Program Promosi dan Pemasaran Produk PKS ke Hypermarket / Pasaraya
i. Produk Malaysia Citarasa Kita(PMCK)
Program ini telah diperkenalkan pada tahun 2003 dengan objektif untuk memperluaskan peluang pemasaran produk usahawan ke hypermarket/pasaraya. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan jalinan kerjasama di antara usahawan dengan pihak hypermarket/pasaraya. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama pasaraya Carrefour, Giant, Jusco, Mydin, Tesco, The Store, Sunshine dan UO Superstore.
Program promosi ini dijalankan sepanjang tahun di lokasi-lokasi yang telah dipilih. Setiap program akan diadakan selama dua minggu bagi memberi peluang kepada usahawan untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka. Produk-produk yang berjaya mendapat permintaan dan membuat jualan yang tinggi selama tempoh promosi tersebut akan berpeluang untuk disenarai tetapkan di pasaraya yang berkenaan. Pihak pasaraya akan membuat penilaian dari segi kapasiti pengeluaran, pembiayaan kewangan, kualiti produk, pembungkusan, pelabelan, prestasi jualan serta komitmen oleh usahawan bagi memastikan produk PKS berupaya untuk bersaing dengan produk-produk lain yang telah lama berada di dalam pasaran.
Maklumat penyertaan PKS di dalam program Produk Malaysia Citarasa Kita
Bil. | Tahun | Jumlah PKS |
1 | 2003 | |
2 | 2004 | |
3 | 2005 | |
4 | 2006 | |
5 | 2007 | |
6 | 2008 | |
7 | 2009 | |
8 | 2010 | |
CABARAN PEMASARAN PRODUK IKS DI HYPERMARKET/PASARAYA
Kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak hypermarket/pasaraya bagi mengenalpasti kelemahan pengusaha dan produk IKS bagi membolehkan penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa. Antara cabaran yang telah dikenalpasti adalah:
a)Kebanyakan usahawan mengeluarkan produk yang sama antara satu sama lain seperti kicap, sos dan kopi. Ini menyukarkan pihak hypermarket/pasaraya untuk menyenaraikan produk berkenaan disebabkan ruang peragaan yang terhad untuk setiap kategori produk yang dijual.
b)Usahawan tidak dapat memberi fokus kepada rangkaian produk yang dikeluarkan apabila mereka mempunyai beberapa kategori produk yang berbeza dalam satu masa. Masalah ini timbul apabila program promosi dan sampling dijalankan. Ini menyebabkan terdapat sesetengah produk yang tidak dapat dijual dalam tempoh masa yang lama.
c)Usahawan kurang berpengalaman dalam memasarkan produk dan tidak menyediakan peruntukan kewangan untuk merangka aktiviti promosi bagi produk mereka. Kebanyakan daripada mereka terlalu bergantung kepada hypermarket/pasaraya untuk menyediakan pelan perniagaan dan pelan promosi untuk membantu memasarkan produk mereka. Keadaan ini menyebabkan pihak hypermarket/pasaraya mengenakan kadar bayaran tertentu (rebat) kepada usahawan yang ditolak daripada hasil jualan produk mereka.
d)Usahawan gagal untuk menghantar produk yang menepati jumlah tempahan dan masa yang ditetapkan oleh pihak hypermarket/pasaraya. Ini adalah disebabkan usahawan tidak mempunyai rangkaian logistik dan pengedar yang mampu untuk memenuhi permintaan dari rangkaian hypermarket/pasaraya di seluruh negara.
e)Produk usahawan tidak mempunyai jangka hayat yang panjang menyebabkannya sukar untuk disenarai tetapkan. Jangka hayat yang ditetapkan oleh pihak hypermarket/pasaraya adalah di antara 6 bulan hingga 1 tahun.
ii. Program ”Taste of Malaysia” (TOM)
Program Taste of Malaysia merupakan program promosi produk usahawan dengan kerjasama pasaraya/hypermarket asing di luar negara. Program ini telah diperkenalkan pada tahun 2005 bertujuan untuk membantu usahawan memasarkan produk ke rangkaian pasaraya/hypermarket di luar negara. Sehingga tahun 2010, sebanyak 9 program telah dilaksanakan. Maklumat pelaksanaan program TOM adalah seperti berikut:
BIL. | NEGARA | TAHUN |
1 | Hong Kong (Giant) | 2005 |
2 | Singapura (Giant) | 2005 |
3 | Dubai, UEA (Carrefour) | 2006 |
4 | Indonesia (Giant) | 2006 |
5 | London (Tesco) | 2007 |
6 | Paris (Carrefour) | 2007 |
7 | Hong Kong (Giant) | 2008 |
8 | Dubai, UEA (Pasaraya tempatan di Dubai – Union Corp, E-Mart, Families, Apsara, Dal Ar Yameen dan Green Mart) | 2009 |
9 | Dubai, UEA – lawatan susulan | 2010 |
Sebarang pertanyaan mengenai program pemasaran produk IKS ke pasaraya/hypermarket boleh disalurkan kepada:
Pengarah
Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
No.13, Persiaran Perdana, Presint 2
62623 Putrajaya
Tel : 03-8882 6203
Faks : 03-8882 5826