| KAWAL NAFSU SEMASA JUALAN MURAH | | Cetak | |
|
KAWAL NAFSU SEMASA JUALAN MURAH Jualan murah sudah menjadi tradisi di Negara ini untuk menarik dan mendorong pengguna berbelanja lebih. Pengguna dihidangkan dengan pelbagai jenama terkenal dan popular melalui potongan harga yang mengasyikkan. Potongan 10 hingga 50 peratus, malah kadangkala sehingga 70 peratus menjadi amalan biasa dalam setiap jualan murah. Tidak syak lagi, ramailah pengguna yang terpikat dan terdorong untuk mengambil peluang daripada tawaran harga murah yang disediakan. Pelbagai taktik dan muslihat digunakan untuk merujuk, menarik minat dan ‘memaksa’ pengguna berbelanja melalui jualan-jualan murah ini. Istilah-istilah seperti ‘Tawaran Istimewa’. ‘Jualan Tutup Kedai’, ‘Jualan Habis-habisan’, Jualan Penghabisan Stok’, ‘Jualan Hebat’, ‘Beli Satu Percuma Satu’ dan bermacam-macam istilah lagi untuk menjadi senjata untuk mengaburi mata dan kewangan pengguna supaya berbelanja berhabis-habisan! Mengambil kesempatan berbelanja ketika jualan murah, memanglah ada asasnya berbanding jualan biasa. Selain tujuan kerajaan menjadikan karnival membeli-belah ini untuk membantu meningkatkan kegiatan perdagangan dalam negara dan seterusnya memulihkan keadaan ekonomi negara, para pengguna juga berpeluang mendapatkan barangan yang sama dengan harga yang lebih murah. BERINGAT KETIKA BERBELANJA Namun ia tidak bermakna menuntut pengguna supaya berbelanja lebih semata-mata untuk merebut tawaran-tawaran yang disediakan. Pengguna tidak seharusnya leka atau tertipu dengan muslihat penjual sehingga merugikan pengguna sendiri. Pengguna perlulah berbelanja dengan cermat agar membawa berkat. Beli hanya jika anda menerlukan barangan berkenaan. Pengguna tidak wajar berhutang apatah lagi menambah hutang hanya kerana adanya tawaran murah atau bimbang terlepas peluang untuk memperolehi barangan jualah murah. Bayangkanlah keburukannya, jika ada yang terpaksa berhutang atau berbelanja lebih daripada sepatutnya setiap kali jualan murah dilangsungkan. Pengguna juga harus bijak memastikan barangan yang benar-benar murah dan berguna. Kesediaan peniaga mahupun gedung-gedung membeli-belah menawarkan barangan bermutu dengan harga yang lebih rendah, wajar dicurigai. Berhati-hatilah ketika membeli agar pengguna diberkati, sekali gus membantu kerajaan mengawal inflasi dan memulihkan ekonomi negara. TIP PENGGUNA UNTUK MEMBELI BELAH 1. Rancang dan bataskan perbelanjaan. Sediakan senarai barang yang hendak dibeli. Pastikan anda mematuhi senarai tersebut. 2. Amalkan penggunaan wang tunai untuk mengehadkan perbelanjaan. 3. Jangan mudah percaya semua yang didengar atau dilihat. 4. Beli hanya ketika perlu. 5. Pastikan mutu dan kegunaan barangan yang dibeli tidak terjejas atapun hampir terjejas. 6. Bandingkan harga dan kualiti dengan kedai-kedai yang lain sebelum membuat pembelian. 7. Ketahui dan kagumi hak-hak anda sebagai pengguna. 8. Bawa bakul yang kecil, bukan troli. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kecenderungan dan keinginan anda untuk berbelanja lebih. 9. Berbelanja apabila anda kenyang. Amalan ini dapat mengelakkan anda daripada tergesa-gesa dan membuat pilihan dengan lebih tenang. 10. Semak harga yang dikemukakan dengan harga yang tercatat pada resit dan jumlah barangan yang dibeli. 11. Buat tuntutan jika terdapat perbezaan sama ada dari segi harga, kualiti, keselamatan dan kesahihan barang yang dibeli. 12. Berjalan atau gunakan pengangkutan awam. Ia dapat menghadkan hasrat dan kemampuan anda untuk membeli barangan yang tidak perlu. Perlu ingat, ketika membeli, perlu berdasarkan keperluan dan kemampuan. BUKAN mengikut perasaan atau keinginan. Alah membeli menang memakai. Utamakan barangan tempatan. Belilah barangan buatan Malaysia. |




