PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- United Studios, syarikat penjualan dan pengedaran bahan hiburan milik KRU Berhad, menawarkan dua pakej penjualan cakera video digital (DVD) filem terpilih.
Harga tawaran ialah RM9.90 dan RM19.90.
Presiden KRU Berhad, Norman Abdul Halim berkata di bawah pakej Standard Packaging, harga sekeping DVD adalah bernilai RM19.90 yang turut mengandungi rakaman di sebalik pembikan filem tersebut, adegan yang dipotong kerana melebihi had masa untuk tayangan dan beserta video muzik.
Bagi Budget Packaging pula, ia berharga RM9.90 yang mengandungi babak filem semata-mata, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran KRU Berhad oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
"Kami percaya kempen dua harga ini bakal memberi faedah kepada pengguna dengan memberi pilihan serta harga mengikut kemampuan dan kehendak mereka," kata Norman.
Beliau berkata United Studios mungkin mengadakan kempen dua harga bagi cakera padat muzik di masa akan datang.
Ismail Sabri berkata kementeriannya menyokong usaha syarikat tersebut kerana pakej berkenaan boleh merapatkan jurang harga antara DVD asli dan cetak rompak.
"Saya harap usaha KRU ini akan menjadi contoh kepada syarikat lain untuk mengikut jejak mereka. Kalau KRU boleh buat kenapa tidak orang lain," katanya.
-- BERNAMA