Program Perlindungan Pengguna
Bertanggungjawab tentang hal ehwal perlindungan pengguna melalui penyemakan dan cadangan undang-undang dan dasar-dasar baru untuk melindungi pengguna, menerima aduan pengguna dan menjadi urusetia kepada Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN).
Aduan Pengguna (BGK)
- Menerima aduan daripada pengadu melalui telefon, laman web, surat dan datang sendiri ke pejabat BHEP.
- Aduan disalurkan kepada agensi-agensi yang terlibat untuk diselesaikan. Adalah dimaklumkan bahawa tidak semua aduan yang diterima merupakan bidang kuasa BHEP untuk menyelesaikannya.
Kajian Semula Dasar Pengguna Negara (DPN) dan Pelan Induk Pengguna (PIP) - (BDK)
Bahagian Kepenggunaan (BK) telah mengenalpasti keperluan untuk melaksanakan kajian semula Dasar Pengguna Negara (DPN) yang telah digubal pada tahun 2002 dan Pelan Induk Pengguna (PIP) yang dibuat pada tahun 2003. Kajian ini adalah penting untuk memastikan bahawa Dasar Pengguna Negara dan Pelan Induk Pengguna bersesuaian dengan keperluan semasa agar kekal relevan dan melindungi kepentingan para pengguna di negara ini.
Semakan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599)
Sehingga ke hari ini, APP 1999 secara rasminya telah melalui 2 kali pindaan. Pindaan pertama telah dikuatkuasakan pada 1 September 2003 di mana pindaan tersebut adalah berkenaan Seksyen 98 (Bidang Kuasa Tribunal) di mana pada asalnya jumlah amaun award yang diminta adalah tidak melebihi RM10,000.00. Selepas pindaan amaun award yang boleh diminta adalah tidak melebihi RM25,000.00.
Pindaan kedua telah berkuatkuasa pada 15 Ogos 2007. Pindaan ini melibatkan Seksyen 2 APP 1999 yang menyentuh perkara berkenaan Pemakaian APP 1999 terhadap beberapa perkara. Pindaan yang berlaku memberi perlindungan kepada pengguna yang menjalankan apa-apa urusniaga perdagangan yang dilaksanakan dengan cara elektronik.
Usaha semakan APP 1999 ini amat perlu dalam menangani arus globalisasi yang memerlukan APP 1999 lebih menyeluruh dan bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang tidak dijangka.
Peraturan Standard Keselamatan Alat-Alat Permainan Kanak-Kanak (BSK)
Pihak Kementerian telah menumpukan usaha untuk melaksanakan Peraturan Perlindungan Pengguna (Pematuhan Terhadap Standard Keselamatan) 2008 Peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan Alat-Alat Permainan Kanak-Kanak)2008 secara mandatori.
Tujuan utama peraturan ini diadakan adalah untuk memastikan pasaran tempatan bebas dari barangan permainan yang berbahaya terhadap keselamatan kanak-kanak.
Peruntukan di bawah Seksyen 19, Bahagian III, Akta Perlindungan Pengguna 1999 akan mewajibkan pengeluaran barangan permainan kanak-kanak mematuhi piawaian keselmatan yang ditetapkan.
Peraturan ini sedang di dalam proses akhir sebelum ianya diwartakan di dalam tempoh masa yang terdekat.
PINDAAN BSK
Pelaksanaan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menguatkuasakan peraturan-peraturan pelindungan pengguna berhubung standard keselamatan bagi mainan kanak-kanak mulai pada 1 Ogos 2010. Peraturan-peraturan tersebut dinamakan seperti berikut:
(i) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010;
(ii) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Standard Keselamatan bagi Mainan) 2009; dan
(iii) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Standard Keselamatan bagi Mainan) (Pindaan) 2010.
Tujuan utama penggubalan peraturan-peraturan pelindungan pengguna di atas adalah untuk memastikan bahawa mainan kanak-kanak yang diimport dan dibekalkan di pasaran tempatan adalah selamat untuk digunakan. Golongan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai pengguna muda adalah mudah terdedah dengan penggunaan mainan yang berkemungkinan memberi kesan buruk kepada kesihatan dan boleh mendatangkan risiko kecederaan.
Penguatkuasaan standard mandatori bagi mainan kanak-kanak ini adalah merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dan kualiti barang yang dibekalkan oleh pihak industri di samping memastikan kepentingan pengguna terpelihara.
PERINTAH LARANGAN PEMBEKALAN SEVEN COLOR CRYSTAL BALL DAN APA-APA BARANG YANG MEMPUNYAI CIRI-CIRI YANG SAMA DENGANNYA
Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 23 Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599], Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengisytiharkan Seven Color Crystal Ball (SCCB) dan apa-apa barang yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengannya adalah tidak selamat dan diisytiharkan sebagai barang larangan. Sehubungan dengan itu, Menteri telah membuat suatu perintah yang dinamakan Perintah Pelindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Yang Tidak Selamat) 2011.
Perintah ini telah berkuat kuasa pada 26 Ogos 2011.
Justifikasi terhadap larangan ini adalah seperti berikut:
(i) barang ini telah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak. Sebanyak 8 kes pembedahan besar pada kanak-kanak telah dilaporkan. Terdapat kebarangkalian bahawa kes seumpamanya akan berulang pada masa hadapan;
(ii) barang ini mempunyai sifat utama yang merbahaya iaitu bersaiz kecil dan boleh mengembang apabila mempunyai sentuhan cecair. Ini menarik perhatian kanak-kanak dan menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya tercekik dan usus tersumbat. Kegunaannya boleh disalah tafsir oleh kanak-kanak dan dianggap sebagai makanan ataupun mainan. Ianya juga mudah diperolehi oleh kanak-kanak.