Kesalahan, Penalti Am & Pengkompaunan

UNIT PEMATUHAN, BAHAGIAN PEMBANGUNAN FRANCAIS

Peranan Unit Pematuhan:

  • Menerima aduan dan menjalankan siasatan pertikaian perniagaan francais daripada francaisor/francaisi.
  • Menguatkuasakan Akta Francais 1998.
  • Mengurusetiakan Sesi Mediasi Francais.
  • Mengumpul dan menyelenggara data-data penguatkuasaan francais.
  • Menguatkuasakan pengemukaan Laporan Tahunan Perniagaan Francais.
  • Menyediakan laporan bagi membantu kes-kes pendakwaan di mahkamah.

Jenis-jenis Kesalahan

Pendaftaran Pemberi Francais:

Seksyen Penerangan
6 (2) (a) & (b)

Pendaftaran Pemberi Francais:

(2) Mana-mana pemberi francais yang gagal mematuhi seksyen ini, melainkan dikecualikan oleh Menteri di bawah seksyen 58, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan-

  • Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau
  • Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
7

Permohonan bagi pendaftaran:

(6) Seseorang yang memberikan maklumat atau dokumen palsu atau mengelirukan di bawah seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan.

11

Pindaan pada dokumen penzahiran:

(1) Jika terdapat apa-apa perubahan matan dalam dokumen penzahiran yang disebut dalam perenggan 7(1)(a) dan (f), pemohon atau pengarah atau pengurusnya hendaklah dengan kelulusan Pendaftar meminda dokumen itu mengikut bentuk yang ditetapkan.

(2) Dokumen dalam subseksyen (1) hendaklah difailkan dengan Pendaftar.

(3) Pendaftar boleh, pada bila-bila masa, menghendaki maklumat tambahan mengenai pindaan yang dibuat di bawah seksyen ini.

(4) Mana-mana orang yang gagal mematuhi seksyen ini melakukan suatu kesalahan.

14 (5)

Pendaftaran broker francais:

(5) Pendaftaran di bawah seksyen ini hendaklah berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh pendaftaran, melainkan jika ditentukan selainnya oleh Pendaftar.

  • (5A). Broker francais atau perunding francais hendaklah memohon untuk membaharui pendaftaran dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh tamat pendaftaran.
  • (5B). Mana-mana broker francais atau perunding francais yang gagal mematuhi subseksyen 5A melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit.
15

Amalan wajib:

(1) Pemberi francais hendaklah mengemukakan perjanjian francais dan dokumen penzahiran termasuk pindaan kepada dokumen penzahiran yang diluluskan di bawah seksyen 11 kepada seseorang pemegang francais sekurang-kurangnya sepuluh hari sebelum pemegang francais itu menandatangani perjanjian dengan pemberi francais itu atau selepas dokumen penzahiran yang diluluskan oleh Pendaftar di bawah seksyen 11, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Dokumen dalam subseksyen (1) hendaklah dokumen yang sama yang dikemukakan kepada Pendaftar di bawah seksyen 7.

(3) Seseorang yang tidak mematuhi seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan.

16 (4)

Laporan tahunan:

(1) Pemberi francais hendaklah, dalam tempoh enam bulan dari penghujung setiap tahun kewangan perniagaan francais, mengemukakan laporan kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan.

(2) Laporan itu hendaklah mengandungi dokumen penzahiran yang telah dikemaskinikan.

(3) Pendaftar boleh mengkaji laporan dan dokumen penzahiran itu dan—

  • Memberitahu pemberi francais jika apa-apa maklumat tambahan atau ubah suaian dokumen penzahiran itu perlu dimasukkan atau dipotong; atau
  • Mengeluarkan suatu perintah untuk menggantung, menamatkan, atau membatalkan kelulusan pendaftaran francais demi kepentingan awam atau bagi maksud melindungi bakal pemegang francais sehingga apa-apa kekurangan yang dinyatakan oleh Pendaftar telah dibetulkan.

(4) Mana-mana orang yang gagal mematuhi seksyen ini melakukan suatu kesalahan.

