KPDNKK SEDIA BANTU UNTUK KESEJAHTERAAN PENGGUNA

KAPAR, 5 OKTOBER 2017 – Sesuai dengan slogan “Caring Ministry ”, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) komited untuk membantu ke arah kesejahteraan rakyat dan melindungi hak pengguna.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, KPDNKK turut menyokong dan membantu usaha untuk melahirkan usahawan berjaya di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, inovasi yang dihasilkan Kilang Tenusu Kumpulan Etika Dairies Sdn.Bhd dengan menggandakan jumlah keluaran dari 9,000 botol kepada 21,000 botol dalam tempoh sejam membuktikan bahawa syarikat ini bersungguh-sungguh untuk melebarkan jumlah pengedarannya.

Syarikat yang terkenal dengan jenama “Goodday” itu telah melancarkan dua produk minuman kotak berperisa madu dan limau yang dijangka mendapat sambutan baik di pasaran tempatan dan luar. Produk yang mendapat sentuhan dari teknologi Jepun ini dilihat sebagai satu lagi inovasi syarikat ini untuk terus bersaing di pasaran.

Sementara itu, Dato’ Seri Hamzah memuji inisiatif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang melantik beberapa koperasi sekolah untuk membantu memasarkan produk keluaran syarikat ini.

Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif untuk melahirkan pelajar-pelajar yang sihat di samping memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang menguruskan koperasi-koperasi sekolah untuk belajar menjadi usahawan.

Pada majlis ini, sebanyak 21 buah koperasi sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak terplilih menerima 30 karton minuman Goodday untuk dijual di koperasi masing-masing .

Dato’ Seri Hamzah bercakap pada pemberita selepas melancarkan Kilang Tenusu Kumpulan Etika Dairries Sdn, Bhd di Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis ini, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK (Perdagangan Dalam Negeri), Dato’ Basaruddin Sadali dan pegawai-pegawai kanan KPDNKK.

 

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat