SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT KPDNKK MERIAH

PUTRAJAYA, 6 NOVEMBER 2017 – Seramai 618 peserta Teka Silangkata, 40 peserta permainan Shahiba, 15 peserta pertandingan nyanyian lagu-lagu tradisonal, 30 kanak-kanak untuk sesi bercerita sudah cukup menggambarkan kemeriahan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)  bagi tahun 2017.

Seramai 12 peserta turut mengambil bahagian dalam pertandingan mencipta logo sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat KPDNKK manakala 30 kanak-kanak bagi acara mewarna mencerminkan sambutan tahun ini meliputi semua peringkat umur. Penyertaan yang diterima dari seluruh negara termasuk daripada agensi-agensi di dalam KPDNKK, turut menggalakkan.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh ketika merasmikan sambutan ini berkata, lebih banyak aktiviti yang menjurus kepada pembudayaan Bahasa Kebangsaan perlu diadakan pada tahun-tahun akan datang supaya bahasa ibunda ini tetap dimartabat oleh semua rakyat negara ini.

“Penggunaan Bahasa Kebangsaan yang bercampur-campur dengan bahasa lain dilihat akan merosakkan keindahan bahasa ibunda itu sendiri. Bahasa Kebangsaan, misalnya perlulah digunakan sepenuhnya dalam pengendalian mesyuarat rasmi di kementerian atau jabatan dan menjadi tugas kita bersama untuk mendaulatkannya,” ujarnya.

Sambutan ini juga disertai jualan dan pameran buku-buku dari tiga syarikat di samping sudut gunakan ayat dengan betul oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) yang mendapat sambutan baik dengan menyediakan hadiah berbentuk baucer makanan segera dan  membeli-belah..

Menurut Dato’ Sri Jamil lagi, pihak penganjur perlu peka kepada objektif program dengan membuka lebih banyak peluang untuk warga kerja kementerian ini serta agensi-agensinya mengambil bahagian pada tahun-tahun mendatang.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat