Penguatkuasaan

1. Apakah kesalahan-kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993?

Kesalahan-kesalahan bagi mana-mana orang yang menjalankan perniagaan jualan langsung termasuk :-

  • Tidak mempunyai lesen yang sah
  • Tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikenakan oleh Pengawal
  • Bertandang ke mana-mana premis bagi maksud merundingkan jualan pintu ke pintu menjalankan jualan pintu ke pintu selain daripada hari dan di antara waktu yang dibenarkan.
  • Gagal untuk menunjukkan kad pengenalan dan kad kebenaran semasa merundingkan jualan pintu ke pintu.
  • Mengambil deposit dalam tempoh bertenang.
  • Mempromosikan sesuatu skim piramid

2. Apakah yang dimaksudkan dengan “jualan pintu ke pintu”?

“Jualan pintu ke pintu” bermaksud jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa secara pergi dari satu tempat ke satu tempat selain suatu tempat perniagaan tetap atau membuat panggilan telefon untuk mencari orang yang bersedia menjadi sebagai pembeli dengan mengadakan suatu kontrak jualan untuk tujuan memasuki perundingan penjualan apa-apa barang atau perkhidmatan.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan “tempoh bertenang” dalam perniagaan jualan langsung?

Tempoh yang diberi kepada bakal pembeli selama sepuluh hari bekerja untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya ke atas sesuatu kontrak jualan langsung. Dalam tempoh ini, sebarang pembekalan barang atau perkhidmatan dan pengambilan deposit wang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak.

4. Di manakah maklumat boleh diperolehi mengenai mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung?

Maklumat boleh diperolehi daripada Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan atau dari laman web Kementerian.

5. Apakah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan?

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan merupakan suatu mekanisme penetapan harga maksimum ke atas barang-barang keperluan musim perayaan di peringkat borong dan runcit dalam tempoh tertentu semasa Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Raya Puasa, Deepavali dan Hari Krismas. Skim ini bertujuan  untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan (mencatut).

6. Apakah kebaikan mempamerkan  tanda harga kepada pengguna?

Tanda harga membantu pengguna mengetahui harga dan berpeluang untuk membuat perbandingan harga  sebelum apa-apa pembelian. Pengguna dapat mengelak daripada ditipu dan boleh membuat pilihan yang bijak.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan sewa beli ?

Sewa Beli ialah aktiviti menyewa barangan dengan opsyen untuk membeli barangan tersebut. Pembayaran dibuat dengan cara ansuran. Anda ialah penyewa dan syarikat kewangan yang memberi pinjaman adalah pemunya. Hakmilik akan hanya berpindah kepada penyewa setelah semua bayaran ansuran dijelaskan.

8. Apakah maklumat penting perlu dinyatakan dalam perjanjian sewa beli?

Setiap perjanjian sewa beli seharusnya mengandungi maklumat-maklumat penting berikut:

  • Perihal barangan
  • Pengiraan jumlah yang perlu dibayar
  • Deposit minimum
  • Caj terma dan kadar peratus tahunan untuk caj terma
  • Caj lewat bayar
  • Tarikh permulaan sewa beli
  • Bilangan ansuran
  • Jumlah bayaran ansuran bulanan

9. Adakah ia suatu kesalahan sekiranya penyewa mengalihkan barangan yang disewa tanpa pengetahuan pemunya (syarikat kewangan)?

Ya, ia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 37 Akta Sewa Beli (ASB) 1967.

10. Adakah ia suatu kesalahan sekiranya penyewa menjual barangan di bawah perjanjian sewa beli tanpa pengetahuan pemunya (syarikat kewangan)?

Ya, ia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 38 ASB 1967.

11. Apakah barangan yang boleh dibeli di bawah perjanjian sewa beli ?

Di bawah Jadual Pertama ASB 1967, senarai barangan yang boleh dibeli di bawah perjanjian sewa beli adalah seperti berikut:

  1. Semua barangan pengguna (iaitu barang-barang yang dibeli untuk kegunaan sendiri, keluarga ataupun untuk kegunaan isi rumah)
  2. Kenderaan-kenderaan bermotor, iaitu
    • Kenderaan orang-orang sakit.
    • Motosikal-motosikal.
    • Motokar-motokar termasuk teksi-teksi dan motokar sewa.
    • Kenderaan-kenderaan barang-barang (dimana berat muatan maksimum yang dibenarkan tidak melebihi 2540 kilogram).
    • Bas-bas, termasuk bas panjang.

