Prosedur Pemfailan dan Pendaftaran
Secara ringkasnya, prosedur pemfailan dan pendaftaran sesuatu tuntutan adalah seperti berikut :-
- Semua tuntutan hendaklah dibuat dalam Borang 1, yang boleh didapati secara percuma dari mana-mana pejabat Tribunal yang terdekat;
- Pihak yang menuntut hendaklah mengisi 4 salinan Borang 1 dan kemudian memfailkannya di pejabat Tribunal yang terdekat dengan bayaran fi pemfailan sebanyak RM5.00;
- Borang 1 akan didaftarkan, ditarikhkan dan ditandatangani oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal dan dimeterai dengan meterai Tribunal dan dua salinan Borang 1 yang telah mempunyai meterai Tribunal akan dikembalikan kepada pihak yang menuntut untuk serahan;
- Penyerahan Borang 1 kepada seorang penentang boleh dibuat dengan cara-cara berikut :-
Jika penentang seorang individu :
- meninggalkan dokumen itu dengan orang itu; atau
- memberikan dokumen itu kepada orang itu; atau
- mengeposkan dokumen itu dalam suatu surat berdaftar berbayar dahulu yang dialamatkan kepada orang itu di alamat penyerahannya atau di alamatnya yang terakhir yang diketahui.
Jika penentang suatu Syarikat atau Firma:
- Meninggalkan dokumen itu dengan pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain seumpamanya dalam syarikat itu atau tuanpunya firma itu;
- Memberikan dokumen itu kepada mana-mana orang yang disebutkan di atas; atau
- Mengeposkan dokumen itu dalam suatu berdaftar berbayar dahulu yang dialamatkan kepada mana-mana orang yang disebutkan di atas di pejabat berdaftar syarikat atau firma itu atau dialamat penyerahannya.
- Penentang yang menerima Borang 1 yang dimeterai daripada pihak yang menuntut hendaklah membuat pernyataan pembelaan dan tuntutan balas (jika ada) dalam Borang 2 yang juga boleh didapatkan secara percuma daripada pejabat Tribunal;
- Borang 2 hendaklah difailkan dalam 4 salinan di pejabat Tribunal yang sama di mana Borang 1 difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penentang menerima Borang 1;
- Bayaran bagi pemfailan Borang 2 adalah sebanyak RM5.00 dan resit resmi akan dikeluarkan kepada penentang;
- Borang 2 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai dengan meterai Tribunal oleh Setiausaha Tribunal. Dua salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dikembalikan kepada penentang untuk diserahkan satu salinan kepada pihak yang menuntut;
- Pihak yang menuntut yang telah menerima Borang 2 daripada penentang hendaklah membuat pembelaannya kepada tuntutan balas penentang (sekiranya ada) dalam Borang 3 yang boleh didapati secara percuma daripada pejabat Tribunal;
- Borang 3 hendaklah difailkan dalam 4 salinan di pejabat Tribunal yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh pihak yang menuntut menerima Borang 2. Tiada fi pemfailan bagi Borang 3;
- Borang 3 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai dengan meterai Tribunal oleh Setiausaha Tribunal dan 2 salinan Borang 3 yang telah dimeterai akan dikembalikan kepada penuntut untuk diserahkan satu salinan kepada penentang.
Perhatian:
- Borang-Borang 1, 2, 3 dan 12 boleh juga didapati melalui www.kpdnkk.gov.my atau http://ttpm.kpdnkk.gov.my
- Panduan/Senarai Semakan mengenai cara pengisian Borang 1, 2, 3 dan 12 boleh juga didapatkan daripada Pejabat Tribunal.