KPDNKK DIARAH TUBUH PASUKAN KHAS TINJAU HARGA PASARAN

IPOH, 25 NOVEMBER 2017 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji harga barangan di pasaran yang pada masa kini dianggap tinggi dan membebankan rakyat.

Katanya, kenaikan harga barang yang berlaku tidak hanya pada makanan tetapi juga melibatkan kos pengangkutan dan utiliti menyebabkan rakyat memberikan pelbagai persepsi terhadap KPDNKK dan kerajaan.

Melalui pemerhatian yang dibuat, Dato’ Seri Dr. Zahid berkata, walaupun kos pengeluaran dan margin keuntungan telah diambil kira harga pasaran yang diletakkan adalah masih tinggi.

Menurutnya lagi, keadaan menunjukkan keadaan ekonomi negara bertambah baik dari semasa ke semasa, namun harga pasaran masih menjadi bebanan rakyat.

“KPDNKK melalui unit penguatkuasaan dibantu persatuan pengguna turun ke bawah untuk bantu tentukan harga agar ia mengikut pasaran sebenar,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Karnival Jualan Mega 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru dekat sini.

Katanya, sektor pemborong dan peruncitan negara pada tahun ini telah mencatatkan peningkatan 7.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Zamry Kadir, Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh.

Karnival Jualan Mega 2017 berlangusng mulai 22 hingga 26 November dengan pelbagai program yang membabitkan semua peringkat umur. Ia juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat