72 AKAUN BERNILAI RM 5.8 JUTA DIBEKU

PUTRAJAYA, 25 JULAI 2018 – Sebanyak 72 akaun yang terdiri daripada 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu bernilai hampir RM 5,867,207.07 juta dibekukan menerusi Ops Coin yang dijalankan ke atas 16 premis melibatkan perjalanan skim Piramid  Monspace Group semalam.

Operasi yang dilakukan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, bersama-sama National Revenue Recovery Enforcement (NRRET), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Cyber Security, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melibatkan satu premis perniagaan di Ipoh  dan 15 di sekitar Lembah Klang. Ia membabitkan empat  premis perniagaan, lapan premis kediaman dan tiga pusat server Monspace Group yang dilaksanakan secara serentak di semua lokasi.

Siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 27 B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 iaitu kesalahan mempromosi atau menyebabkan supaya dipromosikan suatu Skim Piramid dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ( AMLATFPUAA 2001).

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Dato’ Mohd. Roslan Mahayuddin dalam sidang medianya di sini, hari ini berkata, pihaknya menyita komputer dan pelbagai produk syarikat bernilai RM980,352.00 dan mata wang asing dan Malaysia berjumlah
RM 93,879.00.

Sebanyak 26 kenderaan dengan nilai RM 6,238,000.00 dibekukan daripada transaksi pindah milik.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993, suatu pertubuhan perbadanan, perkongisan atau pertubuhan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang satu juta ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh juta ringgit dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, didenda tidak kurang daripada sepuluh juta ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh juta ringgit.

Dato Mohd. Roslan menyarankan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan skim-skim yang menjanjikan pulangan segera dan sentiasa merujuk dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia, KPDNHEP, SSM dan lain-lain. Pemantauan akan terus diadakan bagi membanteras skim-skim yang menipu orang ramai dan melanggar undang-undang.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP