Sistem Pengangkutan Awam Sistematik Dan Mesra Pengguna Di Perak -Zambry
IPOH, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak sedang berusaha menyediakan sistem pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas yang lebih berkesan, efektif dan mesra pengguna di seluruh negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri sedia menjalin usahasama dengan syarikat-syarikat bas termasuk meluluskan tapak bagi pembinaan stesen bas yang moden pada kadar murah atau dikurangkan bayaran premiumnya.
"Kerajaan negeri telah menetapkan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam dengan sebaik-baiknya...mewujudkan rangkaian perhubungan bandar dan antara bandar yang lebih efisien di masa hadapan,''katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis permulaan kerja Pembinaan Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh dan Pusat Perdagangan dan Perniagaan Bandar Meru Raya, di sini Isnin.
Katanya kerajaan negeri sedar operasi pengangkutan awam terutama di kawasan kurang pengguna yang tidak membawa keuntungan dan bagi membantu syarikat menyediakan perkhidmatan itu, kerajaan negeri bersedia memberi subsidi bagi pembelian bas.
Sementara itu, Menteri Besar berkata Kementerian Kerja Raya telah meluluskan projek menaik taraf jalan pesisir pantai yang menghubungkan Lumut dan Taiping membabitkan kos RM680 juta.
Beliau berkata jalan sepanjang kira-kira 60 kilometer dari Segari, Lumut hingga Changkat Jering, Taiping akan dinaik taraf menjadi jalan empat lorong.
-- BERNAMA