BANTU AHLI TINGKATKAN PENDAPATAN

PUTRAJAYA, 20 DSEMBER 2017 – Koperasi Warga KPDNKK Berhad perlu bergerak aktif bagi memberi pulangan yang baik kepada ahli-ahlinya dalam usaha menambahkan pendapatan.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh berkata, koperasi perlu bergerak aktif menjalankan aktiviti yang dilihat menguntungkan dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti berskala kecil yang tidak memberikan impak yang besar kepada koperasi itu sendiri.

Katanya, ahli-ahli Lembaga Pengarah koperasi mestilah cekap dan bijak membuat pelaburan atau perniagaan. Semua Ahli Lembaga Pengarah mesti dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai integriti, pandai menguruskan koperasi serta melihat kepada peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi sesebuah koperasi.

“Saya mahu memastikan semua Ahli Lembaga Pengarah bekerjasama dalam satu kumpulan demi kepentingan ahli-ahlinya. Sikap mementingkan diri serta tidak berusaha membantu menaikkan sesebuah koperasi dilihat sebagai punca kegagalan,” tambahnya.

Dato’ Sri Jamil juga menyarankan supaya Koperasi Warga KPDNKK Berhad menjadi koperasi tunggal kerana bilangan koperasi yang banyak ditubuhkan di kementerian ini tidak membolehkan ia berfungsi dengan baik. Penggabungan koperasi yang sedia ada memberi peluang untuk Ahli-ahli Lembaga Pengarah memberikan fokus kepada aktiviti untuk menambah pendapatan demi untuk kepentingan ahli-ahlinya selain mengelakkan berlakunya pertindihan fungsi dan matlamat”.

Dato’ Sri Jamil berkata demkian di majlis penutup Mesyuarat Agong Koperasi Warga KPDNKK Berhad di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) selaku Penasihat Koperasi, Dato’ Basarudin Sadali.

Katanya, koperasi ini diberikan kepercayaan untuk menguruskan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) sebagai aktiviti tetap dalam menjana ekonomi. Beliau percaya, koperasi ini akan berdaya saing dalam perkembangan semasa.

Ahli-ahli Lembaga Pengarahnya juga diingatkan agar mengikuti kursus wajib bagi seseorang Ahli Lembaga Pengarah bagi membolehkan sesebuah koperasi itu diurus oleh mereka yang tahu akan selok-belok perjalanan sesebuah koperasi.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

 

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat