Impak Pelaksanaan
Impak Pelaksanaan
DKN 2011–2020 mengandungi inisiatif ke arah transformasi gerakan koperasi untuk menjadikan sektor koperasi mampu bersaing dan koperasi menjadi pemain aktif dalam ekonomi negara. Matlamat akhir ialah untuk meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada keluaran negara.
Pencapaian pelaksanaan dasar diukur melalui tiga bidang keberhasilan utama:
- Pembangunan Aktiviti Ekonomi Koperasi
Sektor koperasi diiktiraf sebagai penyumbang signifikan kepada keluaran negara. Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sektor perkhidmatan, sumbangan koperasi dalam sektor ini meningkat kepada 70% dan gerakan koperasi akan mempunyai empat buah koperasi perbankan. Jumlah koperasi bersaiz besar dan sederhana akan meningkat kepada 15% dan lebih banyak koperasi akan terlibat dalam aktiviti berskala besar.
Produk dan perkhidmatan koperasi akan bertambah melalui aktiviti nilai tambah dan penglibatan koperasi dalam rantaian nilai dengan 5% koperasi beroperasi pada skala besar dan 5% koperasi pertanian dan ternakan mengaplikasikan teknologi hijau.
- Kawal Selia dan Tadbir Urus Baik
Kejayaan DKN 2011–2020 juga diukur melalui pematuhan perundangan koperasi dan penerapan nilai dan amalan terbaik perniagaan. 90% penyata kewangan tahunan koperasi teraudit dan 90% koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan. Kes pelanggaran undang-undang koperasi akan menurun kepada 1% daripada jumlah koperasi.
Keberhasilan strategi kawal selia dapat diukur daripada peningkatan pengurusan koperasi yang lebih efisien, peningkatan produktiviti dan kepekaan terhadap keperluan anggota dan perubahan persekitaran. Koperasi mengekalkan kebolehupayaan dan kemantapan untuk terus bersaing di pasaran terbuka. 70% koperasi yang dilaksanakan penarafan akan mencapai tahap tiga bintang ke atas dan 20 koperasi disenaraikan dalam ICA Developing 300 dan dua koperasi dalam ICA Global 300.
- Keyakinan dan penerimaan rakyat terhadap koperasi
Keupayaan koperasi memenuhi kehendak ekonomi dan sosial anggota menyaksikan peningkatan ketara dalam penubuhan koperasi. Disasarkan sebanyak 10,000 koperasi ditubuhkan menjelang 2013 dan 16,000 menjelang 2020. Aktiviti koperasi dipelbagaikan dan keanggotaannya meliputi hampir keseluruhan lapisan masyarakat. Sekurang-kurangnya 50% rakyat dewasa menjadi anggota koperasi.
Pelaksanaan dasar memerlukan perancangan yang rapi di mana dalam tempoh dua tahun pertama, tumpuan diberikan kepada aspek pendidikan dan pembelajaran. Ini merangkumi inisiatif membangunkan modal insan, meningkatkan kefahaman berkoperasi, pembudayaan keusahawanan dan pematuhan undang-undang.
Fasa kedua yang merangkumi tempoh lima tahun pelaksanaan akan menyaksikan pelaksanaan program pengukuhan koperasi dalam usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing. Koperasi digalakkan untuk bergabung dan beroperasi berskala besar bagi membolehkannya menikmati manfaat ekonomi berskala dan menjadi kompetitif.
Akhirnya menjelang tahun 2020, koperasi dijangka berjaya menjadi entiti yang mampu berdiri setaraf dan bersaing dengan sektor swasta dalam pasaran terbuka. Koperasi menjadi entiti perniagaan yang produktif, efisien dan kompetitif serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada keluaran dan pembangunan Negara.
Dikemas kini pada : 22 Ogos 2012









