Hak-hak Pengguna
Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari
hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan
bertanggungjawab. Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami
ialah:
Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak
mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang
memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang
mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan
pendidikan, dan sebagainya
Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.
Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk
memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah
dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain
yang palsu, penipuan dan penyelewengan.
Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat
maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna
perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat
keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan
memuaskan dengan harga yang berpatutan.
Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna
mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan
dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.
Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat
penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun
perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi
perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang
mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran
atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib
diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.
Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan
berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi
perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah
pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi
pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak
menjadi pengguna yang bijak.
Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna
berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta
bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan
oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur
alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.
|