18 (4), (5) & (6)

Kehendak perjanjian francais:

(4) Perjanjian francais hendaklah mempunyai tempoh bertenang, yang hendaklah ditentukan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak tetapi tidak boleh kurang daripada tujuh hari bekerja, dan dalam tempoh itu pemegang francais mempunyai pilihan untuk menamatkan perjanjian itu.

(5) Apabila tamat perjanjian francais di bawah subseksyen (4), suatu amaun untuk menampung perbelanjaan munasabah yang dilakukan oleh pemberi francais untuk menyediakan perjanjian boleh disimpan oleh pemberi francais daripada fi permulaan yang dibayar di bawah seksyen 19; walau bagaimanapun, semua wang lain hendaklah dipulangkan kepada penerima francais.

(6) Seseorang yang tidak mematuhi subseksyen (5) adalah melakukan suatu kesalahan.

20

Larangan Terhadap Diskriminasi

Francais menjadi tidak adil dan menjadi suatu kesalahan di bawah Akta ini jika mana-mana pemberi francais mendiskriminasi dengan cara yang tidak munasabah dan dengan ketara antara pemegang-pemegang francais yang mengendalikan francais tentang bayaran yang ditawarkan atau dibuat bagi fi francais, royaliti, barangan, perkhidmatan, kelengkapan, sewa atau perkhidmatan pengiklanan jika diskriminasi itu boleh menyebabkan persaingan yang memudaratkan mana-mana pemegang francais yang bersaing dengan pemegang francais yang menerima faedah daripada diskriminasi itu, melainkan jika dan setakat yang apa-apa pengelasan atau diskriminasi antara pemegang-pemegang francais adalah ;

  • Berdasarkan kepada francais yang diberikanpada masa yang berlainan, dan diskriminasi itu adalah berhubung dengan munasabahnya dengan perbezaan masa itu;
  • Berhubung dengan satu program atau lebih bagi membuatkan francais tersedia kepada orang yang tidak cukup modal, latihan, pengalaman perniagaan atau pendidikan, atau kurang kelayakan yang lain;
  • Berhubung dengan usaha oleh Kerajaanatau mana-mana agensinya untuk menggalakkan kepelbagaian dalam keluaran atau bidang perkhidmatan atau format atau reka bentuk perniagaan;
  • Berhubung dengan usaha oleh seorang pemegang francais atau lebih untuk membaiki kekurangan dalam pengendalian perniagaan yang difrancaiskan atau keingkaran dalam perjanjian francais; atau
  • Berdasarkan pada perbezaan-perbezaan lain yang munasabah yang mengambil kira maksud-maksud Akta ini dan tidaklah dibuat sewenang-wenang.
22

Kumpulan wang Promosi:

(1) Pemberi francais yang menghendaki seseorang pemegang francais membuat apa-apa bayaran bagi maksud promosi sesuatu francais hendaklah menubuhkan Kumpulan Wang Promosi (“Kumpulan Wang”).

(2) Kumpulan Wang itu hendaklah diuruskan di bawah akaun yang berasingan dan hendaklah digunakan hanya bagi promosi keluaran di bawah francais itu.

(3) Jika pemegang francais dikehendaki membuat apa-apa bayaran di bawah seksyen 23, pemberi francais hendaklah mengemukakan penyata kewangan mengenai Kumpulan Wang, yang telah diendors oleh akauntan awam berdaftar, kepada Pendaftar dalam tempoh tiga puluh hari selepas tamat penggal kewangan terakhir.

(4) Penyata kewangan dalam subseksyen (3) hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar berserta dengan laporan tahunan di bawah seksyen 16.

(5) Seseorang yang tidak mematuhi seksyen ini adalah melakukan sesuatu kesalahan.

26 (3)

Maklumat rahsia:

(1) Pemegang francais hendaklah memberikan jaminan bertulis kepada pemberi francais bahawa pemegang francais, termasuk pengarah, suami atau isteri dan keluarga terdekat pengarah itu, dan pekerjanya tidak akan menzahirkan kepada mana-mana orang apa-apa maklumat yang terkandung dalam manual pengendalian atau yang diperoleh semasa menjalani latihan yang dianjurkan oleh pemberi francais semasa tempoh perjanjian francais itu dan selama dua tahun selepas perjanjian francais itu habis tempoh atau ditamatkan lebih awal.

