KFCH Labur RM3 Juta Buka Restoran Rasamas Tahun Ini
PETALING JAYA, 8 Feb (Bernama) -- Franchisi Rasamas, KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH), akan membuka lima restoran baharu tahun ini, kata Pengarah Urusannya Jamaluddin Md Ali.
Pembukaan restoran yang mengkhususkan sajian ayam itu dijangka menelan kos RM3 juta. Ketika ini KFC mempunyai 43 restoran Rasamas termasuk tiga di Brunei.
Kos bagi setiap restoran tersebut dijangkakan kira-kira RM600,000.
Jamaluddin juga tidak menolak kemungkinan pembukaan lebih daripada lima restoran baharu.
"Kami melihat peningkatan permintaan bagi restoran Rasamas. Justeru itu, sasaran awal kami sebanyak lima, mungkin berubah mengikut permintaan.
"Tahun lepas, kami membuka lapan restoran baharu. Jumlah pembukaan yang berkurangan pada tahun ini adalah disebabkan oleh pelan hala tuju 2010 kami iaitu untuk membina reputasi jenama Rasamas di dalam negara," katanya selepas pelancaran rasmi hidangan promosi "Hainan Chicken" khusus sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Mengenai perkembangan lain, Jamaluddin berkata KFCH menjangka sumbangan Rasamas kepada syarikat induk itu meningkat 10 peratus tahun ini.
"Tahun lepas, Rasamas mencatatkan jualan RM22 juta yang mewakili lapan peratus jumlah perolehan KFCH.
"Kami tidak menjangkakan pertumbuhan besar kerana pada masa yang sama kami juga sedang menambahkan restoran KFC di seluruh negara tahun ini," katanya.
Buat masa ini, terdapat 476 restoran KFC di Malaysia dan bilangan ini dijangka meningkat sebanyak antara 38-40 restoran tahun ini.
KFCH mencatatkan pendapatan RM1.673 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 Sept, 2009. Ini merupakan peningkatan enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM135.3 juta, peningkatan 6.2 peratus daripada tempoh yang sama 2008.
-- BERNAMA