PUTRA TIGERS DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT

 

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2017 – Pasukan Bolasepak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mendapat suntikan semangat apabila Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mahukan agar pasukan ini memberi persembahan yang terbaik di samping menggesa agar ditubuhkan kumpulan penyokong untuk memberi semangat kepada pasukan ini.

Selain menerima jersi pasukan yang disampaikan Dato’ Seri Hamzah bertempat di Aras 36, Bangunan Menara Bank Rakyat, Putra Tigers turut mendapat sokongan yang padu dari pengurusan tertinggi KPDNKK yang turut hadir pada majlis ringkas itu.

Putra Tigers yang dibawah kepimpinan Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Dato’ Muez Abd. Azizi selaku Presiden Kelab, menanam iltizam untuk muncul tiga pasukan terbaik dalam persaingan Liga Divisyen Satu  Kuala Lumpur yang bermula tidak lama lagi di samping memperbaiki kedudukan dalam Liga FA Kuala Lumpur.

Tahun ini, Putra Tigers berjaya menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan dalam Liga Divisyen Satu dan berjaya sehingga ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala FA Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Hamzah mahukan agar Putra Tigers menunjukkan mutu permainan yang tinggi di samping mempertingaktkan disiplin. Katanya tanpa disiplin, sesebuah pasukan itu tidak akan pergi jauh dan sukar untuk mewujudkan kerjasama berpasukan.

Katanya, pelawanan perlu dipanjangkan ke semua agensi bagi mewujudkan kelab penyokong yang akan membantu pasukan ini pada setiap kali turun padang. Katanya, tanpa sorakan penyokong, sesebuah pasukan itu seolah-olah bersendirian di padang menentang  lawan mereka.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

 

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat