KPDNHEP KOMITED BANGUNKAN USAHAWAN PKS TEMPATAN

SHAH ALAM, 26 JULAI 2018 –   Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Dal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Bahagian Pembangunan Perniagaan komited untuk membangunkan  serta membantu usahawan-usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) dalam membangunkan produk bagi menembusi pasaran di peringkat hypermarket seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, sejumlah 1452 usahawan PKS tempatan dengan produk dan jenama masing-masing telah berdaftar dengan KPDNHEP dan berdasarkan kepada pemantauan yang dilakukan, sebahagian besar daripada mereka masih aktif dalam perniagaan. Kira-kira 15 peratus daripadanya telah berjaya disenaraikan dan boleh didapati di hypermarket-hypermarket di seluruh negara.

Bercakap ketika merasmikan Program Citarasa Malaysia (PCM) 2018 di Pasaraya Besar Tesco Extra di sini, Menterinya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata,walaupun banyak kementerian dan agensi kerajaan yang berfungsi untuk membangunkan usahawan PKS, namun KPDNHEP mempunyai akses dan hubungan yang sangat rapat dengan pemain-pemain dalam sektor peruncitan di negara ini terutamanya hypermarket tempatan dan asing yang membolehkan usahawan PKS menikmati kelebihan yang ada ini dalam memasarkan produk mereka.

Pada suku pertama tahun ini, sejumlah 140 pembekal terdiri daripada usahawan PKS tempatan telah membekalkan produk mereka ke pasaraya besar Tesco. Sejumlah 106 pembekal adalah usahawan PKS Bumiputera. Bagi tahun 2017 pula mencatatkan seramai 1631 Stock Keeping Unit (SKU) PKS tempatan berjaya disenarai tetap di dalam hypermarket asing di negara ini.

Hadir sama pada majlis ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP, Dato’ Basaruddin Sadali,  Ketua Pegawai Eksekutif TESCO (M) Sdn. Bhd, Paul Ritchie, dan Pengarah penguatkuasa KPDNHEP, Dato’ Mohd. Roslan Mahayuddin.

Seramai 20 usahawan PKS tempatan mengambil bahagian di dalam menjayakan PCM kali ini yang bermula dari 26 hingga 30 Julai dengan pelbagai produk dan jenama masing-masing.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP