Dasar Amalan Perdagangan Adil

DASAR AMALAN PERDAGANGAN ADIL
 

OBJEKTIF

Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA) telah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Oktober 2005 bagi tujuan mencapai objektif:

  1. Mempromosi dan melindungi persaingan dalam pasaran;
     
  2. Mewujudkan usahawan yang dinamik dan berdaya saing;
     
  3. Menyediakan peluang pasaran yang adil dan berdaya saing bagi perniagaan;
     
  4. Melarang amalan anti-persaingan termasuk amalan yang dilakukan di luar Malaysia yang menjejaskan pasaran domestik;
     
  5. Melarang amalan-amalan perdagangan tidak adil dalam ekonomi;
     
  6. Menggalakkan penyertaan usahawan kecil dan sederhana (IKS) dalam      ekonomi;
     
  7. Mempromosikan kebajikan pengguna; dan
     
  8. Menggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi, mewujudkan kecekapan dan ekuiti.


SKOP DAPA

Skop DAPA tidak merangkumi :-

  1. Fungsi kedaulatan Kerajaan; dan
     
  2. Semua tindakan yang menyumbang kepada kebaikan untuk negara yang menggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi, mewujudkan kecekapan dan ekuiti.


PENGGUBALAN AKTA PERSAINGAN 2010

Bagi menyokong dasar amalan perdagangan adil, Akta Persaingan 2010 telah digubal dan diluluskan di Parlimen pada bulan Mei 2010 dan diwartakan pada Jun 2010. Penggubalan Akta ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi Negara dengan menggalakkan dan melindungi proses persaingan, dan dengan demikian itu melindungi kepentingan pengguna. Akta Persaingan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 dan terpakai bagi semua aktiviti komersial di dalam dan di luar Negara yanf memberi kesan kepada persaingan di Malaysia.


Akta Persaingan 2010 melarang amalan-amalan anti-persaingan berikut:- 

  • Larangan terhadap perjanjian anti-persaingan sesama perusahaan. Contoh-contoh perjanjian anti-persaingan adalah aktiviti penetapan harga (price fixing), perjanjian pembahagian pasaran (market allocation), membatas atau mengawal pengeluaran atau bid-rigging; dan
     
  • Larangan terhadap penyalahgunaan kuasa dominan pasaran. Contoh-contoh penyalahgunaan kuasa dominan pasaran oleh sesuatu perusahaan adalah menetapkan harga belian atau jualan yang tidak adil atau penjualan barangan atau perkhidmatan di bawah kos dan tied sellling.


Pengenalan Akta Persaingan 2010 di Malaysia dapat memastikan wujudnya persaingan yang sihat di dalam pasaran dan seterusnya dapat memberi kesan yang mendalam kepada pengguna, perusahaan dan ekonomi Negara. Ianya dapat memelihara hak pengguna terutamanya dalam membuat pilihan dan mendapat akses kepada perkhidmatan/produk yang berkualiti pada harga yang kompetitif.Pengenalan Akta Persaingan 2010 ini bukan sahaja mampu menjamin hak pengguna malah menjadi insentif kepada usahawan-usahawan yang sedia ada dan baru untuk menjadi lebih efisyen dan inovatif dalam menjalankan perniagaan.


SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC)

Bagi menguatkuasakan larangan-larangan yang dinyatakan di dalam Akta Persaingan 2010, Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 telah digubal bagi tujuan penubuhan satu suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Penubuhan MyCC yang telah ditubuhkan pada 1 April 2011 bertujuan untuk memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan di Malaysia dijalankan dengan telus, teratur serta bebas daripada pengaruh luar. MyCC merupakan sebuah badan bebas yang mempunyai kemampuan untuk menerima aduan, melaksanakan penyiasatan, mengenakan hukuman bagi sebarang pelanggaran terhadap amalan-amalan anti persaingan yang dilarang di bawah Akta Persaingan 2010 dan merangka prosedur yang terperinci dalam mengendalikan penyiasatan dan prosiding.


Ahli MyCC terdiri daripada Pesuruhjaya-pesuruhjaya yang merupakan  pegawai-pegawai Kerajaan dan juga mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perniagaan, industri, perdagangan, undang-undang, ekonomi, pentadbiran awam, perdagangan adil, undang-undang persaingan, perlindungan pengguna atau kelayakan yang bersesuaian.


PENALTI

Akta Persaingan 2010 turut memperuntukkan penalti bagi sebarang pelanggaran terhadap amalan-amalan anti persaingan yang dilarang di bawah Akta Persaingan 2010 iaitu sebanyak 10% maksimum daripada perolehan seluruh dunia perusahaan itu selama tempoh semasa pelanggaran itu berlaku. Ianya bertujuan sebagai langkah pencegahan (deterrent) serta memupuk kesedaran kepada individu dan perusahaan tentang implikasi amalan-amalan anti-persaingan.


TRIBUNAL RAYUAN PERSAINGAN

Keputusan pelanggaran-pelanggaran, jumlah penalti yang dikenakan dan sebarang langkah interim (interim measure) yang di buat oleh Suruhanjaya Persaingan  boleh dirayu oleh mana-mana pihak yang terjejas dengan keputusan tersebut kepada sebuah tribunal yang dikenali sebagai Tribunal Rayuan Persaingan.


SEMAKAN KEHAKIMAN DI MAHKAMAH TINGGI

Prosedur-prosedur sedia ada bagi tujuan semakan kehakiman akan diguna pakai bagi kes-kes persaingan.

 

Paparan : 30869
Dikemas kini pada : 15 Ogos 2012