Sikap Pengguna Antara Punca Kenaikan Harga

Sikap Pengguna Antara Punca Kenaikan Harga

Masyarakat pengguna negara ini yakin dengan jaminan yang dibuat oleh kerajaan bahawa stok beras negara adalah mencukupi. Foto: Zainol Bidin

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bagi masyarakat pengguna negara ini, tidak ada yang lebih memeningkan kepala daripada berterusan menanggung beban kenaikan harga barangan.

Mungkin bertepatan juga keputusan kerajaan untuk tidak memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000.

Pemberian honorarium ini sudah pasti akan memberikan lampu hijau untuk pihak peniaga barangan atau perkhidmatan mencari helah menaikkan lagi harga barangan.

ISU BERAS

Ketika ini beras menjadi isu paling hangat diperkatakan, semuanya gara-gara kenaikan harga beras di pasaran dunia.

Krisis beras semakin meruncing apabila beberapa negara pengeluar utama beras dunia seperti China, Mesir, Vietnam dan India bertindak menghadkan eksport beras untuk memastikan mereka mampu menyediakan makanan itu untuk rakyat mereka sendiri.

Harga beras di negara ini pula dilaporkan meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak kebelakangan ini. Namun setakat ini belum lagi berlaku pembelian cemas beras di kalangan masyarakat pengguna negara ini.

Mungkin masyarakat pengguna negara ini yakin dengan jaminan yang dibuat oleh kementerian-kementerian yang terbabit dengan komoditi ini yang berkali-kali menyatakan bahawa stok beras negara adalah mencukupi.

Malaysia dilaporkan mengimport antara 700,000 hingga 800,000 tan beras setahun sebagai tambahan kepada 1.1 juta tan yang dihasilkan. Negara utama untuk import beras Malaysia sudah semestinya Thailand (antara 50 hingga 60 peratus) manakala bakinya daripada China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan.

PEMANTAUAN FOMCA

Kitaran kenaikan harga barangan bagaikan tidak putus-putus berlaku, lepas satu barangan kepada satu barangan yang lain.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) membuat rumusan ini hasil penyelidikan dan pemantauan harga barangan harian, sebahagian besarnya barang makanan di beberapa bandar dan pekan di negara ini.

Lonjakan harga minyak mentah (AS$120 atau RM376 setong dicatat pada 23 April) di pasaran dunia serta kenaikan kadar tol menyebabkan kenaikan hampir kesemua barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah memberitahu Bernama di sini baru-baru ini, kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan sejak tempoh dua tahun lalu begitu membebankan pengguna negara ini.

Katanya, golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang paling teruk terjejas dengan perkembangan tersebut sehinggakan mereka berasa tidak yakin dengan masa depan mereka dan bagaimana mahu menyara kehidupan keluarga.

"Pengguna negara ini masih lagi terasa bahang kenaikan 30 sen harga minyak yang dibuat pada 2006 dan sekarang semakin cemas dengan kenaikan melambung harga minyak mentah di pasaran dunia. Saya pasti ramai yang berdebar-debar menunggu bila kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga minyak," tambahnya.

Menurut Muhammad Sha'ani yang juga Setiausaha Agung FOMCA, sebarang kenaikan harga minyak akan menjadi pemangkin utama untuk inflasi yang akan melonjakkan lagi barangan keperluan harian.

"Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga.

"Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya adalah pengguna," jelasnya.

KEGIATAN MENGAMBIL UNTUNG

Menjelaskan lagi kegiatan mengambil untung, Muhammad Sha'ani berkata kerakusan peniaga yang pantas menaikkan harga barangan dan perkhidmatan boleh dilihat apabila berlaku kenaikan harga minyak, tol, tarif elektrik dan air.

"Meskipun sesetengah kenaikan ada justifikasinya atas sebab impak secara langsung (contoh pengangkutan kerana kenaikan harga minyak), kebanyakan kenaikan harga lebih bersifat mengambil keuntungan oleh peniaga.

"Ada peniaga yang dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sesuka hati mereka. Sikap yang tidak bertanggungjawab ini adalah salah satu masalah utama yang memberi kesan negatif kepada sosioekonomi serta menyekat kemajuan," kata Muhammad Sha'ani.

