Perbadanan Harta Intelek Malaysia

Perbadanan Harta Intelek Malaysia

Sebelum tahun 1983, Hak Harta Intelek (IPR) di Malaysia diuruskan oleh Pejabat Cap Dagangan dan Jaminhak. Pejabat ini telah menukar namanya kepada Pejabat Dagangan dan Paten pada tahun 1983 dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 27 Oktober 1990, Kementerian tersebut telah distruktur semula dan Pejabat Dagangan dan Paten telah diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna yang kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pejabat Dagangan dan Paten kemudiannya telah menukar nama kepada Bahagian Harta Intelek (BHI). Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelia dan mentadbir Akta Paten 1983, Akta Tanda Dagangan 1976 dan Akta Hak Cipta 1987. 

Akta Rekabentuk Industri 1996 telah mula berkuatkuasa pada tahun 1999, diikuti dengan Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 (Akta 601) pada tahun 2000 dan Akta Petunjuk Geografi 2000 (Akta 602) pada tahun 2001.

Selaras dengan perkembangan Harta Intelek di peringkat domestik dan antarabangsa, Bahagian Harta Intelek (BHI) telah diperbadankan pada 3 Mac 2003 dan dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek  Malaysia (PHIM) dengan penguatkuasaan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 (Akta 617) .

PHIM akronim Melayu telah menukar namanya kepada MyIPO pada 3 Mac 2005 sempena Pelancaran Hari Harta Intelek Negara yang julung kali diadakan.

Objektif

  • Mewujudkan sebuah pentadbiran yang kukuh;
  • Memperkukuhkan undang-undang Harta Intelek;
  • Menyediakan maklumat komprehensif dan mesra pengguna mengenai Harta Intelek;
  • Menggalakkan program kesedaran awam mengenai kepentingan Harta Intelek; dan
  • Menyediakan khidmat nasihat mengenai Harta Intelek.

Fungsi

  • memastikan peruntukan perundangan Harta Intelek diurus dan dikuatkuasa dengan wajar;
  • menyediakan perkhidmatan pentadbiran, mengutip dan menguatkuasa bayaran yuran yang ditetapkan atau caj-caj lain di bawah Perundangan Harta Intelek;
  • mengawal selia dan bertindak sebagai penasihat dalam apa-apa isu atau perkara berkaitan Perundagan Harta Intelek.
  • memberi  nasihat dalam semakan semula dan mengemaskini Perundangan Harta Intelek;
  • menggalak dan mempertingkat latihan dan penyebaran maklumat mengenai Harta Intelek;
  • mempromosi dan menganjurkan program kerjasama di peringkat nasional atau antarabangsa;
  • menjaga kepentingan Malaysia berhubung dalam apa -apa perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang mana Malaysia mejadi ahli;
  • memberi khidmat nasihat kepada Kerajaan mengenai perkembangan isu-isu atau hal-hal berkaitan harta intelek di peringkat antarabangsa; dan
  • menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan isu-isu Harta Intelek.

Laman Web myipo:www.myipo.gov.my

Paparan : 42743
Dikemas kini pada : 11 April 2012