Penguatkuasaan Tanda Harga

Harga merupakan satu perundangan yang telah dikuatkuasakan bermula pada tahun 1977 dengan 111 barangan terpilih. Perundangan ini yang dahulunya dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1977 telah diganti dengan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 dan merangkumi semua jenis barangan yang dijual secara runcit.

Semua peniaga yang menjual barangan secara runcit dianggap penjual runcit. Penjual runcit terdiri daripada peniaga kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya besar, pasar mini, kiosk, kedai sukan, kedai emas, butik pakaian, aksesori termasuk semua bentuk perniagaan yang menjual secara runcit kepada pengguna akhir.

Kewajipan penandaan harga oleh penjual runcit adalah seperti berikut:

  1. Hendaklah meletakkan tanda harga pada setiap barang atau contoh barangan yang dipamerkan bagi jualan;
  2. Hendaklah menandakan setiap barang tersebut dengan tanda harga yang menunjukkan harga tunai bagi tiap satu unit, satu unit timbangan atau bagi setiap sukatan barangan tersebut;
  3. Sekiranya jenis atau saiz barangan tidak sesuai ditandakan harga pada barang itu atas sebab jenis atau saiz, penjual runcit boleh menggunakan satu senarai harga yang menyatakan perihal barang dan harganya dengan jelas;
  4. Perihal dan harga ini hendaklah ditandakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Malaysia dan terjemahan sekiranya penjual runcit tidak memahami Bahasa Malaysia;
  5. Saiz dan Warna tanda harga hendaklah dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna;
  6. Harga hendaklah dinyatakan dalam Ringgit Malaysia (RM);
  7. Pengguna hendaklah mempunyai akses kepada harga pada setiap masa;

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui:

  1. Talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC)
  2. Talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS)  1-800-886-800
  3. Aplikasi telefon pintar Ez ADU
  4. Emel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my
  5. SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN <butiran aduan>”
  6. Lapor/hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.

Gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual

(Kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993)

Bagi Bukan Pertubuhan Perbadanan (Individu)

  1. Denda Maksimum – RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali
  2. Kompaun Maksimum – RM 25,000

Bagi Pertubuhan Perbadanan (Syarikat)

  1. Denda Maksimum – RM100,000
  2. Kompaun Maksimum – RM 50,000

Jumlah Pelawat