Dasar Pengguna Negara

Dasar Pengguna Negara (DPN)

1.    KENYATAAN DASAR

DPN memberi fokus kepada usaha membudayakan amalan perlindungan kendiri oleh pengguna, kawalselia kendiri oleh peniaga/pengeluar dan mencapai tahap perlindungan pengguna yang berkesan yang dapat menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mewujudkan pasaran yang adil dan pembangunan yang lestari selaras dengan perkembangan ekonomi tempatan dan global.

2.    RASIONAL DASAR PENGGUNA NEGARA

  2.1    Matlamat akhir pembangunan Negara adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat yang juga merupakan pengguna. Kebergantungan pengguna terhadap kepada barangan dan perkhidmatan di pasaran memerlukan satu dasar yang menyeluruh untuk memastikan pengguna dan peniaga dapat memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing demi pembangunan ekonomi negara yang mampan. Pengguna memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi domestik yang mampu menjadi penampan kepada kesan pergolakan ekonomi global.

  2.2     Dalam konteks ini, DPN diperlukan sebagai asas, prinsip dan panduan dalam menggubal dasar dan undang-undang berkaitan kesejahteraan pengguna terutamanya aspek perlindungan pengguna demi kesejahteraan pengguna. DPN juga perlu diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar ekonomi atau sosial negara. Dasar ini adalah asas kepada segala kegiatan berkaitan kepenggunaan oleh agensi kerajaan, Persatuan Pengguna, badan bukan kerajaan yang lain dan sektor swasta supaya budaya kepenggunaan dan pengeluaran lestari (sustainable production) dapat dipertingkatkan di negara ini.

  2.3    Pewujudan DPN diperlukan bagi mengurangkan kesan globalisasi terhadap pengguna, peniaga dan Kerajaan. Kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta kecanggihan teknologi kesan dari liberisasi ekonomi dan globalisasi mengubah aspek perundangan, ekonomi, strategi perdagangan dan sosial sesebuah negara.  

  2.4    DPN diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang mengamalkan perlindungan kendiri iaitu bijak, bermaklumat, proaktif dan bertanggungjawab, mampu mempengaruhi aktiviti golongan pembekal/pengilang serta sensitif terhadap segala tindakan dan tingkah laku mereka yang boleh mempengaruhi keadaan ekonomi dan sosial negara. Pengguna yang berdaya upaya dan bersatu di bawah tema "1 Pengguna 1 Suara" mempunyai kuasa yang besar yang mampu menentukan barangan dan perkhidmatan yang sepatutnya ada di pasaran Malaysia.

  2.5    Masyarakat peniaga memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kesejahteraan pengguna. Khususnya, peniaga yang beretika, mengamalkan kawal selia kendiri, bertanggungjawab dan jujur boleh menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

  2.6    DPN diperlukan bagi mencapai Wawasan Kerajaan dalam meningkatkan keprihatinan dan pengetahuan   masyarakat pengguna dan peniaga terhadap hak-hak dan tanggungjawab masing-masing serta berganding bahu bagi mencapai kemakmuran negara secara keseluruhannya. DPN menjadi asas kepada program ke arah menyediakan pengguna dan peniaga yang mampu memainkan peranan aktif dalam Negara maju yang berpendapatan tinggi.

3.    MATLAMAT DASAR PENGGUNA NEGARA

  3.1    DPN digubal berteraskan pendekatan ekologi yang mengiktiraf hubungan timbal-balik antara pengguna dan sistem di persekitarannya seperti sistem ekonomi, sosial dan politik. Khususnya, pengguna berinteraksi dengan sistem lain dan saling mempengaruhi dan dipengaruhi oleh sistem di persekitaran.

  3.2    DPN digubal dengan TIGA (3) matlamat iaitu:

  3.2.1  Melahirkan pengguna yang berdaya upaya dan  melaksanakan perlindungan kendiri
  Pengguna yang berdaya upaya adalah pengguna yang mendapat akses kepada maklumat dan faedah daripada persaingan menggunakan maklumat, ilmu dan berdikari. Pengguna berdaya upaya juga adalah pengguna yang mampu melindungi diri sendiri dan sedar akan setiap keputusan semasa berurusan dalam pasaran.

  3.2.2     Meningkatkan kawal selia kendiri di kalangan peniaga
  Kawal selia kendiri adalah usaha membentuk, mengurus peraturan dan amalan dalam pasaran yang dikuatkuasakan sendiri oleh peniaga atau pengusaha. Ianya merupakan aktiviti kolektif dengan penglibatan dan persetujuan semua sektor untuk mematuhi peraturan yang digubal dan dipersetujui bersama. Kawal selia kendiri merupakan aktiviti secara sukarela dan mereka yang terlibat sememangnya faham bentuk faedah yang boleh didapati daripada usaha tersebut.

  3.2.3     Meningkatkan keberkesanan perlindungan  pengguna
  Perlindungan pengguna yang berkesan wajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Kerajaan memainkan peranan dalam penguatkuasaan dan secara keseluruhannya menyelaras kebajikan pengguna dan peniaga.