12. Apakah hak-hak pemunya (syarikat kewangan) di bawah Akta Sewa Beli 1967?

Pemunya (syarikat kewangan) mempunyai hak-hak seperti berikut:

  • Mengkehendaki penyewa menginsuranskan kenderaan bermotor.
  • Mengkehendaki penyewa menyediakan penjamin
  • Berhak mengutip deposit minimum sebanyak 10% secara tunai termasuk fi tempahan
  • Pemilikan semula barang apabila penyewa ingkar membuat pembayaran.
  • Memaklumkan kepada penyewa tentang niat untuk pemilikan semula dengan mengeluarkan Jadual Keempat (tempoh 21 hari).
  • Pemilikan semula barang melalui Perintah Mahkamah sekiranya ansuran bulanan yang dibayar oleh penyewa melebihi 75% daripada harga tunai barang tersebut.
  • Melantik seseorang yang mempunyai permit yang dikeluarkan oleh KPDNKK untuk pemilikan semula barang dalam perjanjian sewa beli.
  • Mengenakan caj ke atas penyewa sekiranya gagal mematuhi terma perjanjian sewa beli. Contohnya: caj bayaran lewat, fi pemilikan semula, kos penyimpanan dan lain-lain.
  • Melupuskan barang yang diambil semula selepas tamat tempoh 21 hari (Jadual Kelima).
  • Melelong barang selepas tamat tempoh notis lelong 14 hari.

13. Apakah hak-hak penyewa di bawah Akta Sewa beli 1967?

Penyewa berhak:

  • Menerima sesalinan perjanjian sewa beli.
  • Memperolehi sebarang maklumat mengenai akaun.
  • Meminta penyata baki belum jelas (setiap 3 bulan sekali).
  • Menyelesai awal perjanjian sewa beli.
  • Menamat perjanjian sewa beli pada bila-bila masa.
  • Memilih caj-caj terma (kadar tetap/kadar boleh ubah)
  • Menerima notis Jadual Kedua sebelum menandatangani perjanjian sewa beli.
  • Menerima sesalinan perjanjian sewa beli dalam tempoh 21 hari selepas menandatangani perjanjian.
  • Menerima rebat apabila membuat penyelesaian awal.
  • Tidak menandatangani borang/dokumen perjanjian sewa beli yang tidak lengkap.
  • Membuat permintaan secara bertulis kepada pemunya untuk mendapatkan sijil pendaftaran kenderaan bermotor.
  • Mendapatkan maklumat perakuan pemeriksaan kenderaan terpakai.
  • Berhak untuk memperkenalkan pembeli baru untuk barang berkenaan setelah  pemilikan semula barang.
  • Berhak mendapat baki wang hasil daripada jualan/lelong barang (jika ada).

 14. Apakah prosedur sebelum pemilikan semula barang di bawah perjanjian sewa beli?

Sebelum pemilikan semula apa-apa barang, pemunya wajib menghantar notis-notis berikut:

  • Notis Jadual Keempat – Ini adalah merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan hasrat pemunya untuk pemilikan semula barang.
  • 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis, peringatan akan dikeluarkan untuk memberitahu penyewa bahawa pemunya berhasrat untuk pemilikan semula barang selepas luput notis Jadual Keempat tersebut.

15. Apakah yang penyewa boleh lakukan setelah mendapat notis-notis tersebut?

  • Penyewa boleh membayar jumlah tertunggak seperti yang tertera di dalam notis Jadual Keempat sebelum luput 21 hari seperti yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat.
  • Penyewa boleh memulangkan barangan tersebut kepada pemunya (syarikat kewangan) sebelum luput 21 hari notis Jadual Keempat. Penyewa akan dikehendaki menyelesaikan apa-apa baki hutang,  jika ada.

