Langkah Tegas Menyekat Manipulasi Harga

Langkah Tegas Menyekat Manipulasi Harga

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 3 April(Bernama) -- Masyarakat pengguna negara ini sudah tentunya menarik nafas lega apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baru, Datuk Shahrir Samad berkata kerajaan boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan menerusi langkah mengimport barangan berkenaan.

Kaedah tersebut juga dikatakan boleh menghentikan manipulasi oleh peniaga dan pengeluar barangan tempatan yang selama ini mempunyai kuasa bagi menentukan kuantiti dan harga barangan bagi pasaran dalam negara.

Kalau hendak diikutkan, para pengguna negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa sikap segelintir peniaga yang rakus menaikkan harga barangan terutamanya menjelang musim perayaan. Mereka sememangnya ternanti-nanti tindakan tegas kerajaan untuk membendung sikap yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kerajaan bertanggungjawab memastikan keselesaan hidup yang baik untuk semua rakyat Malaysia. Golongan berpendapatan rendah mesti diberi bantuan supaya mereka boleh menghadapi beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Harga barangan terkawal harus terus dikawalselia dengan tindakan yang lebih progresif seperti membuka untuk pengimportan untuk lebih ramai pengimport," kata Muhammad Sha'ani Abdullah, Ketua Eksekutif/Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA)kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Shahrir mengenai kemungkinan langkah yang boleh diambil kerajaan bagi menghentikan manipulasi harga barangan serta menjamin bekalan dan harga barangan yang lebih berpatutan.

KAWALAN HARGA

Menurut Muhammad Sha'ani, sistem kawalan harga yang tidak kemas yang tidak mengambil kira kos pengeluaran atau pengimportan atau pun kos melepas seperti berlaku ke atas minyak sawit akan menjadi insentif negatif kepada pengeluar atau pengimport untuk terus membekalkan barangan yang terbabit kepada pengguna di Malaysia.

Sebagai peniaga yang bergantung kepada keuntungan untuk kemandirian (survival), peniaga tidak boleh menanggung kerugian, tambahnya.

"Jika peniaga tidak dapat satu margin keuntungan yang munasabah dari segi kos kewangan, mereka akan menaikkan harga. Jika harga barangan itu dikawal, mereka sama ada akan menghentikan pengeluaran ataupun pengimportan.

"Ada juga pengeluar seperti pengeluar besi batang keluli dan simen terpaksa menjual hasil keluaran pada harga kawalan tetapi mengenakan pelbagai caj tambahan untuk menampung kos pengeluaran yang melebihi harga kawalan," kata beliau.

Dalam keadaan tersebut, katanya, pengeluaran lesen dan permit import akan memberi manfaat dari segi tambahan bekalan untuk mengawal peningkatan harga runcit.

Langkah itu juga, katanya akan mempengaruhi pengeluar tempatan untuk bersaing dengan berusaha lebih cekap dalam proses pengeluaran dan sistem pengedaran ke pasaran.

"Sebagai contoh bekalan gula pasir dan tepung gandum diimport oleh bilangan kecil pengimport yang diberi lesen import. Bilangan kecil ini boleh memanipulasi pasaran barangan ini dengan mudah. Juga dengan kedudukan seakan monopoli mereka tidak akan berusaha untuk mencari sumber bekalan alternatif bagi mendapatkan bekalan gula dan tepung gandum dengan harga yang lebih kompetitif," jelas beliau.

Dalam hal daging ayam pula, tambahnya, walaupun kos pengeluaran tidak bertambah di waktu permintaan meningkat dengan alasan permintaan yang tinggi, pengeluar masih menuntut harga lebih.

"Keadaan seperti ini perlu dipantau dengan langkah awalan harus disediakan supaya pengimportan bermusim dilaksanakan untuk mengawal tekanan pasaran sewaktu musim perayaan yang akan menyebabkan harga meningkat," tambahnya.

PASARAN KECIL

Menurut Muhammad Sha'ani, pembekal dapat memanipulasi pasaran tempatan untuk kepentingan mereka kerana Malaysia adalah sebuah pasaran kecil.

"Bilangan pengimport dan pembuat yang kecil membuatkan mereka bekerja sebagai kartel untuk menguatkan kelebihan seperti pembahagian kawasan pengedaran, penetapan harga dan penetapan kuantiti bekalan,"jelasnya.

Beliau memberitahu sekiranya kerajaan mengenakan kawalan harga ke atas barangan biasa (standard), pihak pembekal akan bertindak dengan tidak mengeluarkan barangan standard.

Sebaliknya, tambah beliau, pihak berkenaan akan beralih kepada rumusan yang bukan standard seperti tepung gandum dan roti diperkaya dengan vitamin untuk mengelakkan peraturan kawalan harga.

Beliau memberitahu meskipun matlamat kawalan harga adalah untuk memberi keselesaan hidup kepada pengguna berpendapatan rendah, tindakan yang sedemikian juga menyebabkan pengeluar kurang insentif untuk mengeluarkan barangan

"Ada ketika pembekal terus menghentikan bekalan barangan standard dan pengguna terpaksa membeli keperluan dengan harga yang lebih tinggi kerana tiada pilihan.

"Keadaan ini lebih parah di kawasan luar bandar kerana pengguna luar bandar tidak mempunyai pilihan dari segi premis jualan dan peniaga kecil luar bandar juga bergantung kepada pengedar-pengedar kecil untuk bekalan," katanya.

Muhammad Shaani bagaimanapun berpendapat tidak adil tindakan undang-undang dikenakan ke atas peruncit kerana penetapan harga dikawal oleh pengedar dan pemborong.

"Tindakan undang-undang yang ketat memutuskan bekalan keperluan kepada pengguna luar bandar," kata beliau.

SARANAN FOMCA

Mekanisme kawalan harga, menurut Muhammad Sha'ani juga mempunyai kos dari segi penguatkuasaan, subsidi, ketirisan seperti penyeludupan, penggunaan oleh sektor luar dari sektor yang layak menerima keistimewaan harga kawalan serta ketidakcekapan bekalan.

Dalam masa yang sama, kata beliau kawalan harga juga lebih menguntungkan pengguna berpendapatan tinggi kerana golongan itu menggunakan kuantiti yang banyak berbanding pengguna berpendapatan rendah.

"Bahan mentah yang disubsidi digunakan bagi menghasilkan barangan eksport dan ini sebenarnya memberi faedah kepada pengguna di luar negara yang membeli barangan tersebut," tambah beliau.

Muhammad Sha'ani berpendapat sekiranya subsidi barangan keperluan mahu dikurangkan, ianya mesti dibuat secara berperingkat.

Katanya, mekanisme sokongan sara hidup yang lebih menyasarkan kepada golongan berpendapatan rendah berdasarkan pendapatan per kapita perlu direncana dan dilaksanakan segera.

Tambah beliau, program bantuan dan sokongan kepada semua pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam perlu diberikan untuk mengurangkan kos pengendalian serta meningkatkan keselesaan kepada pengguna.

"Sebagai contoh memberi bantuan atau geran kepada semua kenderaan pengangkutan awam supaya bertukar kepada penggunaan gas petroleum cecair atau LPG.

"Pinjaman tanpa faedah juga boleh dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam untuk menukar bas-bas dari 15 tahun. Harga bas diperolehi secara tender terbuka daripada semua pembekal bas," kata Muhammad Sha'ani.

FOMCA juga, kata beliau ingin mencadangkan supaya semua lesen perniagaan kecil dan premis gerai/penjaja untuk pengusaha dihadkan tempohnya kepada 3 hingga lima tahun dengan larangan untuk disewakan kepada pihak ketiga.

BERNAMA