FOOD BANK AKAN DIPERLUAS TAHUN HADAPAN

BAYAN BARU, 4 OGOS 2018 –  Program Food Bank, suatu projek pengumpulan serta pengagihan lebihan makanan kepada golongan kurang berkemampuan akan diperluaskan ke seluruh negara tahun depan bergantung kepada kejayaan projek perintis yang bakal dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih seperti Kelantan dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Projek ini yang mengambil ilham dari projek “ Mutiara Food Bank” yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang dijangka tidak memberikan implikasi kewangan yang besar kerana sumber bahan disumbangkan secara percuma oleh beberapa pasar raya besar melibatkan lebihan makanan sendiri daripada seksyen buhan-buahan, sayur-sayuran dan bakeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa perkara akan diperhalusi seperti perundangan dan beberapa perkara lain supaya kaedah pelaksanaannya berjalan lancar.

Katanya, program ini mendapat persetujuan Perdana Menteri dan beliau mahukan agar ianya digerakkan segera.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat mengenai pelaksanaan Mutiara Food Bank di Pasar Raya Besar Tesco Extra di Sungai Dua disini hari ini.

“Program ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar, Cuma kita perlu selaraskan kutipan dan pengagihannya sahaja,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Halim Hussain, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Sri Jamil Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan KPDNHEP), Datuk Muez Abd. Aziz, Pengarah-pengarah Negeri serta wakil-wakil NGO dari Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen, Tesco Extra dan Mutiara Food Bank.

Dato’ Saifuddin kemudiannya disertai pegawai-pegawai kanan KPDNHEP mengagihkan makanan ke beberapa rumah penduduk di bawah program ini di Kampung Gertak Sanggul, Batu Maung  tidak jauh dari sini

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP