Sebuah kedai makan di Kuala Rompin, Pahang ”cekik darah”. Harga yang dikenakan melampau.

Jawapan ini adalah merujuk kepada aduan SMS dalam akhbar KOSMO (m/s 16) pada 8 Mac 2010 yang dihantar oleh TOK WAN mengenai sebuah kedai makan di Kuala Rompin, Pahang ”cekik darah”. Harga yang dikenakan melampau terutama kepada pelancong luar.

Siasatan telah dijalankan oleh sepasukan Pegawai Penguatkuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan Cawangan Rompin,Pahang telah memeriksa kesemua premis yang berniaga di kawasan Rehat Simpang Leban Chondong,Rompin,Pahang.

Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan,mendapati kesemua premis gerai makan ini mempamerkan tanda harga bagi makanan, minuman dan juga juadah istimewa iaitu udang galah yang dijual untuk masakan dan mentah.Hasil daripada siasatan dan perbualan bersama pemilik-pemilik gerai makan ini,harga makanan seperti udang galah adalah sentiasa berubah. Keadaan ini berlaku adalah kerana tangkapan udang galah adalah bergantung kepada keadaan air sungai dan beberapa faktor yang lain.Pemeriksaan terhadap jenis-jenis makanan yang lain mendapati harga tidak berubah.

Kami berharap penjelasan ini akan dapat menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pengadu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan kami.

Disediakan oleh,
Unit Komunikasi Korporat
KPDNKK