4.    OBJEKTIF DASAR PENGGUNA NEGARA

  4.1 Objektif DPN dikenal pasti  bagi mencapai tiga matlamat DPN. Objektif-objektif ini dirangka bagi menentukan hala tuju matlamat DPN dan menggariskan strategi-strategi yang perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat berkenaan. Khususnya objektif ini dirangka untuk mencapai matlamat yang telah dikenal pasti untuk setiap pihak yang berkepentingan: pengguna, peniaga dan kerajaan. Keseluruhan ekosistem ini akan menuju ke arah pencapaian wawasan DPN iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan pengguna melalui amalan pasaran yang adil.

  4.1.1    Melahirkan pengguna yang berdaya upaya dan melaksanakan perlindungan kendiri
  Objektif-objektif bagi melahirkan pengguna yang berdaya upaya dan melaksanakan perlindungan kendiri adalah:
   (i)         Meningkatkan kualiti, kuantiti dan akses kepada maklumat
   (ii)         Melahirkan pengguna yang bertanggungjawab dan beretika
   (iii)    Membangunkan pergerakan pengguna yang berkesan
   (iv)         Meningkatkan keupayaan pengguna rentan dari segi sumber dan perlindungan

  4.1.2     Meningkatkan kawal selia kendiri di kalangan peniaga     
  Objektif-objektif bagi meningkatkan kawal selia kendiri di kalangan peniaga adalah:
   (i)        Peniaga yang beretika serta bertanggungjawab sosial
   (ii)        Menggalakkan amalan kawal selia kendiri di kalangan peniaga/ pengeluar
   (iii)    Membangun pasaran prihatin pengguna

  4.1.3    Meningkatkan keberkesanan perlindungan pengguna
  Objektif-objektif bagi meningkatkan keberkesanan perlindungan pengguna adalah:
   (i)         Memantapkan undang-undang dan peraturan perlindungan pengguna
   (ii)         Membangunkan sistem tebus rugi yang cekap, mudah dan mesra pengguna
   (iii)    Mewujudkan mekanisme koordinasi/penyelarasan antara agensi yang terlibat dalam perlindungan pengguna
   (iv)        Mengukuhkan perlindungan pengguna melalui pemakaian Standard
   (v)         Memperluaskan perlindungan pengguna ke peringkat Serantau dan Antarabangsa
   (vi)         Membangunkan sumber manusia yang berkualiti

5.    STRATEGI

Strategi-strategi berikut boleh dilaksanakan bagi mencapai objektif-objektif berdasarkan kepada matlamat yang telah ditetapkan.

(A)    Melahirkan pengguna yang berdaya upaya dan melaksanakan perlindungan kendiri

Strategi-strategi bagi mencapai objektif-objektif di bawah matlamat melahirkan pengguna yang berdaya upaya dan melaksanakan perlindungan kendiri adalah:

5.1    Meningkatkan kualiti, kuantiti dan akses kepada maklumat

  5.1.1    Menyediakan landasan hubungan/interaksi antara pengguna dan kerajaan

  5.1.2    Meningkatkan akses pengguna kepada maklumat yang tepat

  5.1.3    Meningkatkan penerbitan dan edaran bahan berkaitan pengguna

5.2    Melahirkan pengguna yang bertanggungjawab dan beretika

  5.2.1     Mengarusperdanakan pendidikan pengguna

  5.2.2     Meningkatkan keberkesanan program pendidikan pengguna

  5.2.3     Memantau tahap pencapaian semasa pengguna Malaysia.

  5.2.4     Mewujudkan persekitaran yang membolehkan pengguna berfungsi dengan cekap di pasaran.  

5.3    Membangunkan pergerakan pengguna yang berkesan

  5.3.1     Mengukuhkan fungsi persatuan/ pergerakan pengguna

  5.3.2     Meningkatkan jaringan antara kerajaan dan persatuan /NGOs

  5.3.3     Meningkatkan  program bersama rakyat (outreach)

5.4    Meningkatkan keupayaan pengguna rentan dari segi sumber dan perlindungan

  5.4.1    Mempertingkatkan perlindungan bagi golongan pengguna rentan

(B)     Meningkatkan Kawal Selia Kendiri Di Kalangan  Peniaga

Strategi-strategi bagi mencapai objektif-objektif di bawah matlamat meningkatkan kawal selia kendiri di kalangan peniaga adalah:

5.5    Peniaga yang beretika serta bertanggungjawab sosial

  5.5.1    Meningkatkan usaha memupuk nilai murni sejagat

  5.5.2    Mengarus perdanakan Kod Etika dalam amalan perniagaan

5.6 Menggalakkan amalan kawal selia kendiri di  kalangan peniaga/ pengeluar

  5.6.1 Meningkatkan pemahaman tentang faedah kawal selia kendiri

  5.6.2 Menyediakan pengiktirafan kepada peniaga yang mengamalkan kawal selia kendiri

  5.6.3 Meningkatkan pemantauan kawal selia kendiri di kalangan industri

5.7    Membangunkan pasaran 'prihatin pengguna'

  5.7.1 Meningkatkan amalan  perniagaan 'prihatin pengguna'

  5.7.2    Mewujudkan persekitaran, hubungan dan polisi perniagaan yang mengutamakan pengguna

  5.7.3    Meningkatkan peranan organisasi perniagaan ke arah merealisasikan pasaran 'prihatin pengguna'

(C)    Meningkatkan Keberkesanan Perlindungan Pengguna

Strategi-strategi bagi mencapai objektif-objektif di bawah matlamat meningkatkan keberkesanan perlindungan pengguna adalah:

