Subsidi Untuk Industri Dan Pengguna Perlu Distruktur Semula, Kata Najib
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata subsidi untuk industri dan pengguna perlu distruktur semula dan dimansuhkan secara beransur-ansur supaya dapat meningkatkan persaingan domestik bagi memberi lebih kebebasan kepada kuasa pasaran dan inisiatif swasta.
"Peruntukan sumber negara yang lebih baik yang telah disalah peruntukkan kerana subsidi yang banyak perlu ditangani," kata Perdana Menteri dalam ucaptama pada Persidangan Ekonomi 1Malaysia anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, di sini hari Isnin.
Beliau berkata negara tidak berupaya menyediakan tenaga dengan subsidi yang berlebihan dan di bawah harga sebenar.
Najib berkata membentuk industri yang baru perlu dilakukan dengan cara berbeza dan berdasarkan kepada kemahiran, teknologi, akses kepada modal serta sokongan pemasaran.
"Bukan dengan perlindungan. Kita perlu setia sebagai juara domestik kerana juara domestik boleh menjadi juara serantau dan juara dunia.
"Lebih awal kita menyedari realiti ini, adalah lebih baik untuk kita," kata beliau.
Menurut Najib, kerajaan kini dalam proses memperkemas institusi, dasar dan dan prosedur untuk menjadikannya mudah kepada pelabur untuk melabur.
"Apa yang kita perlukan bukan pelaburan swasta yang ketara tetapi juga yang tidak ketara," katanya.
Kajian oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa 60 hingga 80 peratus daripada kekayaan negara boleh dalam bentuk aset tidak ketara seperti teknologi proprietari, harta intelek, jenama dan institusi.
Najib berkata Malaysia perlu melakukan lebih lagi untuk mewujudkan aset tidak ketara ini kerana pelaburan dalam aset ini amat penting.
"Lihat pada negara-negara yang berpendapatan tinggi, syarikat dan industri nilai tinggi mereka mempunyai nisbah tinggi dalam pelaburan tidak ketara," katanya.
-- BERNAMA