16. Bilakah pemunya boleh melaksanakan haknya untuk pemilikan semula barang di bawah perjanjian sewa beli?

Pemunya boleh memiliki semula barang yang disewa kepada penyewa, jika:

  • Penyewa ingkar membayar dua ansuran berturut-turut.
  • Penyewa ingkar membayar ansuran terakhir.
  • Penyewa meninggal dunia dan telah berlaku keingkaran untuk empat ansuran berturut-turut.

17. Apakah kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999?

Kesalahan-kesalahan dibawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 termasuk:-

  • Membuat representasi palsu atau mengelirukan berkaitan barang atau perkhidmatan.
  • Membuat representasi palsu dan perlakuan lain yang mengelirukan berhubung dengan tanah.
  • Memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga sesuatu barang atau perkhidmatan.
  • Membuat pengiklanan umpanan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan dengan niat untuk tidak membekalkan barangan atau perkhidmatan itu pada harga yang dinyatakan.
  • Tidak memberi hadiah, tawaran percuma dan sebagainya sepertimana yang ditawarkan.
  • Kegagalan untuk mematuhi award yang dibuat oleh Tribunal Tuntutan Pengguna.

18. Apakah maklumat yang perlu didedahkan oleh seorang pengendali bengkel kenderaan motor berkenaan dengan barang ganti dan perkhidmatan pembaikannya?

Pengendali tiap-tiap bengkel hendaklah mendedahkan suatu senarai

  1. barang ganti yang boleh didapati untuk jualan di bengkel itu. Senarai ini hendaklah –
    1. memerihalkan setiap barang ganti dengan nama, nombor siri, model kenderaan motor dan pengilang,
    2. menyatakan sama ada barang ganti itu baru, terpakai atau dibaikpulihkan, dan
    3. menyatakan harga yang padanya barang ganti boleh didapati untuk jualan
  2. perkhidmatan pembaikan yang diadakan oleh bengkel itu. Senarai ini hendaklah –
    1. memerihalkan tiap-tiap perkhidmatan pembaikan yang diadakan oleh bengkel itu,
    2. menyatakan fi tenaga kerja yang dikenakan, dan
    3. menyatakan cukai yang kena dibayar berkenaan dengan perkhidmatan pembaikan itu, jika ada

19. Apakah maklumat yang perlu didedahkan oleh pengendali bengkel kepada setiap pelanggan sebelum dan setelah siap perkhidmatan pembaikan?

Sebelum melakukan apa-apa perkhidmatan  pembaikan, pengendali bengkel hendaklah memberi  pelanggan suatu pernyataan bertulis dalam bahasa kebangsaan atau dalam Bahasa Inggeris atau kedua-dua ;

a)    memperihalkan perkhidmatan yang dijangkakan akan perlu dibuat kepada kenderaan bermotor itu,
b)    menyatakan anggaran fi tenaga kerja yang akan dikenakan bagi perkhidmatan pembaikan itu,
c)    menyatakan anggaran cukai yang kena dibayar, jika ada, dan
d)    menyatakan anggaran masa siap perkhidmatan pembaikan itu.

Apabila perkhidmatan pembaikan bagi seseorang pelanggan telah disiapkan, pengendali bengkel hendaklah memberi pelanggan itu suatu pernyataan bertulis ;

a)    memerihalkan perkhidmtan pembaikan yang dibuat pada kenderaan motor itu,
b)    menyatakan fi tenaga kerja yang dikenakan bagi perkhidmatan pembaikan itu,
c)    menyatakan cukai yang kena dibayar, jika ada,
d)    memerihalkan tiap-tiap barang ganti yang dipasang dengan nama, nombor siri, model kenderaan motor dan pengilang,
e)    menyatakan sama ada barang ganti yang dipasang itu baru, terpakai atau dibaikpulihkan, dan
f)    menyatakan harga setiap barang ganti yang dipasang.

Semua harga yang disebut dalam senarai-senarai ini hendaklah dalam Ringgit Malaysia.