Beliau turut menyentuh peranan penting yang dimainkan oleh orang tengah (middlemen) dalam rangkaian makanan di mana mereka menentukan harga dan bekalan barangan makanan yang dijual di pasaran.

"Orang tengah berada dalam kedudukan yang selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada kedua-dua pihak pengeluar dan pengguna," tambahnya.

Menurut beliau, sesetengah orang tengah bertindak sebagai 'cartel' dengan membeli pada harga yang rendah dari petani dan menjual hasil tanaman atau barangan yang sama pada harga yang tinggi kepada pengguna.

"Mereka ini akan menggunakan helah dengan memberi alasan kos pengendalian dan pemasaran punca kenaikan besar barangan makanan tersebut," jelasnya lagi.

LAGI FAKTOR KENAIKAN HARGA

Menurut Muhammad Sha'ani, terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di negara ini, antaranya bil import makanan yang tinggi.

"Pada tahun 2005, bil import makanan negara berjumlah RM17.793 bilion sedangkan bil eksport makanan hanya RM10.674 bilion, menunjukkan defisit RM7.119 bilion dalam Imbangan Dagangan Barangan Makanan (BOTFS).

"Sejak lebih seabad lampau, Malaysia semakin bergantung kepada import makanan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Pasaran makanan negara ini dikuasai oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia," jelasnya.

Malaysia mengimport barangan tenusu dari New Zealand sementara sayur-sayuran serta buah-buahan diperoleh dari Australia dan Amerika Syarikat.

Malaysia juga mengimport produk makanan laut, sebahagian besarnya dari Thailand dan Indonesia.

"Ketidakupayaan Malaysia menampung pengeluaran makanan dalam negara bagi memenuhi permintaan menjadikan bil import makanan melambung dan menyebabkan kenaikan harga makanan ini," jelas beliau.

TABIAT BERBELANJA BOROS?

Tabiat berbelanja boros sesetengah pengguna di negara ini, menurut Muhammad Sha'ani turut merangsang kenaikan harga barangan.

Menurut beliau, kemasukan barangan daripada luar negara pada harga yang berpatutan mendorong pengguna untuk sakan berbelanja.

"Pengguna hari ini cenderung berbelanja besar terutamanya golongan kelas pertengahan yang tidak teragak-agak menghamburkan wang mereka membeli produk teknologi baru dan aksesori peribadi atas nama fesyen dan kesenangan.

Pengguna yang berpendapatan pertengahan, katanya turut membawa dimensi baru dalam pembelian barangan.

"Mereka ini menghabiskan masa berjam-jam membeli-belah di pasar raya kerana terdapat banyak barangan makanan yang sofistikated di sana.

"Pengguna bebas melihat, memegang dan memilih barangan makanan yang tidak tahan lama (perishables) dan semuanya ini ada kos tambahan yang dikenakan ke atas barangan tersebut. Ini menyumbang kepada kenaikan harga barangan," jelas Muhammad Sha'ani.

BUDAYA BERHUTANG

Promosi berleluasa kad kredit, pinjaman perumahan dan sewa beli oleh institusi kewangan memburukkan lagi keadaan.

Muhammad Sha'ani berpendapat sektor kewangan sebenarnya menggalakkan budaya berhutang menerusi tawaran hadiah percuma, kadar faedah yang rendah serta skim bayaran balik mudah.

"Budaya berhutang semakin menjalar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Anak-anak muda yang baru memasuki dunia pekerjaan turut terjebak dalam sindrom

Tambah beliau, gaya hidup 'miliki dulu, bayar kemudian' ini akan hanya mengheret pengguna ke dalam perangkap hutang dan mereka akhirnya akan menjadi muflis.

"Dalam ketika kos sara hidup semakin meningkat, kebanyakan bank semakin ligat mempromosikan pinjaman dan kad kredit mereka.

"Tanpa disedari pengguna, hutang mereka mula bertimbun sehinggakan ada yang terpaksa mengambil pinjaman peribadi semata-mata mahu melangsaikan hutang kad kredit," keluhnya.

BERNAMA