Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga Dan Anti-Pencatutan

PENGUATKUASAAN AKHAP 2011 DAN MEKANISME ANTIPENCATUTAN

Mulai 1 Januari 2017 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah Bagi Barangan) 2016 bagi bertindak terhadap aktiviti pencatutan. Peraturan ini bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014 yang telah berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2016.

Peraturan ini menggunakan kaedah pengiraan peratusan tokok (mark up) atau peratusan margin pada setiap hari pertama tahun kewangan atau tahun kalendar perniagaan sebagai penentuan keuntungan asas.  Peratusan tersebut adalah berdasarkan kepada peratusan mark up atau peratusan margin pada hari pertama tahun sebelum dan trend perbezaan peratusan mark up atau peratusan margin bagi tempoh 3 tahun sebelumnya.

Penentuan pencatutan (keuntungan tinggi yang tidak munasabah) dibuat menggunakan pengukuran tempoh satu tahun kewangan atau tahun kalendar perniagaan. Pencatutan berlaku apabila peratusan mark up atau peratusan margin tahun semasa melebihi peratusan keuntungan asas dalam tahun berkenaan.

Peraturan ini tidak menetapkan kadar keuntungan barangan yang diurusniaga atau dijual. Namun begitu, Kementerian mempunyai asas melalui mekanisme dalam Peraturan ini bagi memastikan keuntungan yang ditentukan atau diperolehi oleh peniaga bagi sesuatu barangan adalah munasabah berasaskan kepada data maklumat perniagaan yang lepas.

Kementerian memulakan penguatkuasaan dan pemakaian Peraturan kepada 2 kategori barangan iaitu makanan dan minuman serta barangan isi rumah. Barangan isi rumah adalah terdiri daripada jenis barang yang tidak tahan lama termasuk produk penjagaan diri. Keutamaan diberi bagi barangan ini kerana ia memberi kesan langsung ke atas perbelanjaan isi rumah dan kos sara hidup rakyat. Namun, Kementerian akan memperluaskan penguatkuasaan peraturan ini kepada barangan dan perkhidmatan lain mengikut keperluan dan kewajaran. Peraturan-Peraturan ini berkuatkuasa ke atas semua peringkat perniagaan bagi barangan yang termasuk dalam skop pemakaian peraturan.

Tempoh peralihan selama 5 bulan bermula pada 1 Januari 2017 dan berakhir 31 Mei 2017 diberi kepada peniaga bagi persediaan pematuhan kepada Peraturan ini. Kementerian sedang melaksanakan program advokasi untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada pihak berkepentingan khususnya peniaga yang tertakluk kepada penguatkuasaan bagi mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap pematuhan kepada Peraturan ini.

Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mencatut. Sekiranya disabit kesalahan, bagi orang perseorangan, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama manakala kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya, manakala bagi pertubuhan Perbadanan atau syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama manakala denda sebanyak RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Sebarang aduan berhubung harga dan pencatutan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui:

  • Talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC);
  • Talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800;
  • Aplikasi telefon pintar Ez ADU;
  • Emel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my;
  • SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN <butiran aduan>”; dan
  • Lapor/hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.

Unit Antipencatutan
Bahagian Penguatkuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan


Jumlah Pelawat