  • Penandaan Harga merupakan satu perundangan yang telah dikuatkuasakan bermula pada tahun 1977 dengan 111 barangan terpilih. Perundangan ini yang dahulunya dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1977 telah diganti dengan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 dan merangkumi semua jenis barangan yang dijual secara runcit.

    Semua peniaga yang menjual barangan secara runcit dianggap penjual runcit. Penjual runcit terdiri daripada peniaga kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya besar, pasar mini, kiosk, kedai sukan, kedai emas, butik pakaian, aksesoritermasuk semua bentuk perniagaan yang menjual secara runcit kepada pengguna akhir.

    Kewajipan penandaan harga oleh penjual runcit adalah seperti berikut:

    a. Hendaklah meletakkan tanda harga pada setiap barang atau contoh barangan yang dipamerkan bagi jualan;
    b. Hendaklah menandakan setiap barang tersebut dengan tanda harga yang menunjukkan harga tunai bagi tiap satu unit, satu unit timbangan atau bagi setiap sukatan barangan tersebut;
    c. Sekiranya jenis atau saiz barangan tidak sesuai ditandakan harga pada barang itu atas sebab jenis atau saiz, penjual runcit boleh menggunakan satu senarai harga yang menyatakan perihal barang dan harganya dengan jelas;
    d. Perihal dan harga ini hendaklah ditandakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Malaysia dan terjemahan sekiranya penjual runcit tidak memahami Bahasa Malaysia;
    e. Saiz dan Warna tanda harga hendaklah dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna;
    f. Harga hendaklah dinyatakan dalam Ringgit Malaysia (RM);
    g. Pengguna hendaklah mempunyai akses kepada harga pada setiap masa;

    Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui:

    (i) talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC)

    (ii) talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS
    1-800-886-800

    (iii) aplikasi telefon pintar Ez ADU

    (iv) emel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my

    (v) SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN ”

    (vi) lapor/hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.

    Gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual

    (Kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual
    Runcit) 1993)

    Bagi Bukan Pertubuhan Perbadanan (Individu)
    a) Denda Maksimum – RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali
    b) Kompaun Maksimum – RM 25,000

    Bagi Pertubuhan Perbadanan (Syarikat)
    a) Denda Maksimum – RM100,000
    b) Kompaun Maksimum – RM 50,000

  • CIRI-CIRI ATAU PERKIRAAN PIRAMID

    1. Promosi sesuatu skim atau pembayaran bonus atau faedah lain adalah semata-mata atau terutamanya perekrutan atau pengenalan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara oleh peserta.
    2. Bonus dibayar kepada peserta atau mana-mana faedah lain diterima oleh peserta semata-mata atau terutamanya melalui perekrutan atau pengenalan orang lain ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara oleh peserta atau orang lain.
    3. Suatu kontrak bertulis atau pernyataan yang memperihalkan terma material perjanjian tidak disediakan kepada peserta yang menyertai skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid.
    4. Pembelian barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan dikenakan sebagai syarat untuk memenuhi kehendak kelayakan atau kehendak permulaan bagi penyertaan atau pembayaran bonus atau faedah lain dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid.
    5. Peserta dikehendaki untuk membeli barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi jangkaan untuk dijual semula atau dibeli dalam suatu tempoh masa yang munasabah. Peserta tidak diberi kebebasan sepenuhnya dalam pembelian tetapi mereka didesak untuk membeli pakej barang-barang terpilih untuk memenuhi kehendak jualan untuk melayakkan mereka mendapat kedudukan atau bonus dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid
    6. Dasar bayar balik bagi barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara yang dibeli oleh peserta atau pengguna tidak disediakan.
    7. Dasar beli balik oleh pengendali skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid bagi barang-barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara yang boleh dipasarkan pada masa ini atas permintaan peserta dalam terma atau perjanjian yang munasabah tidak dibenarkan atau disediakan.
    8. Kehendak struktur skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid yang ketat atau tidak munasabah bagi kelayakan peserta untuk dibayar bonus atau faedah lain.
    9. Pengunduran diri oleh peserta daripada skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid tidak dibenarkan.
    10. Peserta dibenarkan atau digalakkan untuk membeli lebih daripada satu kedudukan atau hak untuk menyertai skim, pengendalian atau proses berantai piramid.

