PATUHI DISIPLIN DAN INTEGRITI

PUTRAJAYA, 13 NOVEMBER 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh menasihati pegawai-pegawai muda agar sentiasa mematuhi disiplin dan berintegriti ketika menjalankan tanggungawab.

Katanya, seseorang itu akan merasa tidak selesa atau sentiasa keluh kesah sekiranya tidak mempunyai disiplin atau integriti. Keda-dua sifat ini memang perlu ada dalam diri seseorang penjawat awam bagi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, penjawat awam hari ini seharusnya bersyukur dengan kemudahan yang disediakan berbanding suatu ketika dahulu di mana ada peralatan seperti mesin taip, komputer dan sebagainya terpaksa berkongsi antara beberapa pegawai mahupun kakitangan.

“Kemudahan yang disediakan hari ini amat lengkap dan tiada alasan lagi untuk kita tidak dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai,” tegasnya ketika mengadakan Sesi Teh Tarik bersama Pegawai-pegawai Gunasama Gred 41 dan 44 KPDNKK bertempat di Rumah Kelab, Aras 7 di sini petang tadi.

Majlis yang dihadiri seramai 64 pegawai itu berjalan dalam suasana yang cukup santai tetapi padat dengan mesej yang disampaikan oleh Dato’ Sri Jamil.

“Saya telah bertemu dengan kumpulan pemandu dan Pegawai Penguatkuasa sebelum ini dan pertemuan ini adalah pertemuan yang ketiga saya. Saya merancang untuk berjumpa dengan lain-lain gred bagi membolehkan saya mendengar sendiri masalah atau isu-isu yang dihadapi semua pegawai dan kakitangan di kementerian ini,” ujarnya.
Dato’ Sri Jamil yakin bahawa semangat kerjasama berpasukan yang ditunjukkan semua pegawai dan kakitangan membolehkan segala isu dan masalah yang dihadapi dapat dihadapi dengan jayanya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat