Majlis Pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan

Majlis Pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan 

 

MAJLIS PELANCARAN

KELAB PENGGUNA SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar,Johor Bahru.

30 OKTOBER 2010

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia

Yang Saya Hormati Saudara Pengerusi Majlis,

Yang.Berhormat. Dato’ Tan Lian Hoe

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan

Y.Bhg. Datuk Mohd Zain Bin Mohd Dom

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan

Yang Berbahagia. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)

Kementerian Pelajaran Malaysia

Yang Berbahagia. Dato’ Daud Bin Tahir

Yang Berusaha Puan Mahani Tan Abdullah

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,

Koperasi Dan Kepenggunaan

Yang Berusaha Tuan Haji Sufa’at bin Tumin

Pengarah Pelajaran

Jabatan Pelajaran Negeri Johor

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia

Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Negeri

Dan Ketua-Ketua Agensi KPDNKK

Seterusnya Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurnia-Nya dapat kita hadir bersama-sama di Majlis Pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan pada pagi ini.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus dan bekerjasama bagi menjayakan majlis ini.

Para Hadirin Dan Hadirat Sekalian,

Untuk makluman, tujuan pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan ini diadakan adalah untuk memberi nafas baru kepada gerakan Kelab Pengguna Sekolah dan memperkasa pelaksanaan aktiviti-aktiviti kepenggunaan di sekolah menengah di seluruh negara.

Melalui pendekatan-pendekatan baru yang praktikal, bersepadu dan bersesuaian dengan keperluan semasa, penjenamaan semula kelab pengguna sekolah diharapkan dapat menyemarakkan semangat kepenggunaan di kalangan pelajar bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan kumpulan pengguna baru (new consumer group) yang bermaklumat, bijak serta bertanggungjawab.

Para Hadirin Dan Hadirat Sekalian,

Kelab Pengguna Sekolah telah ditubuhkan sejak tahun 1992 dengan agenda utamanya adalah untuk memupuk kesedaran kepenggunaan di kalangan pelajar sekolah.

Sehingga kini, sebanyak 1,586 atau 71% daripada 2,250 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telahpun menubuhkan Kelab Pengguna Sekolah, dan menjelang tahun 2012, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan pencapaian ini akan dapat ditingkatkan kepada 100%.

Bagi menggalakkan penubuhan kelab pengguna sekolah dan memacu pelaksanaan aktiviti-aktiviti kepenggunaan di peringkat sekolah, KPDNKK pada tahun ini telah menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM 500 kepada setiap Kelab Pengguna Sekolah yang ditubuhkan di seluruh negara.

Peruntukan kewangan yang disalurkan ini diharapkan dapat menjadi penggerak kepada aktiviti-aktiviti kepenggunaan melibatkan pelajar-pelajar sekolah. Kaedah pelaksanaan aktiviti adalah tertakluk kepada kreativiti Kelab Pengguna Sekolah dan boleh dirujuk di buku Panduan Pengurusan serta Buku Panduan Aktiviti Kelab Pengguna Sekolah yang telah diterbitkan oleh KPDNKK.

Para Hadirin Dan Hadirat Sekalian,

Kita semua sedia maklum bahawa golongan pelajar hari ini merupakan generasi pemimpin masa depan yang bakal menentukan hala tuju negara kita suatu hari nanti.

Senario dunia masa kini yang penuh cabaran menuntut supaya para pelajar dilengkapi dengan ilmu-ilmu kepenggunaan sebagai senjata agar mereka mempunyai ketahanan diri yang jitu dan berupaya untuk memperjuangkan hak-hak mereka sebagai pengguna.

Bak kata pepatah ”kecil-kecil cili padi”, pelajar juga mempunyai kuasa penggerak dan boleh memainkan peranan yang penting sebagai agen perubahan (change agents) bagi membantu masyarakat menangani persoalan dan isu-isu kepenggunaan.

Dalam merealisasikan hasrat ini, Kelab Pengguna Sekolah merupakan saluran yang tepat dalam usaha menerapkan pendidikan kepenggunaan di kalangan pelajar sekolah sama ada melalui pendekatan secara formal mahupun tidak formal.

Para Hadirin Dan Hadirat Sekalian,

Sukacita dimaklumkan bahawa sempena pelancaran kelab pengguna sekolah peringkat kebangsaan pada hari ini, KPDNKK turut melancarkan buku Panduan Pengurusan, Buku Panduan Aktiviti Dan Logo Kelab Pengguna Sekolah Yang Baru.

Seminar dan bengkel-bengkel pemantapan Kelab Pengguna Sekolah yang diterajui oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan yang ada di Negeri diharapkan dapat membuka ruang dan menjadi peneraju kepada pelaksanaan pelbagai pendekatan baru yang berkesan dan ”mesra pelajar”.

Antara fokus pendekatan yang akan dijalankan oleh KPDNKK di peringkat sekolah ialah melaksanaan aktiviti-aktiviti kepenggunaan yang menekankan kepada aspek Perbelanjaan Berhemah, Pemakanan Seimbang, Pemeliharaan Alam Sekitar dan aspek-aspek lain yang mudah diaplikasikan oleh pelajar dalam kehidupan seharian.

Saya difahamkan bahawa pada hari ini, program Explorace Kepenggunaan melibatkan pelajar-pelajar daripada sepuluh (10) daerah di negeri Johor akan turut diadakan.

Diharapkan agar pelaksanaan aktiviti-aktiviti kepenggunaan seumpama ini dapat dihayati dan dijiwai oleh para pelajar dan dapat menyumbang kepada amalan penggunaan lestari dan kesejahteraan sosio-ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Para Hadirin Dan Hadirat Sekalian,

Usaha untuk menjadikan Kelab Pengguna Sekolah sebagai satu gerakan Kepenggunaan yang mantap memerlukan persefahaman yang erat di antara semua pihak.

Bagi mencapai matlamat ini, gandingan kerjasama antara para pelajar, guru-guru dan semua pihak adalah penting dalam mewujudkan gelombang kepenggunaan yang besar, kuat dan bersatu seiring dengan laungan ”kuasa pengguna, satu pengguna satu suara”.

Saya dan pihak kementerian, akan terus menghulurkan kerjasama yang padu sama ada melaui khidmat nasihat, sumbangan dana mahupun bantuan dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kepenggunaan yang dijalankan oleh pihak sekolah.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan pada hari ini.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan pada hari ini.

Sekian, Terima Kasih.

Paparan : 3491
Dikemas kini pada : 23 Jun 2012