(2) Pemegang francais, termasuk pengarah, suami atau isteri dan keluarga terdekat pengarah itu, dan pekerjanya hendaklah mematuhi terma jaminan bertulis yang diberikan di bawah subseksyen (1).

(3) Seseorang yang tidak mematuhi subseksyen (1) atau (2) adalah melakukan suatu kesalahan.

27

Larangan terhadap perniagaan serupa:

(1) Pemegang francais hendaklah memberikan jaminan bertulis kepada pemberi francais bahawa pemegang francais, termasuk pengarah, suami atau isteri dan keluarga terdekat pengarah itu dan pekerjanya tidak akan menjalankan apa-apa perniagaan lain yang serupa dengan perniagaan yang difrancaiskan yang dikendalikan oleh pemegang francais semasa tempoh perjanjian francais itu dan selama dua tahun selepas perjanjian francais itu habis tempoh atau ditamatkan lebih awal.

(2) Pemegang francais, termasuk pengarah, suami atau isteri dan keluarga terdekat pengarah itu, dan pekerjanya hendaklah mematuhi terma jaminan bertulis yang diberikan di bawah subseksyen (1).

(3) Seseorang yang tidak mematuhi subseksyen (1) atau (2) adalah melakukan suatu kesalahan.

32

Tidak membaharui perjanjian francais:

Pemberi francais melakukan suatu kesalahan jika dia enggan membaharui perjanjian francais atau melanjutkan tempoh francais tanpa membayar pampasan kepada pemegang francais sama ada dengan cara membeli semula atau cara lain pada harga yang dipersetujui antara pemberi francais dengan pemegang francais setelah mengambil kira pengurangan nilai perniagaan yang difrancaiskan itu disebabkan oleh habis tempoh francais itu jika ;

  •  Pemegang francais dihalang oleh perjanjian francais, atau dengan keengganan pemberi francais sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh habis tempoh perjanjian francais untuk menepikan mana-mana bahagian perjanjian francais yang melarang pemegang francais, daripada terus menjalankan secara matannya perniagaan yang sama di bawah cap yang lain dalam kawasan yang sama selepas habis tempoh perjanjian francais itu; atau
  • Pemegang francais itu tidak diberi notis bertulis tentang niat pemberi francais untuk tidak membaharui perjanjian francais sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh habis tempoh perjanjian francais itu.
37

Kesalahan bagi fraud, perdayaan, dsb. :

(1) Seseorang yang, sama ada secara langsung atau tidak langsung ;

  • Menggunakan apa-apa muslihat atau rancangan untuk menipu;
  • Membuat apa-apa pernyataan tidak benar tentang fakta material atau tidak menyatakan fakta material yang menyebabkan pernyataannya itu mengelirukan;
  • Terlibat dalam apa-apa perbuatan, amalan atau penjalanan perniagaan, yang bertindak atau akan bertindak sebagai fraud atau perdayaan atas mana-mana orang, berhubungan dengan tawaran untuk menjual atau penjualan francais, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan—
  • Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau
  • Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya;

(3) Subseksyen (1) hendaklah juga terpakai kepada broker francais atau perunding francais.

37 (A)

Kesalahan bagi mengemukakan diri sebagai francais:

Seseorang yang menganggap atau menggunakan berhubung dengan perniagaannya, terma “francais” atau apa-apa terbitannya atau apa-apa jua perkataan lain yang menunjukkan perjalanan perniagaan francais, termasuklah penggunaan perkataan “francais” atau apa-apa singkatan dengannya sebagai sebahagian daripada nama atau tajuk dalam dokumen, perjanjian, buku, iklan atau penerbitan, tanpa kelulusan pendaftaran oleh Pendaftar di bawah seksyen 8 melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan ;

  •  Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit; atau
  • Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
38

Menghalang pegawai:

Seseorang yang ;

(a) Menghalang mana-mana orang yang dilantik di bawah Akta ini yang bertindak menurut Akta ini;

(b) Tidak mematuhi apa-apa kehendak yang dibuat dengan sepatutnya kepadanya oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta ini; atau

(c) Tanpa sebab yang munasabah tidak memberi seseorang pegawai diberi kuasa apa-apa bantuan atau maklumat yang dikehendaki dengan munasabah oleh pegawai itu bagi maksud pelaksanaan kewajipannya di bawah Akta ini, adalah melakukan suatu kesalahan.

