DUA DIDENDA LANGGAR SKHBR 2017

0

PUTRAJAYA, 23 MEI 2017 – Dua peniaga dikenakan kompaun sebanyak RM 100 setiap seorang kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan terkawal bagi membezakan barangan itu dengan barangan lain.

Hasil 2,673 pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017, dua peniaga masing-masing dari Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dikenakan kompaun dan barangan sebanyak RM 133.50 dirampas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Mohd. Roslan Mahayudin berkata, pihaknya telah menjalankan sebanyak 2,673 pemeriksaan ke atas peniaga runcit dan borong sempena SKHBR yang bermula 22 Mei lalu.

Beliau bagaimanapun berpuashati dengan pematuhan peniaga terhadap skim kawalan harga yang dilaksanakan ini.

Dato’ Mohd. Roslan ditemui selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pasaraya besar di sini petang tadi.

Katanya, peniaga-peniaga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan supaya tidak dikenakan tindakan oleh pegawai-pegawainya.

Untuk rekod, sebanyak 10 barangan termasuk dalam SKHBR 2017 yang bermula 22 hingga 31 Mei nanti bagi mengelakkan berlakunya kenaikan harga makanan serta kuih-muih di musim ini dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Barangan tersebut adalah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir bertapis kasar dan halus serta  tepung gandum.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat