KPDNHEP AKAN BERI KEUTAMAAN KEPADA ISU HARGA BARANGAN

246

PUTRAJAYA, 4 JULAI 2018 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus menjadikan isu barangan keperluan sebagai keutamaan untuk ditangani secara berkesan.

Menterinya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu ini akan ditangani dengan serius bagi melahirkan kesejahteraan rakyat walaupun ia sesuatu realiti atau persepsi.

Katanya, isu ini perlu dikaji dan ditangani dengan berkesan kerana ia bukan sahaja membabitkan dasar kerajaan malah juga melibatkan pengguna dan peniaga.

Bercakap kepada media selepas majlis menandatangani Nota Serah Tugas Menteri oleh mantan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan beliau selaku Menteri KPDNHEP di sini, petang tadi.

Katanya, peranan persatuan pengguna harus diperkasa manakala tugas-tugas penguatkuasaan dipertingkatkan.

Ditanya mengenai keperluan menubuhkan Satu Jawatankuasa Khas untuk menangani isu ini, Dato’ Saifuddin berkata, ia tidak diperlukan kerana beliau percaya dengan kemampuan serta kredibiliti pegawai-pegawai sedia ada di KPDNHEP untuk membantu beliau melaksanakan dasar-dasar serta aktiviti yang dianjurkan.

Terdahulu berlangsungnya Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas dengan mantan Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin. Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen, Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Jamil Salleh dan ketua-ketua agensi dan bahagian.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat