235,374 BARANGAN DIPERIKSA

PUTRAJAYA, 1 JUN 2018 – Sebanyak 235,374 barangan daripada 7542 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara dalam gerakan pemeriksaan yang dilaksanakan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mulai 24 hingga 31 Mei 2018.

Bagi tempoh pelaksanaan Ops Catut 4.0 yang dijalankan mulai 15 Januari hingga 25 Mei 2018, sebanyak 2.54 juta premis yang melibatkan semua peringkat dalam rantaian pengedaran barangan diperiksa di seluruh negara.

Sebanyak 5,537 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan terhadap peniaga yang dikesan cuba menaikkan harga barangan. Hasilnya, sebanyak 494 kes berjaya dihasilkan melalui tindakan itu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, daripada jumlah itu, dua kes di bawah Seksyen 10A kerana memasukkan elemen cukai yang boleh dituntut ke dalam harga, 302 kes di bawah Seksyen 14(1) kerana mencatut, 113 kes di bawah Seksyen 21(5) kerana gagal memberi maklum balas kepada notis yang dikeluarkan manakala dua kes di bawah Seksyen 26 kerana memberi maklumat atau keterangan palsu serta 75 kes di bawah Seksyen 53 (A) kerana tidak menyimpan dan menyelenggara rekod perniagaan.

Beliau yang ditemui selepas melakukan pemantauan dan pemeriksaan di salah sebuah pasaraya besar di sini menerusi Ops Catut 4.0 sempena bermulanya perlaksanaan GST 0 peratus berkata, sebanyak 57 kes didakwa di mahkamah dan sebanyak 53 kes disabitkan kesalahan serta dijatuhkan hukuman denda yang berjumlah
RM 942,000 manakala sebanyak 104 kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 584,000.

Beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dan menaikkan harga dalam kadar yang tidak munasabah.

Katanya, pengguna boleh membantu dengan menyalurkan aduan menerusi saluran aduan yang disediakan disamping pemantauan melalui bilik gerakan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK di talian bebas tol 1-800-886-800 yang dibuka setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bagi memudahkan orang ramai.

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat