INISIATIF KERAJAAN MELALUI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PEMAIN INDUSTRI SEKTOR PERUNCITAN

 MELAKA, 29 SEPTEMBER 2018 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Harga Patut (KHP) 2018 Peringkat Kebangsaan.

Kementerian menganjurkan Karnival Jualan Mini KHP selama tiga hari iaitu dari 28 sehingga 30 September 2018 (dari jam 10 pagi hingga 10 malam). Antara komponen utama dan pengisian Karnival Jualan Mini KHP adalah seperti Karnival Jualan, Jualan Trak Makanan, forum dan seminar Perniagaan, aktiviti serta permainan keluarga dan kanak-kanak, hiburan dan inforia.

Penyertaan 10 pasar raya besar asing dan tempatan dalam Karnival Jualan Mini KHP menjadi tarikan utama di mana pasar raya terbabit akan berkumpul di bawah satu bumbung untuk membuat jualan dengan potongan menarik sehingga 70% bagi barangan keperluan asas, in-house brand dan pelbagai lagi produk berjenama mengikut keperluan pengguna.

Selain nama-nama di atas, enam lagi pemain industri turut menyokong KHP ini dengan melaksanakan inisiatif jualan berpatutan di premis dan cawangan masing-masing sepanjag tempoh pelaksanaan KHP.

KHP 2018 merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan dengan tujuan untuk menawarkan barangan pada harga yang terbaik kepada pengguna bagi mencapai objektif membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik. Program ini dilaksanakan bagi tempoh empat bulan iaitu dari September sehingga Disember 2018.

Penyertaan pemain industri dalam program KHP adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif Kerajaan bagi membantu menangani isu kos sara hidup di kalangan rakyat dan sebagai tanda keperihatinan Kerajaan dan pihak industri di mana Kementerian memainkan peranan sebagai pemudah cara dan memberikan galakan kepada pihak peruncit dan peniaga untk turut serta dalam usaha untuk menawarkan barangan pada harga yang berpatutan.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly Zahari, Ahli –ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka dan pegawai-pegawai kementerian.

 

Oleh : Unit Kominukasi Korporat KPDNHEP