Kerajaan Negeri Kelantan Belum Bercadang Catu Air - MB
KOTA BAHARU, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan belum bercadang mengambil langkah mencatu bekalan air di negeri ini berikutan keadaan kemarau sekarang, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini berjimat menggunakan air bagi mengelakkan tindakan catuan perlu diambil.
"Bukan saja pada musim kemarau tetapi setiap masa kita digalakkan menjimatkan air kerana Islam melarang perbuatan membazir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tan Sri Annuar Musa semalam bahawa jika paras air terus menurun akibat musim kemarau sekarang, ia akan menjejaskan lebih 26,000 hektar sawah padi di enam kawasan di jajahan Kota Baharu, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.
Annuar berkata KADA akan menggunakan pendekatan jangka pendek bagi menyelasaikan masalah kemarau yang berlaku setiap tahun termasuk membina benteng pasir di sungai bagi meningkatkan paras air sebelum dipam untuk dialirkan ke sawah padi.
Menteri Besar Kelantan itu berkata kerajaan negeri akan menganjurkan solat hajat memohon hujan di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini, Jumaat ini dan menggesa orang ramai untuk datang beramai-ramai bagi menyertai solat hajat itu.
-- BERNAMA