SKHMP PESTA GAWAI

0

KUCHING, 27 MEI 2017 – Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong hari ini mengadakan lawatan ke Servay Hypermarket EG Mall dekat sini  bersempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Pesta Gawai.

SKHMP Pesta Gawai 2017 dilaksanakan bermula hari ini sehingga 2 Jun nanti. Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari berkuat kuasa selama lima hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan sehari selepas perayaan.

Skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Lawatan ini untuk memastikan peniaga tidak menjual barangan kawalan musim perayaan lebih mahal daripada harga maksimum yang telah ditetapkan dalam tempoh skim kawalan harga.

Sebanyak 13 barangan disenaraikan di bawah SKHMP Pesta Gawai ini bagi mengawal perbuatan segelintir peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan mereka.

Dato’ Henry memberi amaran bahawa kira-kira 400 pegawai penguatkuasa di negeri ini akan dikerahkan membuat pemantauan berterusan di semua lokasi tumpuan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Katanya, KPDNKK mendapat sokongan JKKK Kampung, Jabatan Sukalawan (RELA), dan Friends Of KPDNKK (FOK) untuk membantu pemantauan  ke atas peniaga itu.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Terdahulu, Dato’ Henry turut melancarkan SKHMP Tadau Kaamatan di Pasaraya Hup Seng, Ranau bagi memastikan barangan yang terpilih dalam skim ini dijual pada harga yang ditetapkan untuk memudahkan pengguna..

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat