Cadangan Pindaan Undang-Undang Akta Francais 1998

CADANGAN PINDAAN UNDANG-UNDANG
AKTA FRANCAIS 1998

Industri francais negara telah mula menapak di Malaysia sejak tahun 1970-an. Terdapat masalah-masalah yang timbul sama ada ke atas pemberi francais atau pemegang francais apabila tiada undang-undang khusus untuk mengawal industri ini. Pada tahun 1998, Akta Francais telah diperkenalkan dengan objektif untuk mengawalselia industri francais negara agar selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan industri francais tempatan sehingga ke peringkat Antarabangsa. Melalui kajian yang telah dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, objektif pindaan ini adalah bagi penambahbaikan dan pembetulan ke atas Akta Francais 1998 yang perlu dilakukan mengikut polisi dan dasar kementerian.

Penggubalan Akta Francais 1998 adalah sangat penting untuk Kementerian bagi mengemaskinikan dan memantapkan lagi Akta ini disamping mengikuti peredaran semasa industri francais tempatan. Berdasarkan maklumbalas-maklumbalas yang telah diterima melalui seminar-seminar dan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan sejak tahun 2012 termasuk Regulatory Impact Assessment (RIA) bersama pihak industri francais (MFA, francaisor dan francaisi), serta pandangan Bahagian dan Agensi sendiri, beberapa pindaan di dalam Akta Francais 1998 didapati amat mustahak diadakan untuk mengemaskinikan lagi akta ini.

Antaranya:

    1. Memasukkan tafsiran baru seksyen 4: pengenalan perkataan baru Bahasa Malaysia francaisor, francaisi, francaisi induk, dan konsultan francais bagi menepati perkembangan bahasa Malaysia. Ini akan memudahkan penggunaan terma-terma francais dalam percakapan, mesyuarat, urusan rasmi dan tidak rasmi kepada Kementerian dan industri di seluruh negara. Penggunaan Bahasa Malaysia yang tepat dan mengikuti arus semasa. Terdapat kecenderungan untuk menggunakan terma-terma francais yang ringkas di kalangan penggiat industri
    2. Membuat tafsiran baharu untuk koperasi, francaisor asing, francaisor tempatan, subfrancais, subfrancaisi, pembaharuan dan pelanjutan.
    3. Meminda subseksyen 6A(1), 7(1), 14(1), 16(1), 24 dan 60(1) dengan memotong perkataan ‘borang yang ditetapkan’ atau ‘cap perkhidmatan’ bagi mengelakkan kesukaran meminda borang atau sebarang kekeliruan. Tindakan ini memudahkan pihak pendaftar meng adaptasi istilah dan format mengikut keperluan semasa. Peraturan-Peraturan Francais (Borang dan Fi) 1999 dikemaskinikan dan Peraturan-Peraturan Francais (Borang dan Fi) (Pindaan) 2007 dimansuhkan.
    4. Memasukkan subseksyen baru termasuk Subseksyen 6A(4) , 6B(2), 6C(1), dan 6C(2) dengan menetapkan satu kesalahan bagi pemegang francais yang tidak berdaftar dengan Kementerian atau tidak mempamerkan pendaftaran di premis. Tindakan ini memudahkan francaisi baru dan pihak penguatkuasa untuk mengenalpasti pemain-pemain francais yang sah.
    5. Meminda subseksyen 28(1) dan 32(a) dengan menggantikan perkataan ‘penepian’ atau ‘menepikan’ masing-masing dengan perkataan ‘pengetepian’ atau ‘mengetepikan’ bagi menepati penggunaan bahasa yang betul bagi setiap orang yang terlibat dalam industri ini.
    6. Mengemaskinikan subseksyen 37 (1) (a) dan (b) bagi mengkhususkan kesalahan berhubungan dengan tawaran untuk menjual atau penjualan francais sebagaimana Seksyen 37 (1) (c). Tindakan ini memudahkan rujukan secara terus dan tepat.
    7. Menomborkan semula subseksyen 37 (1), (2) dam (3) dengan turutan bagi mengelakkan kekeliruan dalam merujuk subseksyen berkaitan. Tindakan ini memudahkan rujukan secara terus dan tepat.
    8. Meluaskan skop pesalah subseksyen 43(1) dengan menggantikan ‘pemberi francais, broker francais atau pemegang francais’ kepada ‘apa-apa kesalahan di bawah Akta ini.’ Tindakan ini meluaskan skop mereka yang berpotensi terlibat dalam melakukan kesalahan disamping memberi amaran kepada pesalah-pesalah baru.
    9. Meluaskan skop pesalah subseksyen 43(2) dengan menggantikan ‘pemberi francais, broker francais atau pemegang francais’ kepada ‘mana-mana orang disyaki.’ Tindakan ini meluaskan skop mereka yang berpotensi terlibat dalam melakukan kesalahan disamping memberi amaran kepada pesalah-pesalah baru..
    10. Memasukkan perkataan fi ke dalam subseksyen 54(3) untuk memberikan kesamarataan ke atas francaisor tempatan dan francaisor luar negara
    11. Bagi kesalahan-kesalahan untuk penati am, Peraturan-Peraturan Francais (Pengkompaunan) 1999 dipinda supaya semua kesalahan tersebut boleh ditawarkan kompaun.
    12. Memberikan had tempoh berkuatkuasa bagi pendaftaran tempoh francaisor kepada 5 tahun dan kewajiban untuk pendaftaran.

Sebarang ulasan atau maklum balas yang ingin dikemukakan hendaklah dihantar sebelum atau pada 31 Januari 2018 melalui emel kepada shahrinismail@kpdnkk.gov.my/zony@kpdnkk.gov.my atau faks ke +603 8882 5762 dengan menggunakan Borang Matriks Cadangan Pindaan yang disediakan. Borang Matriks Cadangan Pindaan juga boleh dikemukakan ke alamat di bawah melalui surat bertulis secara rasmi sebelum atau pada 31 Januari 2018.

PENGARAH

Bahagian Pembangunan Francais
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan

No. 13, Aras 1,
Persiaran Perdana, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya

MALAYSIA

Tel : +603-8882 6562

Faks : +603-8882 5762

Email :shahrinismail@kpdnkk.gov.my / zony@kpdnkk.gov.my

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi: Shahrin B Ismail di +603 8882 5823, atau Mohamad Zony Bin Mohd Said di +603 8882 6199

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat