Logo Buatan Malaysia

PENGENALAN
Penandaan logo Buatan Malaysia oleh industri telah bermula semenjak tahun 1997 sebagai salah satu inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan rakyat mengutamakan barangan Malaysia, berikutan kemelesetan ekonomi yang dialami oleh negara pada waktu itu. KPDNHEP pada masa itu, telah dilantik sebagai urusetia “Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia”. Ia merupakan salah satu komponen pendekatan kempen penandaan logo Buatan Malaysia oleh pihak industri.

DEFINISI PRODUK BUATAN MALAYSIA

Barang-barang
Apa-apa barang, benda, bahan, atau perkhidmatan yang dihasilkan akibat daripada mana-mana aktiviti pembuatan dan termasuk pelbagai produk.

Buatan Malaysia

  • Bagi barang tersedia bungkus (pre-packed) ertinya barang yang pada pembalut,beg atau bekasnya, telah dinyatakan nama dan alamat pekilangnya di Malaysia; dan
  • Bagi barang lain selain daripada yg tersedia bungkus, ertinya barang yang dibuat, dipasang, diubahsuai dan termasuk barang-barang yang telah melalui proses terakhirnya di Malaysia. Proses akhir adalah terdapat transformasi daripada bahan separuh proses kepada barangan siap.

Bukan Buatan Malaysia

  • Barang-barang yang di import dengan kuantiti yang besar (bulk) dan kemudiannya dibungkus dan dijual di negara ini.
  • Barang-barang yang diimpot secara “semi knocked down parts” yang dipasang (assembled) di sini dan dijual di negara ini.

TUJUAN
Penandaan Logo Buatan Malaysia ini merupakan satu pengiktirafan bagi penentuan bahawa produk yang dihasilkan adalah dibuat di Malaysia (country of origin).

OBJEKTIF
Penandaan logo ini menggariskan beberapa objektif bagi mencapai impak positif terhadap kestabilan ekonomi negara iaitu.

  • Menggalakkan penggunaan barangan Buatan Malaysia dalam negara serta mengurangkan pengimportan barangan asing dalam negara;
  • Mengubah persepsi dan sikap rakyat Malaysia terhadap barangan buatan Malaysia agar lebih yakin bahawa barangan buatan tempatan mempunyai kualiti yang setanding dengan barangan yang diimpot;
  • Mengawal kadar inflasi di negara dengan mengelakkan inflasi import melalui barangan yang diimport; dan
  • Membantu usaha Kerajaan menstabilkan harga barang pada paras harga yang munasabah serta mengurangkan inflasi;

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN TERPAKAI
Pengeluaran surat kelulusan penandaan ini serta logo ini adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

KATEGORI PENANDAAN LOGO

  • Sektor Pembuatan (manufacturing);
  • Sektor ICT (perkakasan), dan
  • Sektor-sektor lain yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa.

PEMOHON YANG LAYAK
Pengilang yang ditakrifkan di bawah Industrial Co-ordination Act 1975 [Akta 1975]
“Means a person who is engaged in any manufacturing activity”

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN 

  1. Syarikat hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau dengan badan-badan berdaftar yang lain.
  2. Mempunyai lesen operasi yang masih sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
  3. Mempunyai lesen mengilang (sekiranya berkaitan).
  4. Produk-produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan (manufacturing activity).
  5. Produk mestilah dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51% bahan / kandungan tempatan.
  6. Syarikat digalakkan untuk mendapatkan pendaftaran bagi Harta Intelek daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

TEMPOH PERMOHONAN 
Surat kelulusan Penandaan Logo Buatan Malaysia dikeluarkan dalam tempoh 30 hari bekerja.

YURAN/ FI PERMOHONAN 
Tiada sebarang yuran/ fi permohonan yang dikenakan kepada permohonan penandaan logo barangan buatan Malaysia.

TEMPOH SAH KELULUSAN 
Tiada penetapan tempoh sah pemakaian Logo Buatan Malaysia buat masa ini. Walau bagaimanapun, sebarang perubahan kepada kelulusan terdahulu, permohonan baru hendaklah dikemukakan semula.

TATACARA PERMOHONAN

Sila dapatkan borang permohonan serta Lampiran A1 dan Lampiran A2 dan hantarkan kepada :

Pengarah
Bahagian Pembangunan Perniagaan
Aras 5(Menara), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
No. 13, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62623 Putrajaya, Malaysia

Tel     : 03 – 8882 5768/ 6931 / 7013 / 6185
Faks : 03 – 8882 5826 / 6334
Emel : ulbpp@kpdnkk.gov.my


Jumlah Pelawat