  • Penguatkuasaan Gores dan Menang

    1.  Akta Perihal Dagangan 2011.

    Adalah suatu Akta bagi maksud untuk:

    Menggalakkan amalan perdagangan yang baik dan melarang perihal dagangan dan pernyataan palsu, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan berhubung dengan pembekalan barang-barang dan perkhidmatan.

    Penguatkuasaan gores dan menang adalah berhubung dengan tindakan untuk membasmi “Pernyataan palsu atau mengelirukan berhubung dengan peraduan, permainan, dsb.” dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Akta ini melarang penggunaan perihal dagangan dan pernyataan palsu, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan berhubung dengan pembekalan dan perkhidmatan bagi memberi perlindungan kepada pengguna/ orang awam dari amalan perdagangan yang tidak beretika. Aktiviti “Gores dan Menang”, “Koyak dan Menang” atau “Imbas dan Menang” dan seumpamanya yang tidak beretika adalah merupakan salah satu penyataan palsu dan mengelirukan bagi maksud Akta ini.

    2. Seksyen 20, Akta Perihal Dagangan 2011

    Aktiviti gores dan menang yang bertujuan sebagai memberi peluang kepada pembeli yang bertuah untuk memenangi hadiah sebagai penghargaan tidak perlu kebenaran untuk menjalankannya pada masa ini. Walau bagaimanapun, peraduan dan permainan “Gores dan Menang”, “Koyak dan Menang” dan seumpamanya yang digunakan sebagai satu alat/kaedah untuk mengumpan dan dengan niat menipu pengguna adalah merupakan suatu kesalahan.

    Seksyen 20 – Pernyataan palsu atau yang mengelirukan berhubungan dengan peraduan, permainan, dsb. memperuntukkan tiada seorang pun boleh membuat apa-apa pernyataan palsu atau yang mengelirukan, iaitu:

    1. barang-barang atau perkhidmatan yang ditawarkan olehnya dapat memudahkan kemenangan dalam mana-mana peraduan atau permainan mencuba nasib;
    2. mana-mana orang telah pun memenangi, akan memenangi, atau akan, sekiranya melakukan perbuatan tertentu, memenangi hadiah atau faedah lain yang setara.

    Sedangkan pada hakikatnya:-

    1. tiada hadiah atau faedah lain yang setara;
    2. hadiah atau faedah lain yang setara itu tidak diadakan sebagaimana yang ditawarkan; atau
    3. mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan menuntut hadiah atau faedah yang setara itu adalah tertakluk kepada orang itu membayar wang, menanggung kos atau apa-apa syarat yang tidak munasabah.
    4. Penalti

    Mana-mana orang yang melanggar Seksyen 20 adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman:

    1. (Bagi Individu);

            Kesalahan Pertama:Denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.
            Kesalahan Kedua: Denda sehingga RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

          2. (Bagi Pertubuhan);

            Kesalahan Pertama: Denda sehingga RM500,000

            Kesalahan Kedua: Denda sehingga RM1,000,000.

    Aplikasi dalam talian yang berkaitan dengan Bahagian Penguatkuasa

    Sistem yang diguna pakai dalam membuat permohonan notis jualan murah

    adalah Sistem Notis Jualan Murah (www.njm.kpdnkk.gov.my)

  • 1.  Apakah perbahasan-perbahasan yang dikatakan atau dianggap sebagai jualan murah?

    Perbahasaan yang menunjukkan bahawa harga sesuatu barang adalah murah daripada harga yang ditawarkan sebelumnya termasuklah penggunaan perbahasaan seperti:

    • jualan,
    • diskaun,
    • pengurangan,
    • belian terbaik,
    • harga terbaik,
    • harga istimewa,
    • harga runtuh,
    • harga lebih murah setiap hari; atau
    • tawaran separuh harga.

    2. Berapa kalikah jualan murah boleh diadakan pada setiap tahun?

    • 3 kali tarikh Pengawal Perihal Dagangan; dan
    • 2 kali tarikh pilihan peniaga.

