OCBC Buka Cawangan Islam Pertama Di Wilayah Selatan
JOHOR BAHARU, 8 Feb (Bernama) -- Anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank (Malaysia) Bhd, OCBC AI-Amin Bank Bhd secara rasmi membuka cawangan pertamanya di wilayah selatan hari ini, mengukuhkan kedudukan OCBC sebagai rakan niaga perbankan utama bagi individu dan perusahaan di Johor.
Terletak di Jalan Sutera Tanjung 8/2, Taman Sutera Utama, Skudai, cawangan itu merupakan cawangan OCBC Bank yang ke-7 di Johor, selain cawangan-cawangan di pusat bandar Johor Baharu, Taman Molek, Muar, Segamat, Kluang dan Batu Pahat.
Memperkenalkan cawangan OCBC AI-Amin Skudai, pengarah dan ketua pegawai eksekutif OCBC AI-Amin Syed Abdul Aziz Syed Kechik berkata operasi baharu di Johor akan menampung keperluan individu dan perniagaan dengan membekalkan produk dan perkhidmatan yang mematuhi syariah.
"Bilangan perniagaan yang besar di sini serta juga kedudukan Iskandar Malaysia yang berdekatan menunjukkan peluang yang besar untuk kami," katanya.
Syed Abdul Aziz berkata OCBC Al-Amin percaya ia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan industri-industri sepertikejuruteraan, perladangan, elektrik dan elektronik, pelajaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan pelancongan dengan menyediakan perkhidmatan kewangan yang inovatif.
Beliau juga mengumumkan tawaran baharu bank itu iaitu Pembiayaan-i Aset Musharakah Berkurangan.
Prinsip Musharakah Berkurangan adalah gabungan dua kontrak Syariah, Musharakah dan Ijarah, di mana bank dan pelanggan akan pada awalnya, bersama-sama memiliki harta di bawah kontrak Musharakah. Bank akan kemudiannya menyewakan bahagiannya dalam aset kepada pelanggan di bawah kontrak Ijarah.
Bagi meraikan pembukaan baharu, OCBC Al-Amin menawarkan program pengurusan harta yang menarik digelar Rezeki Dalam Genggaman, di mana pelanggan boleh menikmati kadar petunjuk 2.5 peratus setahun dalam Akaun-i Pelaburan Am tiga bulan dan dua peratus setahun hadiah bagi Akaun-i Simpanan.
Pelanggan juga akan menerima hadiah istimewa jika melanggan produk-produk terpilih.
-- BERNAMA