Skim Piramid Lumpuh

0

PUTRAJAYA, 31 MEI 2017 – Operasi bersepadu, Ops Token yang disertai 93 pegawai yang diketuai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Polis Di Raja Malaysia serta Cybersecurity Malaysia yang diselaras National Revenue Recovery Enforcement Team ( NRRET) dari Jabatan Peguam Negara berjaya melumpuhkan skim Mfc Club atau dikenali juga sebagai Mface Club.
Hasil serbuan yang dilakukan ke atas enam lokasi masing-masing lima di sekitar Lembah Klang dan sebuah kompleks beli belah di Pulau Pinang berjaya merampas dokumen, 91 akaun skim pyramid serta membekukan sebanyak RM 177 juta di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara barangan yang dirampas adalah beg tangan wanita, dua jongkong emas, jam tangan pelbagai jenama, cincin, batu jed dan pen sebagai bahan bukti untuk siasatan mengikut Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti Piramid 1993.
Pada sidang media khas di Kompleks KPDNKK petang tadi, Pengarah Penguatkuasa Dato’ Mohd. Roslan Mahayudin berkata, operasi ini adalah antara kejayaan yang perlu dikongsi sama dengan lain-lain agensi yang terlibat. Katanya, pihaknya akan membuat siasatan rapi bagi mendakwa mereka yang mendalangi skim ini.
Kes in juga disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Bank Negara Malaysia dan Akta Syarikat 2016 Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Katanya, penguatkuasaan secara bersepadu ini menyasarkan tindakan yang lebih menyeluruh bukan sahaja terhadap pengendali tetapi juga terhadap penganjur serta para pelabur yang tidak bertanggungjawab lanjutan daripada penglibatan mereka dalam skim tersebut.
Tindakan undang-undang yang lebih tegas akan diambil berdasarkan beberapa perundangan lain yang dikuatkuasakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Skim berkenaan menawarkan pelaburan bukan sahaja kepada rakyat tempatan malah turut menarik minat penyertaan pelabur dari China. Melalui enam pakej pelaburan yang ditawarkan bermula serendah AS100 (428) hingga mencecah AS5,000 ( RM21,405) berbentuk wang, pengiklanan untuk paparan dalam laman internet.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat