Penguatkuasaan Jualan Murah

PERATURAN-PERATURAN PERIHAL DAGANGAN (HARGA JUALAN MURAH) 1997

TAFSIRAN HARGA JUALAN MURAH

Apa-apa perbahasaan yang menunjukkan bahawa harga sesuatu barang adalah murah daripada harga yang ditawarkan sebelumnya termasuklah penggunaan perbahasaan “jualan”, “diskaun”, “pengurangan”, “belian terbaik”, “harga terbaik”, “harga istimewa” , “harga runtuh”, “harga lebih murah setiap hari” atau “tawaran separuh harga”.

JUMLAH JUALAN MURAH YANG BOLEH DIADAKAN SETAHUN

Pengawal Perihal Dagangan memberi kebenaran kepada peniaga untuk mengadakan jualan murah sebanyak 4 kali iaitu 3 kali tarikh Pengawal Perihal Dagangan dan 1 kali tarikh pilihan peniaga.

Tarikh jualan murah untuk tahun 2017 yang diwartakan oleh Pengawal Perihal Dagangan adalah:

  1. Jualan Awal Tahun – 1 Mac 2017 Hingga 2 April 2017
  2. Karnival Jualan Mega 1 Malaysia – 1 Mei 2017 Hingga 31 Ogos 2017
  3. Jualan Akhir Tahun 1 Malaysia – 1 Oktober 2017 Hingga 1 Januari 2018
  4. Dua (2) tarikh pilihan peniaga (Selain Tarikh Pengawal)

Syarat-syarat untuk mengadakan jualan murah :-

  1. Barangan yang dijual dengan “harga jualan murah” hendaklah sekurang-kurangnya 50% dari jumlah kesemua barangan yang dipamerkan dalam premis yang sama.
  2. Peratusan minima bagi pengurangan harga barangan yang dibekalkan hendaklah tidak kurang daripada 10% daripada harga barangan yang dibekalkan.
  3. Notis jualan murah hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat. Manakala butiran barangan dan harga bolehlah dipamerkan dalam apa-apa skrin paparan elektronik/ disimpan dalam folder/fail atau diletakkan dalam satu kedudukan yang mudah dilihat serta tersedia kepada pengguna.
  4. Jika peniaga menjalankan jualan murah lebih satu tempat perniagaan, satu salinan notis jualan murah hendaklah dipamerkan di setiap premis. Butiran barangan dan harga dipamer seperti di perenggan 3.
  5. Peniaga hendaklah menyelenggarakan rekod lengkap berkaitan harga barangan bagi tempoh 6 bulan terdahulu ditawarkan di premis yang sama.
  6. Peniaga hendaklah mempamerkan pada setiap barangan ”harga yang ditawarkan dahulu” dan “harga jualan murah”. “Harga yang ditawarkan dahulu” adalah harga paling rendah (bukan harga jualan murah) dijual selama 28 hari berterusan di premis yang sama dalam tempoh 3 bulan sebelum tarikh bermulanya jualan murah (Tidak termasuk harga rendah semasa jualan murah).
  7. Nombor pendaftaran dan tarikh jualan murah serta logo KPDNKK hendaklah dicatatkan dalam apa jua pengiklanan.
  8. Logo KPDNKK tersebut adalah di dalam Bahasa Kebangsaan dan boleh diterjemahkan dalam mana-mana ungkapan bahasa yang lain. Ia perlu ditulis tangan atau dicetak dengan ketinggian huruf tidak kurang daripada 5 mm.
  9. Peniaga hendaklah menyenggara satu stok munasabah barang untuk jualan murah.
  10. Setiap jualan murah yang diadakan mestilah tidak melebihi 30 hari kecuali tarikh Pengawal.

PROSEDUR PERMOHONAN NOTIS JUALAN MURAH

  1. Permohonan notis Jualan Murah perlu dibuat secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Notis Jualan Murah di njm.kpdnkk.gov.my
  2. Peniaga perlu mendapatkan kata laluan bagi menggunakan aplikasi Sistem Notis Jualan Murah.
  3. Permohonan notis Jualan Murah boleh dihantar ke mana-mana cawangan pejabat KPDNKK Negeri / Daerah secara dalam talian.
  4. Notis jualan murah yang disahkan perlu dicetak oleh peniaga dan dipamerkan di setiap premis yang mengadakan jualan murah.

PENGECUALIAN

Peraturan ini tidak terpakai jika pengurangan harga –

  1. Tidak menunjukkan apa-apa perbandingan dengan mana-mana harga lain;
  2. Mematuhi apa-apa syarat tertentu berhubungan dengan pembelian barang-barang tersebut;

    Contoh jualan murah bersyarat ialah

    • Diskaun pembelian dengan pembelian;
    • Kupon, baucer diskaun;
    • Kad ahli;
  3. Dibuat secara lisan dalam premis di mana jualan itu dibuat
  4. melibatkan barang-barang yang mudah rosak.


Jumlah Pelawat