    3. Bilakah tarikh tarikh yang diwartakan oleh Pengawal bagi tahun 2017?

    Tarikh jualan murah untuk tahun 2017 yang diwartakan oleh Pengawal Perihal Dagangan adalah:

    • Jualan Awal Tahun – 1 Mac 2017 Hingga 2 April 2017
    • Karnival Jualan Mega 1 Malaysia – 1 Mei 2017 Hingga 31 Ogos 2017
    • Jualan Akhir Tahun 1 Malaysia – 1 Oktober 2017 Hingga 1 Januari 2018

    4. Apakah syarat-syarat untuk mengadakan jualan murah?

    • Barangan yang dijual dengan “harga jualan murah” hendaklah sekurang-kurangnya 50% dari jumlah kesemua barangan yang dipamerkan dalam premis yang sama.
    • Peratusan minima bagi pengurangan harga barangan yang dibekalkan hendaklah tidak kurang daripada 10% daripada harga barangan yang dibekalkan.
    • Notis jualan murah hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat. Manakala butiran barangan dan harga bolehlah dipamerkan dalam apa-apa skrin paparan elektronik/ disimpan dalam folder/fail atau diletakkan dalam satu kedudukan yang mudah dilihat serta tersedia kepada pengguna.
    • Jika peniaga menjalankan jualan murah lebih satu tempat perniagaan, satu salinan notis jualan murah hendaklah dipamerkan di setiap premis. Butiran barangan dan harga dipamer seperti di perenggan 3.
    • Peniaga hendaklah menyelenggarakan rekod lengkapberkaitan harga barangan bagi tempoh 6 bulan terdahulu ditawarkan di premis yang sama.
    • Peniaga hendaklah mempamerkan pada setiap barangan ”harga yang ditawarkan dahulu” dan “harga jualan murah”. “Harga yang ditawarkan dahulu” adalah harga paling rendah (bukan harga jualan murah) dijual selama 28 hari berterusan di premis yang sama dalam tempoh 3 bulan sebelum tarikh bermulanya jualan murah (Tidak termasuk harga rendah semasa jualan murah).
    • Nombor pendaftarandan tarikh jualan murah serta logo KPDNKK hendaklah dicatatkan dalam apa jua
    • Logo KPDNKK tersebut adalah di dalamBahasa Kebangsaan dan boleh diterjemahkan dalam mana-mana ungkapan bahasa yang lain. Ia perlu ditulis tangan atau dicetak dengan ketinggian huruf tidak kurang daripada 5 mm.
    • Peniaga hendaklah menyenggara satu stok munasabah barang untuk jualan murah.
    • Setiap jualan murah yang diadakan mestilah tidak melebihi 30 harikecuali tarikh Pengawal.

    5. Bagaimanakah cara memohon notis untuk mengadakan jualan murah?

    • Permohonan notis Jualan Murah perlu dibuat secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Notis Jualan Murah di kpdnkk.gov.my
    • Peniaga perlu mendapatkan kata laluan bagi menggunakan aplikasi Sistem Notis Jualan Murah.
    • Permohonan notis Jualan Murah boleh dihantar ke mana-mana cawangan pejabat KPDNKK Negeri / Daerah secara dalam talian.
    • Notis jualan murah yang disahkan perlu dicetak oleh peniaga dan dipamerkan di setiap premis yang mengadakan jualan murah.

    6. Bolehkah saya membuat pengurangan / penurunan harga tanpa mengemukakan notis jualan murah

    Boleh, hanya apabila pengurangan / penurunan harga dibuat pada salah satu keadaan-keadaan seperti berikut:

    • tidak menunjukkan apa-apa perbandingan dengan mana-mana harga lain;
    • mematuhi apa-apa syarat tertentu berhubungan dengan pembelian barang-barang tersebut, seperti:
      • Diskaun pembelian dengan pembelian
      • Kupon, baucer diskaun
      • Kad ahli
    • dibuat secara lisan dalam premis di mana jualan itu dibuat
    • melibatkan barang-barang yang mudah rosak.


  • Jumlah Pelawat