Perlindungan Pengguna

PROGRAM PERLINDUNGAN PENGGUNA

Bertanggungjawab tentang hal ehwal perlindungan pengguna melalui penyemakan dan cadangan undang-undang dan dasar-dasar baru untuk melindungi pengguna, menerima aduan pengguna dan menjadi urusetia kepada Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN).

KAJIAN SEMULA DASAR PENGUNA NEGARA (DPN) dan PELAN INDUK PENGGUNA (PIP)

Kementerian telah mengenalpasti keperluan untuk melaksanakan kajian semula Dasar Pengguna Negara (DPN) yang telah digubal pada tahun 2002 dan Pelan Induk Pengguna (PIP) yang dibuat pada tahun 2003. Kajian ini adalah penting untuk memastikan bahawa Dasar Pengguna Negara dan Pelan Induk Pengguna bersesuaian dengan keperluan semasa agar kekal relevan dan melindungi kepentingan para pengguna di negara ini.

SEMAKAN AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999 (Akta 599)

Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 (atau Akta 599) telah berkuatkuasa pada 15 November 1999 untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan pengguna.

Sejak itu, pindaan telah dibuat sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2002, 2003, 2007 dan 2010.

Pindaan 2002 – Pindaan Subseksyen 17 (1) menyenaraikan jenis-jenis Kontrak Perkhidmatan Hadapan yang telah diwartakan oleh KPDNKK untuk maksud seksyen berkenaan.

Pindaan 2003 – menambah keanggotaan TTPM daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan serta meningkatkan award TTPM daripada RM10, 000 kepada RM25, 000.

Pindaan 2007 – memperluaskan skop Akta 599 kepada urusniaga perdagangan secara elektronik.

Pindaan terkini pada tahun 2010 bertujuan untuk membuat penambahbaikan ke atas peruntukan sedia ada di bawah Akta 599 supaya akta tersebut kekal relevan dalam menghadapi perubahan bagi amalan perdagangan pada masa kini dan mampu memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna. Pindaan kali ini juga memperkenalkan 2 Bahagian baru iaitu Bahagian IIIA:Terma Kontrak Tidak Adil yang menetapkan peruntukan-peruntukan bagi melindungi pengguna daripada terma-terma tidak adil yang wujud dalam sesuatu kontrak bentuk seragam dan Bahagian XIIA: Jawatankuasa Pengiklanan yang memperuntukan kuasa kepada Menteri untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang mengeluarkan iklan yang mengelirukan atau palsu.


Jumlah Pelawat