Penalti am:

Seksyen Penerangan
39

Penalti am:

(1) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan secara nyata, boleh apabila disabitkan ;

  • Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit; atau
  • Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

(2) Apabila menghukum pemberi francais bagi kesalahan di bawah seksyen ini, mahkamah boleh ;

  • Mengisytiharkan perjanjian francais antara pemberi francais dengan mana-mana pemegang francais menjadi batal dan tidak sah;
  • Memerintahkan supaya pemberi francais membayar balik apa-apa bentuk bayaran yang diperolehnya daripada mana-mana pemegang francais; atau
  • Melarang pemberi francais daripada membuat apa-apa perjanjian francais baru atau melantik mana-mana pemegang francais baru.

Pengkompaunan:

Seksyen Penerangan
41

Pengkompaunan kesalahan:

(1) Pendaftar boleh, dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, mengkompaunkan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan oleh mana-mana orang di bawah Akta ini dan ditetapkan oleh Menteri sebagai kesalahan boleh kompaun dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang disyaki telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaunkan kesalahan itu apabila dibayar kepada Pendaftar sejumlah wang yang tidak melebihi lima puluh peratus jumlah denda maksimum itu bagi kesalahan itu dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu.

(2) Sesuatu tawaran di bawah subseksyen (1) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan dilakukan, tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan.

(3) Jika jumlah yang dinyatakan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu atau dalam apa-apa tempoh lanjutan yang diberikan oleh Pendaftar, pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu dibuat.

(4) Jika suatu kesalahan dikompaunkan di bawah subseksyen (1), tiada pendakwaan boleh dimulakan berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk mengkompaun itu telah dibuat.

(5) Kesemua jumlah wang yang diterima oleh Pendaftar di bawah seksyen ini hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Aduan oleh Francaisor atau Francaisi

Sebarang aduan oleh francaisor atau francaisi hendaklah dikemukakan dengan melengkapkan Borang Aduan Rasmi Francais yang boleh diperolehi secara percuma di Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK.

Pengemukaan Laporan Tahunan Perniagaan

Di bawah Akta Francais 1998, francaisor atau francaisi induk yang berdaftar di bawah Seksyen 6, Akta Francais 1998 adalah WAJIB mengemukakan Laporan Tahunan Perniagaan dengan melengkapkan Borang BAF 6 dalam masa 180 hari dari tarikh tahun kewangan berakhir. Di bawah Seksyen 6, 6(A) dan 6(B), mana-mana orang yang gagal mengemukakan Laporan Tahunan Perniagaan kepada Pendaftar Francais, KPDNKK adalah melakukan suatu kesalahan.

Antara maklumat yang diperlukan dalam Borang BAF 6 adalah sebagaimana berikut:

  1. Bilangan/nama/alamat/outlet francais berikut:
    • Outlet kepunyaan syarikat;
    • Outlet kepunyaan francaisi di dalam negara; dan
    • Outlet kepunyaan francaisi di luar negara.
  2. Pulangan tahunan;
  3. Dokumen penzahiran terkini; dan
  4. Penyata kewangan teraudit terkini.

Borang BAF 6 ini boleh diperolehi secara percuma di Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK.

Segala pertanyaan atau aduan boleh dihubungi:

Unit Pematuhan
Bahagian Pembangunan Francais
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan
Aras1, Blok Menara, No.13m Persiaran Perdana, Presint 2
62623 Putrajaya

Tel: 03-8882 5585
Faks: 03-8882 5583


Jumlah Pelawat