Penguatkuasaan Halal

Penguatkuasaan Halal


Penguatkuasaan berhubung dengan ungkapan "Halal" dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 (selepas ini disebut "perundangan subsidiarinya"). Akta ini dan perundangan subsidiarinya memberi perlindungan kepada peniaga/pengguna dari amalan perdagangan yang tidak sihat. Ungkapan "Halal" adalah merupakan salah satu perihal dagangan bagi maksud Akta ini.


A. Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011

  • Penggunaan perihal "Halal" atau dengan apa-apa ungkapan lain oleh peniaga tidak diwajibkan di bawah undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 memperuntukkan bahawa apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu:

(a)    bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

(b)    tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak;

(c)    tidak memabukkan mengikut Hukum  Syarak;

(d)    tidak mengandungi mana-mana bahagian anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak;
 
(e)    tidak beracun atau memudaratkan kesihatan;

(f)    tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut Hukum Syarak; dan

(g)    tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang gagal memenuhi perenggan (a) dan (b).  
 

  •  Apabila perkhidmatan berhubung dengan makanan atau barang-barang, termasuk pengangkutan,  penyimpanan dan pemprosesan bahan mentah, penyajian dan peruncitan makanan atau barang-barang tersebut diperihalkan sebagai halal, ungkapan tersebut bererti perkhidmatan itu dijalankan mengikut Hukum Syarak.
  • Mana-mana orang yang menyalahi Perintah tersebut adalah melakukan suatu  kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu. Manakala penalti untuk syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM 5 juta.


B.    Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011

  • Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 hanya memperuntukkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam bagi Negeri-Negeri (MAIN) masing-masing dilantik menjadi pihak berkuasa berwibawa untuk memperaku bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
  • Di bawah Perintah ini, semua makanan, barang-barang atau perhidmatan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan jika:

(a)    diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa (JAKIM/MAIN); dan

(b)    ditandakan dengan logo yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa (JAKIM/MAIN) sepertimana berikut:

 

  

  • Mana-mana orang yang menyalahi Perintah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu. Manakala penalti untuk pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.00.


KPDNKK dengan kerjasama JAKIM/MAIN secara konsisten menjalankan pemeriksaan  bagi menentukan kesahihan perbahasaan "Halal" yang digunakan itu.
 
KPDNKK menggalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang penyalahgunaan perihal "halal" palsu atau mengelirukan supaya tindakan dapat diambil.
 

Paparan : 12150
Dikemas kini pada : 14 Jun 2012