Penguatkuasaan Gores dan Menang

A. Akta Perihal Dagangan 2011.

Adalah suatu Akta bagi maksud untuk:

Menggalakkan amalan perdagangan yang baik dan melarang perihal dagangan dan pernyataan palsu, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan berhubung dengan pembekalan barang-barang dan perkhidmatan.

Penguatkuasaan gores dan menang adalah berhubung dengan tindakan untuk membasmi “Pernyataan palsu atau mengelirukan berhubung dengan peraduan, permainan, dsb.” dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Akta ini melarang penggunaan perihal dagangan dan pernyataan palsu, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan berhubung dengan pembekalan dan perkhidmatan bagi memberi perlindungan kepada pengguna/ orang awam dari amalan perdagangan yang tidak beretika. Aktiviti “Gores dan Menang”, “Koyak dan Menang” atau “Imbas dan Menang” dan seumpamanya yang tidak beretika adalah merupakan salah satu penyataan palsu dan mengelirukan bagi maksud Akta ini.

B. Seksyen 20, Akta Perihal Dagangan 2011

Aktiviti gores dan menang yang bertujuan sebagai memberi peluang kepada pembeli yang bertuah untuk memenangi hadiah sebagai penghargaan tidak perlu kebenaran untuk menjalankannya pada masa ini. Walau bagaimanapun, peraduan dan permainan “Gores dan Menang”, “Koyak dan Menang” dan seumpamanya yang digunakan sebagai satu alat/kaedah untuk mengumpan dan dengan niat menipu pengguna adalah merupakan suatu kesalahan.

Seksyen 20 – Pernyataan palsu atau yang mengelirukan berhubungan dengan peraduan, permainan, dsb. memperuntukkan tiada seorang pun boleh membuat apa-apa pernyataan palsu atau yang mengelirukan, iaitu:

  1. barang-barang atau perkhidmatan yang ditawarkan olehnya dapat memudahkan kemenangan dalam mana-mana peraduan atau permainan mencuba nasib;
  2. mana-mana orang telah pun memenangi, akan memenangi, atau akan, sekiranya melakukan perbuatan tertentu, memenangi hadiah atau faedah lain yang setara.

Sedangkan pada hakikatnya:-

  1. tiada hadiah atau faedah lain yang setara;
  2. hadiah atau faedah lain yang setara itu tidak diadakan sebagaimana yang ditawarkan; atau
  3. mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan menuntut hadiah atau faedah yang setara itu adalah tertakluk kepada orang itu membayar wang, menanggung kos atau apa-apa syarat yang tidak munasabah.

C. Penalti 

Mana-mana orang yang melanggar Seksyen 20 adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman:

  1. (Bagi Individu);

Kesalahan Pertama: Denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.
Kesalahan Kedua: Denda sehingga RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

b. (Bagi Pertubuhan);

Kesalahan Pertama: Denda sehingga RM500,000.
Kesalahan Kedua: Denda sehingga RM1,000,000.


Jumlah Pelawat