PROGRAM PROMOSI DAN PEMASARAN PRODUK PKS KE HYPERMARKET/PASARAYA
a) "Produk Malaysia Citarasa Kita" (PMCK)
KPDNKK telah mendapat kerjasama pihak pasaraya untuk melaksanakan Program Promosi Produk PKS sejak tahun 2003 dan pada masa ini memberi fokus kepada pemasaran produk PKS di dalam dan luar negara melalui rangkaian pasaraya sedia ada. Sejak program ini diperkenalkan, jumlah pengusaha dan produk PKS yang berjaya disenaraitetapkan sebagai pembekal kepada pasaraya telah meningkat dari setahun ke setahun.
Objektif utama program promosi ini adalah bagi memperluaskan peluang pemasaran pengusaha PKS, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan PKS khususnya melalui perluasan segmen pasaran. Ini juga bertujuan bagi mewujudkan kerjasama antara PKS tempatan dengan pihak pasaraya serta agensi Kerajaan supaya produk mereka setaraf dengan keluaran multinasional di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Program ini telah diperkenalkan pada tahun 2003 dan telah dijalankan dengan kerjasama pasaraya Carrefour, Giant, Jusco, Mydin, Tesco dan The Store. Pada tahun 2008, program ini turut diperluaskan dengan kerjasama pasaraya Sunshine dan UO Superstore.
Sepanjang tahun 2009, sebanyak lapan (8) program telah berjaya dilaksanakan dengan sejumlah 266 syarikat yang terlibat. Program ini akan diteruskan lagi pada tahun 2010 bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan untuk memastikan sebanyak 30% produk Bumiputera disenarai tetap di pasaraya/supermarket dalam negara. Penyenaraian produk PKS Bumiputera di pasaraya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa. Jumlah penyertaan PKS melalui program PMCK untuk tahun 2009 adalah seperti di Jadual 1.
Jadual 1: Bilangan PKS dan Produk PKS di Bawah Program Promosi PMCK
| Bil. |
Pasar Raya / Pasar Raya Besar |
Tarikh |
Jumlah Syarikat |
| 1 |
Jusco, AU 2, Keramat Kuala Lumpur |
17 Feb - 1 Mac 2009 |
29
|
| 2 |
Tesco, Melaka |
14 - 22 Mac 2009 |
62
|
| 3 |
Jusco, Seremban 2, Seremban, N. Sembilan |
20 Okt - 1 Nov 2009 |
24
|
| 4 |
UO Superstore, Ipoh, Perak |
9-18 November 2009 |
29
|
| 5 |
Giant Plentong, Johor |
20-29 November 2009 |
30
|
| 6 |
Giant, Kolombong, Sabah |
30 Nov - 6 Dis 2009 |
30
|
| 7 |
Mydin, Ayer Keroh, Melaka |
18 - 24 Disember 2009 |
32
|
| 8 |
Carrefour, Seberang Prai, Pulau Pinang |
27 Dis 2009 - 1 Jan 2010 |
30
|
Program promosi diadakan selama dua minggu di dalam pasaraya-pasaraya yang telah dikenalpasti (in-store promotion). Pemilihan PKS dan produk dibuat bersama antara Kementerian dan pasaraya berkaitan. Produk-produk yang berjaya mendapat permintaan dan membuat jualan yang tinggi selama tempoh promosi akan disenarai tetapkan di pasaraya-pasaraya berkaitan. Pemantauan akan dibuat dari segi kapasiti pengeluaran, pembiayaan kewangan, kualiti produk, packaging, labeling, prestasi jualan serta komitmen oleh usahawan bagi memastikan produk PKS sentiasa mendapat tempat di pasaran dan berupaya bersaing dengan lain-lain produk yang telah lama berada di pasaran.
Cabaran Pasaran Produk PKS Di Pasar raya
Kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pasaraya bagi mengenalpasti kelemahan pengusaha dan produk PKS bagi membolehkan penambaikan dibuat dari semasa ke semasa. Cabaran utama PKS adalah persaingan yang hebat di mana:
a) kebanyakan PKS mengeluarkan produk yang sama seperti sos, kicap atau kopi. PKS berbeza dengan produk yang sama menyukarkan pasaraya untuk menyenaraikan PKS berkenaan sebagai pembekal disebabkan ruang yang terhad untuk memamerkan kategori produk tersebut di rak-rak pasaraya.
b) PKS yang sama mengeluarkan beberapa kategori produk yang berbeza juga menimbulkan masalah kerana PKS berkenaan tidak mampu untuk memberi fokus kepada semua produk semasa aktiviti promosi atau ‘sampling' . Ini menyebabkan ada sesetengah produk yang tidak terjual dalam tempoh yang lama.
