUP

PARA HADIRIN SEKALIAN,

22. SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENYERU DAN MENGGALAKKAN SEKTOR SWASTA UNTUK MEWUJUDKAN KOD ETIKA PERNIAGAAN MASING-MASING. PEPATAH INGGERIS ADA MENYATAKAN BAHAWA CONSUMER IS KING, ATAU PENGGUNA ADALAH RAJA. TANPA PENGGUNA YANG MEMBERI SOKONGAN, SESEBUAH ENTITI PERNIAGAAN TIDAK AKAN DAPAT BERTAHAN LAMA. UNTUK MEMASTIKAN PENGGUNA MEMBERI SOKONGAN, SYARIKAT PERLULAH BEROPERASI DENGAN BERETIKA DAN KOD ETIKA PERNIAGAAN BOLEH DIJADIKAN PANDUAN.

23. SAYA TURUT BERBESAR HATI DI ATAS KEHADIRAN PARA HADIRIN HARI INI KERANA INI MENUNJUKKAN SOKONGAN, SEMANGAT DAN KOMITMEN YANG TINGGI UNTUK BERSAMA-SAMA DENGAN KERAJAAN MEMBENTUK SEKTOR PERNIAGAAN YANG LEBIH BERETIKA DAN BERTANGGUNGJAWAB. DENGAN ITU, HASRAT UNTUK MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI NEGARA MAJU BERPENDAPATAN TINGGI MENJELANG TAHUN 2020 AKAN TERCAPAI. SAYA TURUT BERHARAP PENERIMA ANUGERAH PADA HARI INI AKAN TERUS BERUSAHA UNTUK MEMPERTINGKAT DAN MEMPERKEMASKAN KOD ETIKA PERNIAGAAN MASING-MASING SERTA MENGAMALKANNYA UNTUK TERUS MEMBERIKAN NILAI TERBAIK KEPADA PENGGUNA.

24. AKHIR KATA, SEKALI LAGI SAYA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA SEMUA PENERIMA ANUGERAH PADA HARI INI. UCAPAN RIBUAN TERIMA KASIH DAN SYABAS JUGA INGIN SAYA SAMPAIKAN KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT DALAM MENJAYAKAN PROGRAM DAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BERETIKA KHUSUSNYA PIHAK SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA, INSTITUT PERNIAGAAN BERETIKA MALAYSIA DAN INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA YANG TELAH BERSAMA-SAMA DENGAN PIHAK KEMENTERIAN UNTUK MEMBENTUK SEKTOR PERDAGANGAN YANG BERETIKA DALAM PERNIAGAAN.

25. SEMOGA HASRAT MURNI KEMENTERIAN INI AKAN DIBERKATI DAN DIRAHMATI OLEH ALLAH SWT AGAR SEMUA PIHAK IAITU PENIAGA DAN PENGGUNA DAPAT SAMA-SAMA MENDAPAT KEPUASAN DALAM PERSEKITARAN PERNIAGAAN YANG HARMONI DAN SALING MELENGKAPI ANTARA SATU DENGAN LAIN DAN PADA MASA YANG SAMA NEGARA AKAN TERUS MENIKMATI KEMAKMURAN EKONOMI SEPERTIMANA YANG DIHARAPKAN OLEH KERAJAAN.

SEKIAN, WABILAHITAUFIK WALHIDAYAH, WASALAM MUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Hits : 2168
Last Update : 23 June 2012