Penguatkuasaan Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010)

Penguatkuasaan Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) (ASB 1967)

Definisi

1.1 Pemunya adalah pihak yang memberi pinjaman sewa beli seperti bank atau syarikat kewangan;

1.2 Penyewa adalah pihak menerima pinjaman secara sewa beli dan membeli barangan secara sewa beli; dan

1.3 Penjamin adalah bank yang menjamin penyewa kepada perjanjian sewa beli tersebut.

2. Perlakuan yang menjadi kesalahan di bawah Akta ini adalah:-

2.1 Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Pemunya

(a) Meminta bakal penyewa menandatangani borang dan dokumen yang berkaitan tanpa melengkapkan butirannya terlebih dahulu;

(b) Mengenakan apa-apa caj lain untuk penyediaan atau penyampaian penyataan selain daripada perjanjian;

(c) Tidak membuat perjanjian dalam bentuk bertulis;

(d) Menghantar serah borang perjanjian sewa beli yang tidak dilengkapkan butirannya;

(e) Tidak mematuhi prosedur perolehan semula milikan;

(f) Membuat perjanjian sewa beli yang tidak memenuhi kehendak-kehendak subseksyen (1) iaitu kandungan-kandungan perjanjian;

(g) Tidak membuat perjanjian sewa beli yang berasingan bagi butiran barangan yang berasingan;

(h) Tidak menyerahkan kad pendaftaran kenderaan kepada penyewa walaupun penyewa telah membuat permohonan secara bertulis;

(i) Gagal menyerahkan perjanjian sewa beli dalam tempoh 21 hari kepada penyewa selepas perjanjian ditandatangan;

(j) Engkar berterusan selama 1 bulan untuk kemukakan butir-butir pembayaran kepada penyewa selepas 14 hari diminta oleh penyewa secara bertulis;

(k) Melupuskan barang yang diambil semula milikan sebelum tamat tempoh Notis Jadual Kelima;

(l) Melantik mana-mana orang yang bukan pemegang Permit Agen Perolehan Semula untuk proses pengambilan semula milikan;

(m) Membuat lelongan awam tanpa memberi notis kepada penyewa. Selain itu gagal memberikan opsyen kepada penyewa untuk membeli semula barangan yang dilelong itu;

(n) Gagal menyediakan insuran atas nama penyewa bagi kenderaan bermotor bagi tahun pertama atau barangan lain selama tempoh barang tersebut di bawah perjanjian sewa beli;

(o) Mengambil faedah komisen dan ”rebate” yang sepatutnya diberikan kepada penyewa;

(p) Pemunya atau wakilnya tidak boleh mengutip atau menerima fi tempahan tanpa melengkapkan butiran Notis Jadual Kedua (Bahagian II);

(q) Fi tempahan tidak boleh melebihi 1% dari harga tunai barangan tersebut;

(r) Mengenakan deposit kurang 10% daripada harga barang termasuk fi tempahan;

(s) Memasuki perjanjian sewa beli bagi kenderaan yang telah diubahsuai atau dipinda pembuatan dan struktur asasnya;

(t) Pemunya mengetahui dan membuat penyataan atau representasi palsu kepada penyewa dalam perjanjian sewa beli;

(u) Pemunya gagal untuk mengeluarkan resit bagi setiap pembayaran ansuran yang dibuat oleh penyewa;

(v) Tidak mengeluarkan notis lelong dalam masa 14 hari dari tarikh lelongan awam dibuat;

(w) Gagal menyelenggara rekod-rekod transaksi perjanjian sewa beli; dan

(x) Gagal mengeluarkan Notis Jadual Keempat termasuk Notis Peringatan dan Notis Jadual Kelima. (Jadual Keempat dan Jadual Kelima mempunyai tempoh masa 21 hari).

2.2 Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Penjual

Gagal membuat perakuan tentang kondisi kenderaan terpakai sebelum kenderaan ditawarkan untuk jualan.

2.3 Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Penyewa

(a) Gagal membekalkan maklumat atau memberi maklumat palsu mengenai barang tersebut dalam masa 14 hari setelah menerima notis bertulis dari pemunya;

(b) Gagal memaklumkan pemunya mengenai tarikh alamat baru barang tersebut, tarikh atau hal barang tersebut hilang atau tarikh atau hal barang tersebut diambil milikan dalam tempoh 14 hari kejadian; dan

(c) Melupuskan, memindahkan atau menjual barang dibawah perjanjian sewa beli atau cuba untuk memfraud pemunya.

2.4 Kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang

(a) Menghalang pegawai atau gagal memberi bantuan atau maklumat yang dikehendaki atau memberi maklumat palsu kepada pegawai;

(b) Gagal mengemukakan secara bertulis maklumat atau membekalkan maklumat palsu berkaitan perjanjian sewa beli kepada pegawai yang diberi kuasa;

(c) Mendedahkan apa-apa maklumat yang diperolehi kepada orang lain;

(d) Gagal mematuhi arahan mahkamah mengenai penghantaran barang-barang yang ditahan secara haram;

(e) Gagal kembalikan 90% fi tempahan apabila tempahan dibatalkan;

(f) Gagal kembalikan 100% deposit apabila gagal membuat serahan barangan; dan

(g) Gagal hadir apabila diarahkan oleh Penolong Pengawal Sewa Beli untuk membantu siasatan.

3. Penalti Kesalahan:-

(i) Individu

Denda RM 25,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan seterusnya denda tidak melebihi RM 50,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

(ii) Syarikat

Denda RM 100,000.00 bagi kesalahan pertama dan RM250,000.00 bagi kesalahan seterusnya.

 

 

 

 

 

 

 

Paparan : 4768
Dikemas kini pada : 10 November 2011