c) kurang pengalaman dalam pemasaran produk dan tidak menyediakan peruntukan khas untuk mempromosikan produk mereka. Kebanyakan PKS terlalu bergantung kepada pasaraya untuk menyediakan pelan perniagaan dan pelan promosi untuk melariskan produk mereka. Sekiranya ini berlaku, pihak pasaraya akan mengenakan kadar tertentu (rebet) kepada PKS yang ditolak daripada bayaran jualan produk mereka.
d) penghantaran produk yang tidak konsisten oleh PKS. Seringkali produk yang dihantar tidak menepati jumlah tempahan atau tidak tepat pada masa yang ditetapkan. Ini disebabkan PKS Bumiputera tidak mempunyai rangkaian logistik dan pengedar yang mampu memenuhi tempahan oleh pasaraya seluruh negara.
e) jangka hayat produk yang terlalu pendek menyukarkan produk tersebut disenarai tetapkan di pasaraya-pasaraya tempatan. Jangka hayat produk yang ditetapkan oleh pasaraya adalah di antara 6 bulan hingga satu tahun.
Lain-lain cabaran yang dikenalpasti hasil kajian oleh Bank Negara Malaysia adalah:
- akses kepada khidmat nasihat yang terhad
- strategi pemasaran dan promosi yang terhad
- akses kepada pasaran dalam dan luar negara yang terhad
- kekangan keupayaan pengurusan dan teknologi
- nilai ditambah yang rendah dan tidak berdaya saing
- kekurangan latihan
- kekangan keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang terhad
- kesukaran mendapatkan pembiayaan
b) "Taste Of Malaysia" (TOM)
Program Taste of Malaysia (TOM) merupakan program kerjasama di antara Kementerian dengan kerjasama pasaraya asing di luar negara. Program ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan sehingga Disember 2009 sebanyak lapan (8) program telah berjaya dijalankan. Pecahan pelaksanaan program bermula dari tahun 2005 sehingga 2009 adalah seperti berikut:
| Bil. |
Lokasi
|
Tahun
|
|
1.
|
Giant, Hong Kong |
2005
|
|
2.
|
Giant, Singapura |
2005
|
|
3.
|
Carrefour Dubai, UEA |
2006
|
|
4.
|
Giant, Jakarta, Indonesia |
2006
|
|
5.
|
Tesco, London |
2007
|
|
6.
|
Carrefour, Paris |
2007
|
|
7.
|
Giant, Hong Kong |
2008
|
|
8.
|
Pasaraya Tempatan di Dubai, UEA |
2009
|
| |
(Union Corp, E-Mart, Families, Apsara, Dal Ar Yameen, |
| |
dan Green Mart) |
|
Pendekatan bagi memasarkan produk PKS ke luar negara melalui rangkaian hypermarket adalah tepat dan berkesan. Usaha bagi menjadikan PKS tempatan sebagai industri sokongan kepada rangkaian-rangkaian hypermarket dapat mempercepatkan perkembangan dan pertumbuhan PKS negara serta dapat mengatasi masalah akses pasaran produk-produk PKS di dalam dan luar negara. Kejayaan usaha ini akan menjadi pemangkin kepada inisiatif KPDNKK untuk memperluaskan kerjasama perdagangan dengan hypermarket yang mempunyai jaringan pemasaran di peringkat antarabangsa.
Sejak dilaksanakan, program ini telah mencapai pelbagai kejayaan seperti penyenaraian tetap produk-produk IKS Bumiputera di pasaraya luar negara, sesi suaian perniagaan yang membuka pasaran baru kepada IKS tempatan serta publisiti meluas melalui media cetak dan elektronik.
Pada tahun 2009, Kementerian telah melaksanakan program promosi TOM di Dubai bermula dari 4 hingga 6 Disember 2009 di mana sebanyak 24 IKS bersama 142 produk telah berjaya menyenarai tetap produk mereka di enam (6) buah rangkaian hypermarket dan pasaraya di sana.

Kesemua program promosi tersebut telah berjalan dengan jayanya dan KPDNKK telah menerima maklumbalas yang positif daripada semua pihak yang terlibat termasuk pihak hypermarket dan peserta program promosi. Kejayaan Program Promosi "Taste of Malaysia" ini telah dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (National SME Development Council) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Pihak Kerajaan berpendapat program tersebut perlu diteruskan ke negara-negara lain di mana terdapatnya rangkaian hypermarket asing dan tempatan.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai program ini sila hubungi:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan
Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5
No.13, Persiaran Perdana, Presint 2
62623 Putrajaya
Tel: 03-8882 5768/5769/5790
Faks: 03-8882 5826
|