5.9 Memantapkan undang-undang dan peraturan perlindungan pengguna

  5.9.1    Memudah dan meningkatkan persekitaran perundangan untuk peniaga dan pengguna

  5.9.2    Menginstitusikan perancangan yang berdasarkan bukti

  5.9.3    Meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang

5.10 Membangunkan sistem tebus rugi yang cekap, mudah dan mesra pengguna

  5.10.1 Membentuk mekanisme aduan pengguna yang cekap dan berkesan.

  5.10.2 Menyediakan sistem penyampaian khidmat menyelesaikan masalah  yang cepat dan murah

  5.10.3 Memantau aksesibiliti dan keberkesanan mekanisma  penyelesaian.

  5.10.4 Membentuk mekanisma penyelesaian bagi perdagangan elektronik.

5.11 Mewujudkan mekanisma koordinasi/ penyelarasan antara agensi yang terlibat dalam perlindungan pengguna

  5.11.1 Mewujudkan mekanisma pertukaran maklumat perlindungan pengguna di peringkat nasional.

  5.11.2 Penubuhan pusat penyelidikan dan pendidikan pengguna

5.12 Mengukuhkan perlindungan pengguna melalui pemakaian Standard

  5.12.1 Meningkatkan kesedaran terhadap standard   keselamatan barang dan perkhidmatan

  5.12.2 Meningkatkan standard dan sistem pelabelan barangan pengguna
        
5.13 Membangunkan sumber manusia yang berkualiti

  5.13.1 Melengkapkan pegawai KPDNKK dan Pemimpin persatuan pengguna dengan kemahiran asas kepenggunaan bagi meningkatkan keberkesanan.

6.     PEWUJUDAN NILAI PENGGUNA MALAYSIA

  6.1 Nilai Pengguna merupakan prinsip penting yang memandu seseorang khususnya pengguna ke arah kehidupan sejahtera di pasaran. Nilai yang dipegang oleh pengguna mempengaruhi amalan dan pembuatan keputusan pengguna.

  6.2 Terdapat lima (5) nilai yang wajar diserapkan dalam budaya hidup pengguna Malaysia iaitu:

   (i)    Nilai wang (mengetahui hak sebagai pengguna, peniaga/pengeluar dan penjawat awam). Hak asasi manusia adalah nadi kepada pergerakan pengguna terutamanya hak individu untuk memastikan keperluan asas mereka di penuhi.

   (ii)    Nilai manusia (sifat penyayang). Pergerakan pengguna adalah sekumpulan manusia yang mengambil berat terhadap orang lain. Memberikan nilai kepada manusia tidak kira bangsa, agama dan darjat akan menjadikan pasaran lebih harmoni dan adil.

   (iii)Nilai demokrasi (mengetahui kuasa yang ada pada kita). Bertindak secara berkumpulan boleh membawa perubahan. Pengguna serta peniaga/pengeluar boleh menggunakan kuasa kolektif untuk melindungi kepentingan pengguna dan menentang mereka yang mengancam hak pengguna dan peniaga/pengeluar.

   (iv)    Nilai keadilan (berjuang menegakkan keadilan). Sistem politik dan ekonomi kerap mendiskriminasikan mereka yang tidak berkuasa. Pengguna boleh membangunkan masyarakat yang adil, rasional dan saksama melalui amalan advokasi dan perjuangan menjaga kesejahteraan pengguna.

   (v)    Nilai persekitaran (melindungi bumi). Pengguna mesti melindungi, mengawal dan memelihara alam sekitar daripada sebarang ancaman kemusnahan dan pencemaran. Pengguna, peniaga dan Kerajaan perlu mengetahui kesan tindakan yang diambil ke atas alam sekitar supaya sumber bumi tidak dieksploitasi dan seterusnya memberikan kesan negatif kepada orang ramai.  

7.    WAWASAN DASAR

Kejayaan pencapaian matlamat DPN adalah bergantung kepada usaha padu semua pihak iaitu, pengguna, peniaga, Kerajaan serta badan bukan kerajaan. Oleh kerana isu-isu pengguna merentasi pelbagai kementerian dan agensi, satu badan koordinasi yang mengkoordinasi usaha tersebut perlu diwujudkan untuk memastikan pencapaian dan matlamat yang ditentukan tercapai. Usaha padu dan peranan semua pihak ini mampu mencapai matlamat Dasar Pengguna Negara untuk melahirkan masyarakat pengguna yang dinamik, progresif, berkualiti serta mempunyai nilai-nilai pengguna bagi memacu suasana pasaran yang adil dan beretika selaras dengan Wawasan 2020.

 
Paparan : 20982
Dikemas kini pada : 12 Mac 2013