GPS BOLEH BANTU JAYAKAN PENERANGAN MENGENAI KOS SARA HIDUP

ALOR GAJAH, 15 DISEMBER 2017 – Gerakan Pengguna Siswa (GPS) boleh membantu kerajaan untuk menyampaikan penerangan kepada pengguna mengenai usaha-usaha yang dijalankan dalam menangani kos sara hidup.

Sebagai gerakan kepenggunaan yang diwujudkan di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi (IPT), mereka mempunyai pengaruh dan medium untuk menyampaikan usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu pengguna dalam merancang perbelanjaan mereka.

Selain itu, ia boleh menjadi medan yang lebih efisyen dalam melahirkan pemimpin yang cakna kepada budaya kepenggunaan, bijak dan berhemah serta mampu menjadi penggerak generasi masa depan kepada pengamalan budaya kepenggunaan yang sihat di peringkat masing-masing.

“KPDNKK yakin melalui GPS ini mampu membentuk satu asas budaya kepenggunaan yang holistik dan konsisten dalam kalangan golongan pelajar, yang merupakan kumpulan pengguna generasi baharu yang bakal mempunyai kuasa beli sendiri dan berupaya mempengaruhi pasaran suatu masa nanti”, ujar  Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin ketika merasmikan Majlis Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) 2017 di Dewan Bendahara Univeriti Tekonologi MARA (UITM) Lendu dekat sini malam tadi.Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh.

Kira-kira 197 peserta mewakili 58 GPS seluruh negara hadir pada majlis yang berlangsung sehingga 17 Disember nanti. Di antara objektifnya, ialah untuk mengetengahkan isu-isu kepenggunaan, membina hubungan baik GPS dengan Kementerian serta para pelajar ini berpeluang mendapat maklumat kepenggunaan secara terus dari KPDNKK.

“Generasi muda ini mampu menyebarkan maklumat yang disampaikan kepada keluarga dan masyarakat di sekitar kawasan kediaman mereka. Tambahan pula dengan teknologi yang semakin pesat berkembang , para pelajar ini dapat membantu meluaskan lagi mesej kementerian melalui Friends Of KPDNKK (FOK) yang membuka keahlian kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas,” ujarnya.

Majlis ini turut dihadiri TImbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Kepenggunaan) KPDNKK, Dato’ Razali Haji Othman, Rektor Uitm Cawangan Melaka, Prof.Madya Datuk Sabariah Haji Mahat, Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Haji Mohd. Bakri Ibrahim dan Pengarah-pengarah Bahagian KPDNKK.

Oleh : Unit :Komunikasi Korporat KPDNKK

 

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat